PMS Automech Racing Team Raih Tempat Ke-5!
Politeknik Muadzam Shah telah berjaya mencatat kedudukan di tempat ke-5 dari 36 jentera yang dipertandingkan merangkumi 24 institusi pendidikan IPTA dan IPTS seluruh Malaysia.
Pelajar Politeknik Muadzam Shah Cipta E-Tajwid Untuk Android!
Boleh dikatakan terdapat pelbagai aplikasi bercorak pembelajaran agama untuk para pengguna Android, dan salah satunya adalah aplikasi E-Tajwid untuk Android.
Pekan Sungai Lembing Bakal Bandar Pelancongan!
"Pekan Sungai Lembing Bakal Bandar Pelancongan" berjaya memasuki ruangan Berita Harian pada 22 Mac 2013 yang lalu.
Program Imam Muda Musim 1 Politeknik Muadzam Shah!
Sekalung tahniah kepada penganjur program yang begitu bermanfaat ini.
Home » All posts
Edisi Pelik! Serius Pelik, Awek Comel Berkaki Zebra!
Oleh Kaki Wayang on
Sekali imbas kaki pompuan tu macam kaki Zebra..18 kali imbas..tetap rasa macam kaki pompuan tu kaki Zebra..ngehhhh..LOL!
Edisi Renungan! Kenali Hadis Dhaif dan Hukum Berkongsi Hadis Dhaif!
Oleh Kaki Wayang on
DEFINISI HADITH DHAIF:
Hadith dhaif ialah hadith yang tidak mencukupi
syarat untuk diterima. (منحة المغيث) Al-Hafiz Ibnu Solah telah mentakrifkan
hadith dhaif dengan katanya bahawa: "setiap hadith yang tidak mencukupi
syarat-syarat hadith sahih dan tidak juga mencukupi syarat-syarat hadith hasan,
maka itulah hadith dhaif". (139(تدريب الراوي :ص)
Hadith yang makbul (yang diterima) ialah
hadith yang mencukupi enam syarat iaitu:
1) Sanad yang bersambung
2) Para perawinya bersifat adil (mempunyai
ketaqwaan dan menjauhkan diri daripada kefasikan)
3) Para perawinya dhabit (pengingat melalui
catatan dan hafazan)
4) Tiada syaz (seorang perawi yang tidak
menyalahi dengan perawi-perawi yang lebih dipercayai daripadanya)
5) Tiada illah (tiada didapati kecacatan pada
matan dan sanad hadith)
6) Ada sanad yang menyokong atau menguatkan
ketika diperlukan. (14: (مصطلح الحديث)
PEMBAHAGIAN HADITH DHAIF
Hadith dhaif secara umum terbahagi kepada tiga
iaitu:
1) Hadith yang mana kedhaifannya boleh ditampung
dengan muafakat para ulama' kerana dikuatkan oleh kemasyhurannya yang datang
daripada riwayat yang lain ataupun ianya disokong oleh sokongan yang diterima,
lebih-lebih lagi apabila perawinya adalah seorang yang lemah hafazan atau
kedhaifannya disebabkan ianya diriwayatkan secara mursal (gugur sahabat nabi di
dalam sanad), ataupun tidak diketahui keadilan perawinya, maka hadith ini
tarafnya naik ke peringkat hadith hasan li gharih (hadith menjadi kuat
disebabkan ada sokongan). Maka jadilah ia hadith yang diterima pakai untuk
dibuat sebagai hujah sehingga di dalam hukum hakam. Hadith ini juga dinamakan
hadith mudho'af.
2) Hadith yang mana kedhaifannya tidak boleh
ditampung walaupun jalan-jalan periwayatannya banyak. Ia dinamakan hadith WAAHI
(bersangatan dhaif). Ini disebabkan perawinya seorang fasik atau dituduh
sebagai pembohong.
3) Hadith waahi tersebut yang mempunyai sokongan
daripada riwayat-riwayat yang lain, maka tarafnya naik kepada peringkat yang
lebih tinggi melebihi martabat hadith munkar (hadith yang bersangatan lemah dan
hadith yang tiada asal). Pada ketika ini diharuskan beramal dengannya di dalam
soal-soal fadhilah (kelebihan) amalan-amalan, tetapi tidak boleh diamalkan di
dalam soal aqidah dan hukum hakam. Sesetengah ulama' menyatakan juga bahawa
tidak boleh dijadikan rujukan untuk penafsiran Al-Quran. (11-10: (وظيفة الحديث الضعيف)
HUKUM BERAMAL DAN BERHUJAH DENGAN HADITH
DHAIF
Para ulama' telah berselisih pada keharusan
beramal dengan hadith dhaif kepada tiga pendapat:
Pendapat pertama
Tidak boleh beramal dengannya semata-mata samada
pada hukum-hakam atau fadhail amalan dan kelebihan seseorang atau sesuatu. Ini
adalah pendapat Ibnu Arabi Al-Maliki. Sesetengah karangan memasukkan Imam
Bukhari, Imam Muslim dan Ibnu Taimiyah di dalam golongan pertama ini. Demikian
itu adalah kesilapan besar yang akan kami nyatakan sebab-sebabnya dalam tajuk
ulasan pendapat yang pertama.
Pendapat kedua
Boleh beramal dalam semua keadaan apabila tidak
didapati hadith yang lain pada sesuatu bab melainkan hanya hadis dhaif. Ini
adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Abu Hanifah dan Imam Abu Daud.
