Mayat mangsa ditemui di sebuah rumah kuarters Jabatan Bekalan Air Ketengah, di Bandar AMBS, di sini.
Menceritakan detik sebelum kejadian, Helmi berkata, pada kira-kira jam 11.30 malam, beberapa jam sebelum mayat rakannya itu ditemui, arwah Mohd Alif serta beberapa lagi rakannya yang lain sedang lepak di rumah rakan mereka dan sempat makan burger yang dibeli di pasar malam berdekatan. Mohd Helmi berkata, ketika itu, air muka arwah kelihatan agak murung berbanding biasa, daripada reaksi yang ditunjukkan arwah, dia dapat mengagak rakan karibnya itu pasti ditimpa kesusahan.
Bagaimanapun setelah pulang dari rumah kira-kira jam 3 pagi, adik lelakinya, Mustaqim memaklumkan dia ternampak mangsa mati dalam keadaan tergantung di sebuah rumah kosong, tidak jauh dari rumahnya lalu terus bergegas ke situ untuk melihat keadaan mangsa. Mohd Helmi yang terkejut dan menggeletar melihat mangsa dalam keadaan lehernya tergantung berusaha menurunkan mayat mangsa bersama adiknya sebelum membuka ikatan tali pada lehernya.
“Saya macam tidak percaya dia mati dalam keadaan begitu kerana baru beberapa jam kami bersama.
“Kami tahu dia ada masalah kerana baru putus cinta dan cuba menasihatinya susupaya bersabar, tapi tak sangka pula dia sanggup bertindak sedemikian,” katanya.
Mohd Helmi, berkata selepas melonggarkan ikatan tali yang terjerut di leher rakannya itu mereka membuat laporan di Balai Polis AMBS. Menurutnya, sebelum kejadian itu, mangsa ada menceritakan kepadanya dia menjalinkan hubungan cinta dengan seorang gadis dan berhasrat memperisterikan gadis yang dikenalinya sejak di bangku sekolah itu. Bagaimanapun dua minggu sebelum kejadian itu, mangsa memaklumkan kepada Mohd Helmi bahawa dia kecewa kerana putus cinta setelah gadis yang dicintainya itu dikatakan mempunyai kekasih baru.
“Sejak putus cinta, tingkahlakunya berubah, lebih banyak berdiam diri dan sentiasa murung biarpun sebelum ini dia agak periang.
“Namun saya tidak menyangka dia akan pergi dalam keadaan sedemikian, sungguh menyayat hati,” kata Mohd Helmi yang masih trauma dengan kejadian menimpa sahabat karibnya itu.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut. Hasil pemeriksaan oleh kakitangan perubatan mendapati mangsa mati akibat kecederaan pada leher.