SELEPAS sekian lama memendam rasa, akhirnya dua anggota kumpulan Sepah
iaitu, Jepp dan Shuib masing-masing meluahkan perasaan betapa mereka
sebenarnya sudah lama tidak tahan dengan kerenah Mamat.
Mengakui selama ini mendiamkan diri saja kerana mahu menghargai sokongan
peminat Sepah dalam program realiti Raja Lawak dan Maharaja Lawak,
kedua-duanya berasakan mereka seolah-olah tidak rugi apa-apa tanpa Mamat
lagi.
Ditemubual pada pada sidang media sempena pelancaran Sepah Bikin Album
bersama Sepahtu (Sepah Two), Jepp berkata, tindakan menyingkirkan Mamat
adalah keputusan muktamad.
Mereka juga sepakat untuk tidak sama sekali membuka peluang kepada
Mamat kembali menyertai Sepah yang kini diberi nafas baru dikenali
sebagai Sepah-tu atau Sepah Two.
“Sebelum ini banyak kenyataan di media mengatakan kami sudah
berpisah. Ketika itu saya juga ada mengumumkan Sepah dibubarkan. Selepas
itu, saya dan Shuib menubuhkan Sepahtu pula. Jadi anggota Sepahtu
selepas ini hanya saya dan Shuib saja.
“Jika boleh kami tidak mahu dikaitkan dengan Mamat. Kami rasa tidak
adil menggunakan nama Sepah lagi sedangkan Mamat bukan lagi anggota
kumpulan ini.
“Lagipun Mamat juga mengaku nama Sepah itu adalah miliknya,” katanya
yang tidak mahu lagi memanjangkan episod duka itu malah bersyukur
mengambil keputusan berpisah kerana tidak lagi akan terpalit dengan
mana-mana kontroversi yang dicetuskan Mamat.
Sejujurnya, Jep atau Mohd Nadzri Zainal Abidin, 26, berkata sejak
nekad mengambil keputusan berpisah, dia dan Shuib tidak lagi menghubungi
Mamat namun tidak menafikan bagi soal kerjaya mereka masih lagi boleh
disatukan.
“Kami akui mengalami masalah dalaman. Sukar untuk diberitahu kerana
ibarat membuka pekung kumpulan sendiri. Saya sudah nekad berpecah
daripada Raja Lawak lagi.
“Sudah lama saya bersabar dan masalah disiplin Mamat bukan sehari
dua berlaku namun apa saja nasihat yang diberikan ibarat mencurah air ke
daun keladi. Tiada perubahan dan dia tetap dengan sikapnya.
“Ikutkan hati mahu saja berpisah pada program Raja lawak lagi tetapi
mengenangkan tidak adil kepada pengundi yang mengundi atas nama Sepah,
saya bersabar sehinggalah keputusan berpisah akhirnya saya ambil,”
katanya yang mula mengakui punca perpisahan kumpulan itu berlaku
disebabkan masalah disiplin Mamat.
Katanya, niat untuk untuk meninggalkan Sepah dimaklumkan kepada Shuib menyebabkan rakannya itu sangat terkejut.
“Sebaik mengetahui saya ambil keputusan berpisah, Shuib sedih namun
akhirnya dia faham. Mamat pula menyangka hanya saya mahu keluar dari
kumpulan Sepah dan ada memberitahu di Facebook bahawa dia dan Shuib akan
meneruskan Sepah, tetapi tidak lama kemudian Shuib juga mengambil
tindakan sama.
“Saya tidak berniat mahu mengaibkan sesiapa. Saya kasihan dengan
Mamat tetapi tahap kesabaran saya ada batasnya. Selain ada masalah
disiplin, saya selalu menjadi tempat bekas teman wanitanya meluahkan
perasaan. Ada yang menghubungi saya bertanyakan Mamat dan saya tidak
mahu lagi semua ini berlaku dalam Sepah-tu,” katanya yang tidak suka hal
peribadi lebih menguasai mereka berbanding soal kerjaya.
Sementara itu, Shuib yang mendiamkan diri saja, kemudian bersuara
dengan mengatakan sebagai artis yang menjadikan bidang hiburan sebagai
punca rezekinya, dia turut sepakat dengan keputusan Jepp iaitu memilih
berpisah dengan Mamat kerana ada insan yang perlu disara dan demi masa
depannya sebagai penghibur yang perlu dijaga.
“Saya ada isteri. Saya perlu tanggung isteri saya dan mencari
rezeki. Jika saya mahu fikir hati orang saja, apa yang saya mahu beri
kepada isteri dan bakal anak saya nanti.
“Lagipun saya tidak fikir bila saya susah dan tiada duit ada orang
yang sudi membantu. Jadi saya perlu ambil keputusan itu,” kata Shuib
atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad sambil menyatakan dia lebih serasi
bekerjasama dengan Jepp berbanding Mamat.