Pendapat ketiga
Boleh beramal dengan hadith dhaif pada fadhail
amalan dan kelebihan seseorang atau sesuatu tetapi dengan beberapa syarat. Ini
adalah pendapat jumhur ulama'. Di antaranya Amirul Mukminin Fil Hadith Al-Hafiz
Ibnu Hajar Al-Asqalani, Al-Hafiz Imam Nawawi, Imam Al-Suyuti, Al-Hafiz
Al-Iraqi, Al-Khatib Al-Baghdadi dan lain-lain. Pendapat ini adalah yang
muktamad di sisi Imam Muhaddithin kerana ianya disokong oleh Syeikhul Islam
Ibnu Hajar Al-Asqalani. Syeikh Jamaluddin Al-Qasimi pernah menyatakan dalam
kitab beliau 'Qawaid Al-Tahdis' m/s 113: ""هذا هو المعتمد عند الأئمة
Ertinya: "Ini adalah pendapat yang muktamad di sisi imam-imam
hadith". (255-257: (الحديث الضعيف أسبابه وأحكامه
Adapun syarat-syarat beramal dengan hadith dhaif
sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Hafiz Al-Sakhawi dalam kitabnya, Al-Qaul
Al-Badi': "Aku telah mendengar daripada guru kami Al-Hafiz Ibnu Hajar
Al-Asqalani r.h.m memberitahu berulang kali bahawa syarat-syarat beramal dengan
hadith dhaif itu ada tiga:
1) Bahawa kedhaifan hadith itu tidak bersangatan.
Hadith yang bersangatan dhaif ialah perawinya pendusta atau yang dituduh dengan
dusta. Syarat ini disepakati oleh ulama.
2) Bahawa sesuatu hadith dhaif itu termasuk di
dalam asal (Quran, Hadith, Ijma' dan Qias) yang umum.
3) Bahawa tidak mengiktikadkan datang daripada
nabi s.a.w ketika beramal dengannya supaya tidak disandarkan kepada baginda
s.a.w dengan apa yang tidak dikatakan".
ULASAN PENDAPAT YANG PERTAMA
1) Timbul kemusykilan memasukkan Imam Bukhari
dalam golongan pertama kerana telah diketahui bahawa Imam Bukhari telah
memuatkan hadith-hadith dhaif di dalam kitabnya Al-Adabul Mufrad. Oleh kerana
itu, bagaimana boleh diterima dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Imam
Bukhari tidak membenarkan beramal dengan hadith dhaif. (35: (وظيفة الحديث
الضعيف.
2) Begitu juga Imam Bukhari memasukkan
hadith-hadith dhaif dalam kitab sahihnya sebagai penerangan bagi sesuatu tajuk
ataupun sebagai hadith "Mutaba'ah" (hadith yang dijadikan sokongan
bagi hadith-hadith sahih).
3) Tersebut dalam mukqaddimah kitab Sahih Muslim,
Imam Muslim ada menyatakan bahawa hadith dhaif tidak boleh beramal pada fadhail
amal, menggemarkan dan menakutkan sesuatu perkara adalah hanya sebagai syarat
untuk memuatkan hadith-hadith sahih di dalam kitab sahihnya. Oleh itu,
memasukkan beliau di dalam golongan pertama ini adalah suatu kesilapan besar.
4) Imam Muslim ada memuatkan hadith-hadith yang
diriwayat oleh Ibnu Ishaq yang dituduh dengan dhaif oleh sesetengah
muhaddithin. Riwayat Ibnu Ishaq tersebut dimuatkan oleh Imam Muslim dalam sahih
beliau sebagai hadith 'Mutaba'ah' (hadith yang menyokong hadith-hadith sahih
yang diutarakan). Ini menunjukkan bahawa beliau beramal dengan riwayat-riwayat
dhaif dalam fadhail, menggemar dan menakuti sesuatu perkara itu. Lagi pula,
untuk beramal dengan hadith-hadith Ibnu Ishaq ini, sesetengah para muhaddithin
meletakkan beberapa syarat, itupun tidak dapat dipenuhi oleh mereka,
sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Zahid Kaustari dalam 'Maqalatnya' pada
kisah Khalid bin Walid r.d.h.
5) Ibnu Taimiyah ada memasukkan hadith dhaif di
dalam kitabnya الكلم الطيب untuk menggemarkan beramal walaupun beliau menolak
pendapat yang mengatakan boleh beramal dengan hadith dhaif. (30: (وظيفة الحديث
الضعيف. Begitu juga dengan Ibnu Jauzi ada memasukkan hadith dhaif di dalam
kitabnya تلبيس الإبليس. (73 ص: درس الترمذي)
6) Setengah ulama' menerangkan maksud sebenar
perkataan Ibnu Arabi yang mengatakan tidak boleh beramal dengan hadith dhaif
ialah hadith yang bersangatan dhaif bukan semata-mata dhaif kerana beliau ada
memasukkan hadith dhaif di dalam kitabnya syarah Tirmizi عارضة الأحوذي(وظيفة
الحديث الضعيف: 15)
ULASAN PENDAPAT YANG KEDUA
1) Perkataan Imam Ahmad Bin Hambal: "Hadith
dhaif lebih disukai di sisiku daripada pendapat Mujtahid" telah
ditafsirkan oleh Ibnu Taimiyah dengan katanya: "Sesungguhnya perkataan
kami bahawa hadith dhaif itu lebih baik daripada pendapat imam mujtahid bukan
bermaksud dhaif yang matruk (perawinya dituduh berbohong) tetapi maksudnya
dhaif hasan". (مجموع الفتاوى: الجزء الأول: ص 251)
Maksud sebenar perkataan Ibnu Taimiyyah yang
menafsirkan perkataan Imam Ahmad Bin Hambal itu, difahami dengan meneliti
perkataan Ibnu Qaiyim yang merupakan murid kepada Ibnu Taimiyyah di mana beliau
menyebut bukanlah maksud hadith dhaif di sisi Imam Ahmad itu hadith yang batil,
hadith munkar dan hadith yang terdapat perawi yang ditohmah sebagai pendusta
sehingga tidak harus berpegang dan beramal dengannya bahkan hadith dhaif tersebut
di sisi Imam Ahmad adalah saudara bagi sahih dan satu bahagian daripada hadith
hasan (اعلام الموقعين: الجزء الأول: ص 31)
Keterangan Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qaiyim
terhadap perkataan Imam Ahmad itu adalah mengenai hadith dhaif yang di gunakan
di dalam hukum-hukum feqah di sisinya adalah hadith-hadith dhaif yang mana
diterima pakai oleh imam-imam mujtahid yang lain bukan ia menggunakan hadith
dhaif yang tidak diakui dan ditolak, seperti yang dijelaskan oleh Ibnu Qaiyim
di dalam kitabnya اعلام الموقعين .
