CUEPACS lega apabila lima isu berbangkit membabitkan hak perundingan
bersama, isu penyelarasan gaji dan dasar pemisah atau exit policy dan
skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) berjaya diselesaikan dalam
satu perundingan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kelmarin.
Sehubungan itu, JPA akan memberi taklimat khas secara menyeluruh
kepada CUEPACS, Selasa ini yang dijangka disampaikan Ketua Pengarahnya,
Tan Sri Abu Bakar Abdullah di Putrajaya kepada Majlis Kongres CUEPACS
dan ketiga-tiga Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) di bawah JPA yang akan
membabitkan penyertaan 140 wakil jabatan.
Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata pertemuan yang mengambil
masa empat jam kelmarin berjalan dalam suasana mesra dan JPA memahami
hasrat CUEPACS yang mewakili kepentingan 1.4 juta penjawat awam
khususnya berkaitan opsyen SBPA yang sebelum ini ditetapkan sehingga 31
Disember ini.
Katanya, perjumpaan itu diadakan bagi memberi
penjelasan berikutan ada beberapa kekeliruan terhadap SBPA yang berbeza
maklumat serta taklimat di antara JPA dan CUEPACS kepada kakitangan
awam.
Beliau berkata, pada pertemuan itu, CUEPACS gembira
apabila JPA juga bersetuju membuat semakan semula terhadap 250,000
kakitangan awam dalam kumpulan gred 17 yang tidak berubah.
“CUEPACS dengan JPA tidak ada perbalahan cuma kita kesal kerana ketika
proses menyediakan SBPA, CUEPACS tidak dijemput bersama untuk memberi
pandangan.
“Namun, kita lega semuanya dapat diselesaikan dengan baik
termasuk semakan segera kakitangan awam kumpulan gred 17 seperti di
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),
Jabatan Imigresen membabitkan pembantu tadbir dan perkeranian yang gred
mereka tidak berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian
kepada pemberita selepas Persidangan Perwakilan Tri Tahunan ke-24
Kesatuan Kebangsaan Kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (ANULAE)
Semenanjung Malaysia yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,
Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said di
sini, semalam.
Omar berkata, taklimat Abu Bakar itu dijangka
menyelesaikan segala kekusutan yang berbangkit sebelum ini dan diharap
ketua jabatan tidak menekan kakitangannya supaya menandatangani segera
borang opsyen SPBA.
Bagaimanapun, beliau mengulangi pendirian
CUEPACS menolak sebarang pengambilan orang luar yang bukan dalam
perkhidmatan awam berkhidmat dalam sektor berkenaan.
“Kita
tetap membantah polisi ini kerana kita hanya mahu orang dalam
perkhidmatan awam saja mengisi jawatan tertinggi dalam sektor awam,”
katanya.
Sila baca selanjutnya → Edisi Hangat SBPA! Penjawat Awam Bakal Naik Gaji Lagi! Semakan Segera untuk Gred 17!