“Bagi menyelesaikan isu berkenaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Tabung Haji sedang bekerjasama dalam mengenal pasti individu terbabit dalam sindiket berkenaan, malah SPRM kini berusaha melengkapkan siasatan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau merujuk isu membabitkan sindiket melangkau giliran menunaikan haji dalam Sistem Maklumat Pengurusan Haji seperti yang dilaporkan media sebelum ini.
Ismee berkata, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah, mengesahkan bahawa satu siasatan sudah dijalankan oleh pihaknya berdasarkan maklumat yang diterima daripada Tabung Haji.
“SPRM juga meneliti sistem maklumat yang digunakan ketika ini. Perkara berkenaan turut disahkan oleh Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Shaharudin Khalid yang menegaskan bahawa kes berkenaan diserahkan kepada Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM.
“Ia bagi membolehkan penelitian menyeluruh ke atas sistem maklumat pengurusan haji yang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, Sistem Maklumat Pengurusan Haji ketika ini memberi penekanan kepada keselamatan aras kelulusan dan capaian pengguna, proses aliran kerja dan laporan peringatan berkala.