ULASAN PENDAPAT YANG KETIGA
1) Para ulama' dari kalangan muhaddithin dan
fuqaha' dan selain mereka itu berkata: "Harus dan sunat beramal dengan
hadith dhaif pada fadhail amalan pada menggemarkan dan menakuti terhadap
sesuatu selama hadith itu bukan mauduk". Adapun hukum-hukum seperti
halal-haram, jual-beli, nikah, talak dan lain-lain lagi tidak boleh beramal
dengannya melainkan dengan hadith sahih dan hadith hasan kecuali melakukan
ihtiyat (berhati-hati) pada perkara tersebut. Apabila hadith dhaif mengenai makruh
setengah jualan atau pernikahan maka disunatkan menjauhinya tetapi ia bukan
wajib (الأذكار: ص 24،25) (Maksudnya disunatkan beramalkan dengan hadith dhaif
iaitu beramal dengan cara meninggalkan atau menjauhi larangan yang difahami
daripada hadith dhaif itu) Syeikh Ibnu Hibban di dalam kitabnya (النوائب)
meriwayatkan secara marfuk daripada Jabir:
"من بلغه عن الله عز وجل شيء فيه فضيلة فأخذ
به إيمانا به ورجاء لثوابه أعطاه الله ذلك وإن لم يكن كذلك"
Ertinya: "Barangsiapa yang sampai kepadanya
sesuatu daripada Allah yang memuatkan sesuatu fadhilat lalu ia beramal dengan
keimanan serta mengharapkan pahalanya maka Allah memberikan kepadanya yang
demikian itu sekalipun sebenarnya bukan begitu".
2) Dengan itu penerimaan hadith daif yang
diperkuatkan dengan sokongan dan riwayat yang lain di dalam perkara
menggemarkan, menakutkan, peradaban, sejarah, kisah tauladan dan seumpamanya
adalah diperbolehkan. Kerana inilah, Imam Al-Munziri mengumpulkan hadith-hadith
tersebut dalam kitabnya (الترغيب والترهيب) Perkara ini adalah ijmak para ulama'
seperti yang di nukilakan Imam Nawawi,Imam Ramli dan lainnya.Bahkan Imam Nawawi
menukilkan daripada ulama' bahawa beramal dengan hadith tersebut adalah
disunatkan. (وظيفة الحديث الضعيف: ص 21،22)
3) Segelintir masyarakat mempertikaikan
orang-orang sufi kerana beramal dengan hadith dhaif, walaupun disepakati oleh
para ulama' hadith bahawa hadith dhaif sunat diamalkan. Di kalangan ulama' sufi
pula tidak kurang ramainya yang terdiri daripada ulama' besar dalam bidang
hadith. Hadith-hadith yang diriwayatkan oleh tokoh-tokoh besar sufi seperti
Imam Ghazali tidak terdapat di dalam sanadnya perawi yang pendusta. Inilah
pendirian yang diambil oleh ulama' tasawuf. (وظيفة الحديث الضعيف: ص 19)
Peringatan:
1) Atas pendapat ketiga inilah, periwayatan Ibnu
Ishak terutama di dalam sirah dan maghazi (sejarah kebangkitan awal Islam,
pemerintahan dan peperangan) diterima pakai oleh ulama' hadith, sekalipun
beliau seorang perawi yang dhaif. Ini kerana sepertimana yang telah maklum
bahawa periwayatan seseorang yang dhaif itu diterima pada perkara-perkara yang
tidak berkaitan dengan aqidah dan hukum-hukum. Atas alasan inilah, Imam Bukhari
di dalam kitab sahihnya manjadikan riwayat Ibnu Ishak sebagai Istisyhad
(penyokong kepada hadith bab) (dan memasukkan juga di dalam terjemah bab
(tajuk). Imam Muslim didalam kitab sahihnya meletakkan riwayat Ibnu Ishak
sebagai mutaba'ah (penguat kepada hadith bab), di mana Imam Abu Daud, Tirmizi,
Nasai dan Ibnu Majah pula mengeluarkan hadith daripada Ibnu Ishak di dalam sunan-sunan
mereka.
Sungguhpun begitu, sekiranya terdapat periwayatan
beliau (Ibnu Ishak) menyalahi dengan apa yang diriwayatkan oleh imam yang
muktabar, maka periwayatan imam itulah yang mesti diutamakan. Ini bukanlah
bererti Ibnu Ishak berdusta dan sengaja mereka-rekakan cerita seperti yang
disangkakan oleh mereka yang tidak memahami ilmu hadith, tetapi beliau hanyalah
seorang perawi yang mengambil riwayat-riwayatnya daripada orang lain. Malangnya
sesetengah pihak berani menghukum bahawa tidak harus sama sekali meriwayatkan
daripada Ibnu Ishak, sekalipun berkenaan dengan sirah dan maghazi dengan alasan
bahawa beliau pendusta lagi bermazhab syiah. Sekiranya benar apa yang dikatakan
itu, nescaya Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah pun turut
dikira sebagai pendusta. Ini kerana meriwayatkan daripada seseorang yang
diyakini sebagai pendusta bererti menyebarkan perkara dusta dan mengiakannya.
Lebih malang lagi sehingga ada yang meletakkan
kedudukan sirah Ibnu Ishak dan sirah Ibnu Hisyam supaya di masukkan ke dalam
tong sampah. Ini tidak lain melainkan disebabkan tunpulnya kefahaman tentang
ilmu hadith atau menganggap diri mereka lebih berkaliber daripada imam-imam
yang muktabar dalam bidang hadith.
2) Abul Fadl Abdullah bin Al-Saddiq Al-Ghumari
menyebut perkataan para ulama' feqah bahawa hadith dhaif tidak boleh diamalkan
di dalam hukum-hakam bukanlah bersifat umum seperti yang difahami kebanyakan
orang. Ini kerana apabila anda meneliti pada hadith-hadith yang dipakai oleh
imam-imam Mujtahidin secara permuafakatan atau perseorangan anda akan mendapati
hadith-hadith dhaif di dalam hukum-hakam jumlahnya mencapai separuh atau lebih.
Bahkan anda akan dapati di dalamnya hadith munkar, hadith yang gugur perawinya
dan hadith yang hampir kepada taraf hadith maudhu' (yang direka-reka).
HUKUM MERIWAYATKAN HADITH DHAIF
1) Ulama' mengharuskan mempermudah-mudahkan pada
sanad hadith dhaif, meriwayatkannya dan beramal dengannya tanpa menyatakan
kedhaifannya. Oleh kerana itu hadith dhaif boleh diterima pakai di dalam segala
jenis amalan yang berbentuk menggemarkan, menakutkan, peradaban, kisah tauladan
bukan di dalam perkara aqidah seperti sifat Allah dan hukum seperti halal
haram. (تقريب النووي: ص 108)
2) Ibnu Abdul Barri ada menyatakan hadith yang
berkaitan dengan fadhilat maka kami tidak perlukan orang (perawi) yang layak
untuk dijadikan hujah. (tidak semestinya perawi itu thiqah).
3) Ibnu Mahdi menyebutkan dalam kitabnya
Al-Madkhal: "Apabila kami meriwayatkan daripada nabi s.a.w tentang halal
haram dan hukum- hakam maka kami mengetatkan sanad-sanadnya dan kami akan
membuat kritikan (pemeriksaan) terhadap rijal (nama perawi yang terdapat dalam
sanad). Tetapi apabila kami meriwayatkan hal-hal yang berkaitan dengan ganjaran
pahala dan seksa maka kami mempermudahkan sanad-sanadnya dan kami bertolak
ansur".
CARA MERIWAYATKAN HADITH DHAIF
Walaupun jumhur mengharuskan meriwayatkan hadith
dhaif, namun perlu di ingatkan mereka menyatakan bahawa tidak harus menggunakan
perkataan yang menunjukkan kepastian (sighah jazam) seperti "sabda
Rasullalah s.aw" ketika meriwayatkan hadith dhaif ini kerana untuk
mengelakkan daripada menisbahkan kepada Rasulullah s.a.w apa yang tidak
disabdakannya bahkan hendaklah digunakan kalimah yang menunjukkan
ketidakpastian (tamridh), seperti "diriwayatkan atau dikatakan bahawa nabi
s.a.w pernah bersabda" dan seumpamanya. (تقريب النووي: ص 22)
HADITH MURSAL
Hadith Mursal ialah hadith yang didapati gugur
seorang perawi (sahabat) pada sanadnya yakni hadith yang disandarkan kepada
nabi s.a.w oleh tabi'in yang tidak mendengar sendiri daripada nabi s.a.w,
mungkin ia meriwayatkan hadith dari sahabat nabi atau ia meriwayat daripada
orang lain. Hadith mursal ini tergolong daripada hadith-hadis dhaif kerana
tiada padanya sanad yang bersambung. (مصطلح الحديث: ص 22)
PENERIMAAN HADITH MURSAL DISISI PARA
ULAMA MUJTAHIDIN
Pendapat yang dipilih bahawa hadith Mursal
sahabat (seseorang sahabat menggugurkan sahabat yang lain dalam periwayatan
hadith) adalah diterima secara ijmak. Adapun hadith Mursal kurun kedua
(tabi'in) dan kurun ketiga(tabi'-tabi'in) ianya diterima dan boleh berhujah
pada hukum-hakam di sisi Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hambal
mengikut riwayat yang masyhur daripada kedua-duanya (Imam Malik dan Imam
Ahmad). Mursal kurun kedua yang diriwayatkan oleh Said bin Al-Musayyab, Sya'bi
dan Hasan Al-Basri adalah diterima sama sekali (tiada perselisihan pendapat).
