Seorang bayi yang nyaris dijual dengan harga RM21,000 menarik
perhatian orang ramai yang hadir di Mahkamah Sesyen di sini, semalam
apabila dibawa untuk tujuan pengecaman oleh seorang saksi yang juga
pengadu dalam kes itu.
Bayi perempuan comel yang berusia setahun itu dicam saksi kelima
pendakwaan, Norfatimah Ahmad, 43, sebagai bayi yang dibelinya daripada
sebuah hospital swasta, tahun lalu. Dia dibawa ke mahkamah pada
perbicaraan kes bekas jururawat, Gulab Jan Abdul Jabir, 49, atas tuduhan
memperdagangkan seorang bayi perempuan, tahun lalu. Gulab Jan
didakwa memperdagangkan bayi perempuan berusia lapan bulan bagi tujuan
eksploitasi di Hospital Taj, jam 2.10 petang, 1 November 2010.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007
yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda jika
sabit kesalahan.
Bayi itu kini berada di dalam jagaan Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) sehingga selesai perbicaraan kes itu. Norfatimah
turut melakukan pengecaman terhadap individu yang ditemuinya ketika
melakukan urusan pembelian bayi di Hospital Taj, Jalan Ipoh di sini,
November tahun lalu iaitu pakar bedah, Datuk Dr Mohammad Feizal Abdullah
dan anak perempuannya, Suraij Banu yang bekerja di hospital sama.
Mahkamah turut memanggil Datin Mumtaj Nashir Bee iaitu isteri Dr
Mohammad Feizal bagaimanapun dia memberitahu mahkamah isterinya tidak
dapat hadir kerana tidak sihat.
Timbalan Pendakwa Raya Nor
Amalina Ismail turut memberitahu mahkamah pihak pendakwaan gagal
menyerahkan sapina kepada pembantu jururawat, Munirah Ali Bakar dan
orang awam, Mohamed Kassim Ibrahim untuk dipanggil sebagai saksi pada
tarikh perbicaraan akan datang.
Sila baca selanjutnya → Betol-betol Sengal! Bayi dijual RM21,000!