Seorang peniaga terpaksa menjadi hamba seks kepada bekas teman
lelakinya selama enam bulan ekoran bimbang gambar bogelnya didedahkan
jika dia enggan memenuhi nafsu lelaki berkenaan sejurus selepas mereka
berpisah pada Julai tahun lalu. Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Woon, 29, berkata, sejak
perpisahan itu, dia terpaksa memenuhi kehendak bekas teman lelakinya itu
yang dikenali sebagai Teh sehingga Disember tahun lalu.
“Saya nekad untuk mengelakkan diri kerana tidak tahan lagi dengan ugutan dia kerana saya ingin menjalani kehidupan dengan aman.
“Dia bukan sahaja sering mengugut untuk menyebarkan 80 keping gambar
bogel saya di laman web termasuk menghantarnya kepada rakan dan ahli
keluarga jika saya tidak menuruti kehendaknya,” katanya pada sidang
akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini
semalam.
Ekoran itu, satu laporan polis telah dibuat olehnya di Balai Polis
Jalan Bandar di sini pada 12 Februari lalu yang juga tarikh terakhir dia
diugut oleh lelaki berkenaan. Mengulas lanjut, katanya, dia pernah menjalinkan hubungan bersama Teh
yang bekerja di bidang teknologi maklumat pada tahun 2000 tetapi telah
berpisah pada tahun 2003.
“Namun, kami kembali bersama pada tahun 2010 selepas saya bercerai
dengan suami saya pada tahun 2009,” tambahnya yang turut memberitahu,
dia membenarkan gambar bogelnya diambil sebagai bukti cinta kepada Teh.
Tambah Woon, lelaki tersebut turut mengugutnya dengan menghantar
gambar bogel melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) malah mendaftar akaun
laman web sosial Facebook dengan menggunakan gambar separuh bogelnya.
“Saya sudah tidak tahan lagi. Tolonglah berhenti ganggu saya,”
rayunya yang kini terpaksa mengambil pil tidur kerana masalah amnesia
yang dihadapi akibat kes berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam
MCA, Datuk Seri Michael Chong menasihati golongan wanita supaya jangan
membenarkan teman lelaki mengambil gambar bogel mereka kerana ia boleh
disalahgunakan.