Adapun di sisi Imam Syafie hadith Mursal diterima apabila terdapat lima
perkara:
1) Terdapat riwayat lain yang bersambung
sanadnya.
2) Terdapat juga hadith mursal yang lain dengan
perawi-perawi yang tersendiri.
3) Terdapat perkataan sahabat yang menyokong.
4) Disokong oleh kebanyakan ulama.
5) Diketahui bahawa ianya diriwayatkan secara
mursal daripada perawi yang adil.
(منحة المغيث: ص 47)
Contoh hadith mursal yang diterima oleh
Imam Syafie:
حدثنا قتيبة أخبرنا عبد الله بن زيد بن أسلم عن
أبيه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: من نام عن وتره فليصل إذا أصبح
Ertinya: "sesiapa yang tertidur serta
tertinggal daripada melakukan solat witir maka hendaklah ia sembahyang (qadha)
apabila berpagi-pagi ia (selepas sembahyang subuh).
Keterangan: Imam Syafie berdalil dengan hadith
ini walaupun ia adalah hadith mursal yang mana dikuatkan oleh hadith yang
diriwayatkan daripada Abu Sa'id Al Khudri. Hadith Abu Sa'id tersebut adalah
hadith yang bersambung sanadnya dan dinyatakan oleh Imam Abu Daud sebagai sahih
iaitu:
حدثنا محمود بن غيلان أخبرنا وكيع أخبرنا عبد
الرحمن بن زيد بن أسلم عن أبيه عن عطاء بن يسار عن أبي سعيد الخدري قال: قال رسول
الله صلى الله عليه وسلم: من نام عن الوتر أو نسيه فليصل إذا ذكر وإذا استيقظ
Ertinya: "sesiapa tertidur daripada
mengerjakan witir atau ia terlupa maka hendaklah sembahyang tatkala ia ingat
dan tersedar". ((تحفة الآحوذي شرح سنن الترمذي: ج 2: ص 569
KAEDAH MENGHUKUM SAHIH DAN DHAIF PADA
SESEBUAH HADITH
1) Menghukum sahih dan dhaif sesebuah hadith
merupakan satu bidang ilmu yang khusus di mana ulama' usul hadith dan juga
ulama Jarhu dan Ta'dil (ulama' pengkaji sanad atau pakar pengesah hadith) telah
pun menyusun ilmu tersebut semenjak beberapa kurun yang lalu. Di sini tidak
mungkin kami menyatakan keseluruhan bidang ilmu itu secara terperinci. Tetapi,
kami ingin menyentuh beberapa perkara yang kurang diberi perhatian oleh
segelintir masyarakat.
2) Ramai yang beranggapan bahawa hadith sahih
hanya dikumpulkan di dalam Kitab Sahih Bukhari dan Muslim sahaja tidak di dalam
kitab-kitab hadith yang lain. Ini kaedah yang salah yang digunakan oleh
kebanyakan orang. Kesahihan sesebuah hadith boleh ditentukan melalui kajian
terhadap sanad-sanadnya. Imam Bukhari berkata: "bahawa daku tidak dapat
mengumpulkan semua hadith-hadith sahih di dalam kitabku dan aku terpaksa
meninggalkan beberapa banyak hadith-hadith sahih supaya dapat dielakkan
daripada menjadi panjang". Pengakuan ini menunjukkan bahawa masih ada lagi
hadith-hadith yang sahih yang tidak termuat di dalam Sahih Bukhari dan
berkemungkinan besar terdapat hadith-hadith yang tinggi sanadnya daripada sanad
hadith Sahih Bukhari.
Syeikh Abdul Rashid Nukmani menaqalkan di dalam
kitabnya "ما تمس إليه الحاجة", bahawa sanad bagi sesetengah riwayat
yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah terlebih tinggi daripada sanad yang
diriwayatkan oleh Imam Bukhari sepertimana yang disepakati oleh ulama' hadith.
Oleh kerana itu, Sahih Bukhari diberi gelaran أصح الكتب بعد كتاب الله adalah
dengan mengambil kira dengan keseluruhan hadith bukan setiap hadith.
Imam Muslim berkata: "ليس كل صحيح وضعته هنا،
إنما وضعته هنا ما اجتمعوا عليه". Ertinya: "bukanlah aku dapat
meletakkan semua hadith sahih di sini (dalam kitab Sahih Muslim), hanya aku
memuatkan hadith-hadith sahih yang disepakati tentang kesahihannya".
3) Menghukum sahih dan dhaif sesebuah hadith
adalah satu kajian yang halus memerlukan pengetahuan yang luas dan mendalam.
