Seorang jurulatih yang diberi tanggungjawab melatih 300 ahli
Pergerakan Pengakap sebuah sekolah menengah di sini, didakwa mencabul
lebih 10 pelajar perempuan yang berada bawah pengawasannya dengan
memegang dada, kemaluan dan punggung mangsa. Difahamkan, lelaki terbabit berusia 44 tahun dipertanggungjawab
melatih pelajar berusia antara 13 dan 14 tahun di sekolah berkenaan
sejak 2008 dan mula melakukan perbuatan kejinya penghujung tahun lalu.
Perbuatan itu terbongkar 8 Februari lalu selepas seorang mangsa
dicabul mengadu kepada bapanya sebelum mereka membuat laporan di Balai
Polis Sri Damansara, di sini. Menurut sumber, selepas membuat laporan mengenai kejadian itu,
mangsa yang ditemani bapanya mengadu perkara berkenaan kepada pihak
pengurusan sekolah.
“Hasil siasatan pengurusan sekolah,
lebih 10 pelajar tampil mengaku mereka turut menjadi mangsa gangguan
seksual jurulatih terbabit sepanjang dia mengendalikan badan beruniform
berkenaan,” katanya.
Sumber itu berkata, suspek dikatakan
secara terang-terangan mencabul mereka ketika sesi latihan dengan
memegang dada pelajar perempuan dengan alasan kononnya untuk memeriksa
barisan ketika berkawad.
“Malah, ada pelajar diumpan masuk ke bilik persatuan disediakan
sekolah dengan alasan mengukur baju sebelum mereka dicabul,” katanya.
Difahamkan, semua pelajar perempuan yang menjadi mangsa turut dipaksa
merahsiakan perkara berkenaan dan mangsa akur kerana takut sikap garang
suspek. Sejurus pihak berkuasa menerima laporan berkenaan, jurulatih
terbabit ditahan polis 9 Februari sebelum dibebaskan selepas
percakapannya dirakam. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis
Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamed ketika
dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
“Setakat kini, kami mendapati hanya empat ke lima pelajar sekolah
berkenaan yang tampil membuat aduan kepada polis mereka menjadi mangsa
gangguan seksual jurulatih terbabit,” katanya.
Menurutnya,
suspek yang ditahan sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes
berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK).