Hasrat dua lelaki meraih keuntungan dengan menjual sebuah van dicuri
tidak kesampaian apabila perbuatan mereka terdedah selepas seorang
remaja lelaki mengenali pemilik sebenar kenderaan berkenaan. Dua suspek terbabit yang berusia 30-an itu turut cedera akibat
dibelasah orang ramai apabila kegiatan mereka itu didedahkan remaja
lelaki berkenaan di Jalan Rhu Renggeh, Rusila, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, remaja berkenaan yang menaiki
sebuah motosikal terserempak dengan dua suspek terbabit memandu van curi
di Jalan Tok Adis, Kuala Terengganu, di sini. Keadaan suspek yang mencurigakan selain dia mengenali pemilik
sebenar van itu menyebabkan lelaki terbabit membuat keputusan mengekori
kedua-dua suspek.
Bagaimanapun, suspek terbabit yang
menyedari diekori cuba melarikan diri memecut van berkenaan selain
beberapa kali menghimpit motosikal ditunggang lelaki terbabit bagi
mengelaknya terus mengekori mereka.
Nasib malang menimpa
kedua-dua suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk
penyalahgunaan dadah apabila tayar kiri van dinaiki tiba-tiba pecah
menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan terbabit sebelum terbabas di
Jalan Rhu Renggeh, di sini.
Sebaik tersadai di tepi jalan, kedua-dua suspek terbabit dibelasah
pengguna jalan raya lain sebaik diberitahu mereka mencuri van berkenaan
selain berang dengan tindakan suspek cuba menghimpit dan melanggar
lelaki yang mengekorinya itu serta memandu secara berbahaya termasuk
merempuh dua lampu isyarat.
Pergelutan itu bagaimanapun
berjaya dihentikan selepas polis tiba di tempat kejadian tidak lama
kemudian sebelum kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Marang untuk tindakan lanjut. Difahamkan, van jenis Nissan Vanette dicuri dua suspek berkenaan
adalah milik seorang buruh yang menetap di Kampung Binjai Manis, Manir,
Kuala Terengganu.
Kenderaan itu dikatakan hilang sejak
Selasa lalu selepas diletakkan di kawasan tempat letak kereta pusat
peranginan Batu Buruk kira-kira jam 6 petang ketika mangsa melawat adik
iparnya yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala
Terengganu.
Mangsa membuat laporan kehilangan kenderaannya
di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 8 malam
hari yang sama Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Marang,
Asisten Superintendan Mohd Zohan Seman yang dihubungi di sini semalam,
mengesahkan penahanan dua suspek berkenaan kira-kira jam 3.15 petang
kelmarin.
Katanya, kedua-dua suspek yang cedera dibelasah
dihantar ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut
Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.