Hanya mereka yang mencapai darjat ijtihad dalam bidang ini sahaja layak
mengkaji dan menentukan kesahihan atau kedhaifan sesebuah hadith. Menentukan
sesuatu hadith samada taraf sahih atau hasan atau dhaif berdasarkan pengamatan
zahir terhadap nama-nama yang terdapat dalam sanad bukan berdasarkan hakikatnya
kerana yang sebenar hanya Allah s.w.t.yang mengetahui. Oleh kerana itu ulama
hadis menyatakan bahawa mungkin ada di antara hadith sahih pada hakikatnya
ianya adalah hadith dhaif dan beberapa banyak hadith dhaif berkemungkinan besar
pada hakikatnya ianya adalah sahih. Oleh itu keyakinan terhadap mutu hadith
berdasarkan ijtihad (pengamatan yang zahir) (أوجز المسالك: ج 1: ص 228)
4) Periwayatan hadith diambil kira berdasarkan
kepada kejujuran (thiqah) dan amanah perawi bukan berdasarkan kepada mazhabnya
seperti Syiah, Rafidah, Murjeah, Muktazilah dan lain-lain. Berapa ramai di
kalangan perawi-perawi yang bermazhab Syiah, Khawarij dan lain di mana Imam
Bukhari dan Muslim berbangga menyebutkan nama-nama mereka dalam sanad mereka
berdua dan meriwayatkan hadith daripada mereka di dalam kitab sahih keduanya
(ميزان الجرح والتعديل: ص 34: محمد جمال الدين القاسمي )
5) Kebanyakan perawi yang kepercayaaan atau
dipercayainya (thiqah) meriwayatkan daripada perawi-perawi yang dhaif seperti
Sufyan Al-Thauri dan Syu'bah dan selain mereka. Syu'bah berkata sekiranya aku
tidak meriwayatkan hadith kepada kamu melainkan hanya daripada orang-orang yang
kepercayaan (thiqah) neccaya aku tidak akan meriwayatkan kepada kamu melainkan
daripada beberapa orang sahaja. Yahya Bin Al-Qattan berkata; "Sekiranya
aku tidak meriwayatkan hadith melainkan hanya daripada beberapa orang yang aku
redha (setuju) nescaya aku tidak boleh meriwayatkan hadith melainkan hanya
daripada lima orang sahaja atau seumpamanya" (شرح علل الترميذي: 29 )
Menurut ulama usul hadith apabila seorang perawi yang bersifat adil meriwayat
hadith yang diambil daripada perawi yang bertaraf dhaif maka ini bererti dia
menganggap perawi itu bertaraf adil. (وظيفة الحديث الضعيف: 18)
6) Terkadang wujud perselisihan ulama terhadap
sesebuah hadis atau seseorang perawi tentang sahih dan dhaif atau thiqah dan
tidak thiqah. Persoalannya pendapat yang manakah yang perlu
ditarjih(diutamakan), maka dengan itu Syeikh Abdul Haiyi Lakhnawi ada
mengemukakan tiga pendapat di dalam kitabnya الأجوبة الفاضلة untuk menghuraikan
perkara tersebut :-
i)Apabila didapati seseorang yang memudahkan
pentashihan hadith sementara yang lain pula amat berhati-hati, maka pendapat
yang mempunyai sikap berhati-hati akan ditarjihkan. Contohnya Hakim
mentashihkan suatu hadith dan Hafiz Zahabi pula mentad'ifkan hadith itu. Maka
pendapat Imam Zahabi akan diutamakan kerana Imam Hakim digelar sebagai (متساهل
في الحديث) yang mempermudah-mudahkan pada kajian hadith. Begitu juga Ibnu
Hibban memberi pengakuan thiqah terhadap seorang perawi sementara ada tokoh
lain yang lebih berwibawa pula menganggap tidak thiqah, maka pendapat Ibnu
Hibban ditolak kerana beliau memasukkan perawi yang majhul kedalam senarai
thiqahnya.
ii)Salah seorang diantara dua orang muhaddith
mempunyai sikap terlalu ketat dalam kajian hadith (تشدد) sementara seorang lagi
mempunyai sikap sederhana (معتدل). Maka pendapat yang sederhana itu akan
ditarjihkan seperti Ibnu Jauzi adalah mutasyaddid sementara Ibnu Hajar dan
Zahabi kedua-duanya mu'tadil maka Imam Ibnu Hajar dan Imam Zahabi diutamakan.
Ibnu Hajar berkata bahawa mengikut peredaran masa
ada empat generasi (طبقات) di kalangan Imam-Imam Pengkritik atau Pengesah Sanad
(أئمة الجرح والتعديل). Al-Hafiz Ibnu Hajar mengemukakan siapa Mutasyaddid
(bersikap terlampau ketat) dan siapa pula Mu'tadil (bersikap sederhana) pada
tabaqat (generasi) itu.
i. Tabaqat pertama Syukbah dan Sufyan Al-Thauri.
Syu'bah adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyaddud.
ii.Tabaqat kedua Yahya Bin Said Al-Qattan dan
Abdurrahman Bin Mahdi. Maka Yahya adalah pengkritik yang mempunyai sikap
tasyaddud.
iii.Tabaqat ketiga Yahya Bin Ma'in dan Ali Bin
Al- Madini. Maka Yahya Bin Ma'in adalah pengkritik yang mempunyai sikap
tasyaddud.
iv.Tabaqat yang keempat Ibnu Abi Hatim dan Imam
Bukhari. Ibnu Abi Hatim adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyaddud.
Oleh demikian itu apabila didapati perselisihan
di antara mereka maka hendaklah mengambil qaul yang sederhana atau pertengahan
(متوسط) dan meninggalkan qaul yang tasyaddud. Syeik Abdul Haiyi Lakhnawi
berkata kemudian daripada tabaqat yang empat ialah Ibnu Jauzi, Hafiz Saghani
dan Ibnu Taimiyah dianggap mutasyaddid dan Hafiz Ibnu Hajar, Hafiz Zahabi,
Hafiz Iraqi dan Hafiz Zaila'i dianggap mutawassit atau mu'tadil dan pendapat
mereka ini akan diutamakan.
Meneliti dalil-dalil bagi dua pihak dan
mengutamakan qaul yang mempunyai dalil yang kuat sedangkan kebolehan meneliti
tidak ada pada setiap orang.
7) Hadith-hadith yang ditashihkan oleh ulama'
hadith dan feqah yang muktabar lagi yang terdahulu itu tidak akan jadi dhaif
kerana mencelahi perawi daif kemudian daripada mereka itu. Maka pentashihan
hadith yang dibuat oleh fuqahak (Imam-Imam Mujtahid) lebih tinggi kedudukannya
daripada pentashihannya yang dibuat oleh ulama' hadith. Contohnya tersebut di
dalam Sunan Tirmizi yang berbunyi:
حدثنا يحي بن موسى أخبرنا أبو معاوية أخبرنا خالد
بن إياس عن صالح مولى التوأمة عن أبي هريرة قال: كان النبي صلى الله عليه وسلم
ينهض في الصلاة على صدور قدميه.
Ertinya: "Adalah Nabi s.a.w bangun berdiri
(qiyam) di dalam sembahyang diatas kedua hujung jejari kakinya".
Hadith ini dhaif di sisi Imam Tirmizi kerana
terdapat Khalid bin Iyaas yang mana beliau adalah perawi yang dhaif. Akan
tetapi hadis ini dianggap sahih di sisi Imam Abu Hanifah kerana tidak didapati
Khalid bin Iyaas tersebut di dalam sanadnya.
8) Hadith dhaif tidak semestinya ditolak
bulat-bulat kerana ianya boleh mencapai darjat hasan dan menjadi makbul
sekiranya jalan periwayatannya berbilang-bilang sepertimana Mulla Ali Al-Qari
berkata: "وتعدد الطرق يبلغ الحديث الضعيف إلى حد الحسن" bermaksud:
"hadith boleh mencapai darjat hasan (hasan li ghairihi) dengan banyak jalan
periwayatan". Demikian juga tersebut di dalam شرح النخبة m/s 24, ((والضعيف
أن تعددت طرقه أو تأيد بما يرجح قبوله فهو الحسن لغيره )) ertinya: "sekiranya hadith dhaif berbilang-bilang periwayatan atau
dikuatkan dengan hadith yang terlebih kuat penerimaannya maka ia menjadi hasan
li ghairihi".
9) حديث ضعيف مؤيد بالتعامل iaitu hadith dhaif
yang disokong oleh amalan sahabat dan tabi'in. Apabila amalan mereka itu
bertepatan dengan hadith dhaif maka dengan sendiri hadith dhaif itu menjadi
hadith yang layak diamalkan dan dibuat hujah. Sebagai contoh:
(هو الطهور ماؤه والحل ميتته، القاتل لا يرث، لا
وصية لوارث)
Ertinya: "Ianya (air laut) adalah suci
airnya dan halal bangkainya. Pembunuh tidak boleh mewarisi harta orang yang
dibunuhnya. Tidak boleh berwasiat untuk orang yang menerima harta pusaka",
Hadith-Hadith ini diakui dhaif oleh kebanyakan
muhaddithin walaupun begitu ianya boleh diterima untuk dijadikan dalil (قابل
للإستدلال) kerana didapati ramai sahabat dan tabein beramal dengan hadith itu.
Telah berkata Ibnu Abdul Barri di dalam kitabnya
الاستذكار ketika menghikayatkan daripada Imam Tirmizi bahawa Imam Bukhari telah
menghukum sahih Hadith Al-bahr (هو الطهور ماؤه والحل ميتته) sedangkan ahli
hadith tidak mentashih sanad seperti ini tetapi hadith itu adalah sahih
disisiku kerana ulama' telah menerimanya dengan secara qabul (penerimaan
berterusan). Sesetengah ulama' menghukumkan kesahihan mengenai sesebuah hadith
apabila ada penerimaan yang berterusan daripada orang ramai sekalipun sanadnya
tidak sahih. Berkata Al-Ustaz Al-Isfirayini: "Dikenali kesahihan hadith
apabila masyhur di sisi ulama' hadith tanpa sebarang penafian daripada mereka
itu". Hadith yang diterima oleh ulama' secara berterusan maka hadith itu
termasuk di dalam hadith makbul sekalipun tidak memenuhi syarat sahih kerana
ummah tidak berhimpun dalam perkara kesesatan. (وظيفة الحديث الضعيف: إمام محمد
زكي إبراهيم: ص 27-28)
KESIMPULAN
Menerima pakai hadith dhaif dalam segala jenis
amalan yang berbentuk menggemarkan dan menakutkan, soal adab, kisah tauladan,
nasihat-nasihat dan seumpamanya adalah dibolehkan. Perkara ini disepakati oleh
ulama' Muhaddithin.Imam Nawawi menukilkan pandangan ulama' bahawa dalam hal-hal
tersebut disunatkan beramal dengan hadith dhaif.Penerimaan hadith dhaif dalam
perkara-perkara terbabit adalah disyaratkan jangan terlampau kuat kedhaifannya
dan jangan pula hadith tersebut bercanggah dengan hadith yang sahih.Perlu
mematuhi kaedah di sisi ulama' hadith yang berlandaskan pentashihan dan
pendhaifan hadith.Jangan mengambil sikap terlalu mudah menolak hadith dhaif
sedangkan ulama'-ulama' yang mu'tabar sudahpun mengambil pendirian dan sikap
yang sederhana mengenai menerima dan beramal dengan hadith dhaif.
Mudah-mudahan Allah s.w.t memberi taufiq kepada
kita agar dapat mengikuti jalan yang benar lagi lurus dan menjauhi kita
daripada menuruti jalan yang sesat lagi menyesatkan.
Edisi Soal Jawab! Bolehkah Melompat Turutan Wali?
Oleh Kaki Wayang on
Soalan:
Masalah saya lebih kurang dengan soalan 148, tapi saya tidak berapa jelas dengan jawapan yang diberi. Masalah saya semua adik beradiknya tidak layak untuk menjadi wali. Bolehkah kita melompat dari turutan yang ustaz bagi, iaitu mengambil yang layak sedangkan yang lain masih hidup?
Jawapan:
Boleh melompat wali daripada turutannya asal sahaja wali yang sepatutnya mewalikan perkahwinan tidak layak berbuat demikian oleh sebab berikut:
1. Kufur.
2. Belum Baligh.
3. Gila.
4. Tidak dapat menguruskan diri sendiri kerana dungu.
5. Tidak dapat menilai baik dan buruknya sesuatu itu atau kurang akal.
Jika berlaku sebab-sebab ini bolehlah berlaku perpindahan wali walaupun wali yang sepatutnya masih hidup.
Masalah saya lebih kurang dengan soalan 148, tapi saya tidak berapa jelas dengan jawapan yang diberi. Masalah saya semua adik beradiknya tidak layak untuk menjadi wali. Bolehkah kita melompat dari turutan yang ustaz bagi, iaitu mengambil yang layak sedangkan yang lain masih hidup?
Jawapan:
Boleh melompat wali daripada turutannya asal sahaja wali yang sepatutnya mewalikan perkahwinan tidak layak berbuat demikian oleh sebab berikut:
1. Kufur.
2. Belum Baligh.
3. Gila.
4. Tidak dapat menguruskan diri sendiri kerana dungu.
5. Tidak dapat menilai baik dan buruknya sesuatu itu atau kurang akal.
Jika berlaku sebab-sebab ini bolehlah berlaku perpindahan wali walaupun wali yang sepatutnya masih hidup.
Edisi Soal Jawab! Hukum Anak Luar Nikah!
Oleh Kaki Wayang on
Soalan:
Hukum anak luar nikah tetapi baru berusia 2 bulan di dalam rahim ibunya sebelum dinikahkan?
Jawapan:
Dalam sebuah hadis riwayat muslim menjelaskan larangan melakukan khalwat antara seorang teruna dengan seorang dara, kerana ia merupakan jalan mudah ke arah perzinaan. Dalam Al-Qur'an pula jelas melarang perzinaan kerana zina itu mendatangkan dosa besar dan boleh menghuru-harakan masyarakat dan negara.
Jika seorang dara melakukan perzinaan dengan seorang teruna bererti ia telah melakukan dosa besar. Dalam Islam ia perlu dikenakan hukuman dirotan sebanyak 100 rotan seterusnya bertaubat kepada Allah. Ini sekiranya ia menyerah diri kepada pihak yang berkuasa.
Jika ia tidak menyerah diri kepada pihak yang berkuasa, maka tidak wajib kepada pihak berkuasa mencarinya kerana perzinaan itu hanya menjadi rahsia antara dia dengan pasangannya sahaja dan ia akan menerima balasan Allah pada hari kiamat kelak, kerana dosanya tidak akan gugur selagi mana belum dilaksanakan hukum hudud tersebut ke atas dirinya.
Persoalannya setelah melakukan perzinaan, si dara mengandung kemudian selepas dua bulan berlalu barulah pasangan terlibat berkahwin, dari segi berdosa ia tetap dikira berdosa tetapi dari segi sabit keturunannya anak itu layak dibinkan kepada pihak yang menzinai perempuan tersebut yang berkahwin dengannya. kerana ulamak madhhab Syafii mensyaratkan sekurang-kurang untuk menyabitkan keturunan seseorang anak itu mestilah lahir selepas enam bulan dari tarikh ibubapanya berkahwin.
Edisi Soal Jawab! Kahwin Melalui Wali Yang Tidak Sah!
Oleh Kaki Wayang on
Soalan:
Masalahnya berlaku apabila seorang gadis ingin diperisterikan tetapi si bapa gadis tidak mahu masyarakat tahu yang anak gadisnya adalah hasil di luar nikah lalu mewalikan anak gadisnya. Apakah hukumnya perkahwinan tersebut dan bagaimana menyelesaikan masalah ini sekiranya si gadis telahpun mempunyai anak dengan suaminya yang disangkanya sah itu?
Jawapan:
Seseorang yang ingin berkahwin memerlukan kepada wali. Wali dalam perkahwinan adalah satu rukun yang penting. Tanpa kebenaran dari pihak wali sesuatu perkahwinan itu tidak sah. Wali yang paling afdal dalam sesuatu proses perkahwinan ialah wali mujbir iaitu bapa atau datuk. Bagi orang yang tidak mempunyai wali, maka yang menjadi walinya ialah wali hakim sebagaimana yang disebutkan didalam sebuah hadis sahih riwayat At-Tirmidhi.
Jika seseorang itu tidak layak menjadi wali kepada sesuatu proses perkahwinan seperti mana dalam kes di atas, tetapi ia mewalikan juga perkahwinan itu kerana menutup malu dari tersebar kepada umum, maka hukum perkahwinan tersebut tidak sah. Pengantin terlibat hendaklah berpisah dengan pasangannya dengan seberapa segera. Jika ia masih bersama dengan pasangannya itu, bererti ia telah melakukan perzinaan, manakala anak yang dilahirkan adalah anak zina. Dalam kes ini suka dinasihatkan kepada yang terlibat supaya membuat aduan kepada pejabat agama di daerah masing-masing, supaya tindakan selanjutnya dapat diambil dan pasangan terlibat pula tidak terus menerus berada dalam perzinaan.