PMS Automech Racing Team Raih Tempat Ke-5!
Politeknik Muadzam Shah telah berjaya mencatat kedudukan di tempat ke-5 dari 36 jentera yang dipertandingkan merangkumi 24 institusi pendidikan IPTA dan IPTS seluruh Malaysia.
Pelajar Politeknik Muadzam Shah Cipta E-Tajwid Untuk Android!
Boleh dikatakan terdapat pelbagai aplikasi bercorak pembelajaran agama untuk para pengguna Android, dan salah satunya adalah aplikasi E-Tajwid untuk Android.
Pekan Sungai Lembing Bakal Bandar Pelancongan!
"Pekan Sungai Lembing Bakal Bandar Pelancongan" berjaya memasuki ruangan Berita Harian pada 22 Mac 2013 yang lalu.
Program Imam Muda Musim 1 Politeknik Muadzam Shah!
Sekalung tahniah kepada penganjur program yang begitu bermanfaat ini.
Showing posts with label Kehidupan Barzakh yang hakiki. Show all posts
Showing posts with label Kehidupan Barzakh yang hakiki. Show all posts
Home » Posts filed under Kehidupan Barzakh yang hakiki
Edisi Hangat! Kehidupan barzakh yang hakiki!
Oleh Kaki Wayang on
Kita mulakan ruang kali ini dengan mengucapkan tahniah kepada para
pembaca semuanya di atas kedatangan bulan Rabiulawal kali ini. Bulan
yang telah menjadi mulia dan dimuliakan dengan dilahirkan makhluk Allah
SWT yang paling mulia di bulan itu.
Kita pula telah diangkat menjadi umat yang paling mulia kerana kita dinisbahkan kepada Saidina Muhammad SAW.
Maka wajiblah sebagai tanda mensyukuri nikmat-nikmat yang besar ini
kita mengisi bulan ini bahkan bulan-bulan lain malah seluruh kehidupan
kita dengan mengingati, mengasihi dan berkhidmat kepada saidina Nabi
SAW.
Kita akan menyambung siri perbahasan kitab Kefahaman Yang Wajib
Diperbetulkan dengan melihat beberapa persoalan rencam yang menimbulkan
kekeliruan sesudah kita selesai menyentuh dua bab besar iaitu berkaitan
akidah dan kenabian.
Memurnikan kefahaman
Pada minggu ini kita akan mula membahas tentang hakikat alam Barzakh
atau alam kubur. Salah tanggap tentang hal ini menyebabkan sebahagian
daripada kita memandang serong terhadap sebahagian yang lain.
Misalnya dalam musim-musim Maulid ini apabila mereka mendegar pujian
dan ucapan yang ditujukan kepada baginda SAW mereka akan menganggapnya
sebagai sesuatu yang sia-sia dan berbaur kesesatan.
Sedangkan, seperti yang kita akan bahaskan nanti, Nabi SAW walaupun
telah wafat dan berpindah ke alam barzakh, dikurniakan keistimewaan
boleh mengetahui apa yang berlaku di alam kita. Oleh itu, wajarlah kita
memurnikan kefahaman kita tentang alam barzakh.
Kehidupan di alam barzakh adalah kehidupan yang benar lagi hakiki.
Kenyataan ini telah ditunjuki oleh ayat-ayat al-Quran yang jelas dan
hadis-hadis nabi SAW yang masyhur lagi sahih.
Kehidupan yang hakiki ini tidak bercanggah dengan sifat kematian mereka, seperti yang disebut di dalam kitab Allah yang mulia: Dan Kita tidak menjadikan seseorang manusia sebelum kamu dapat hidup kekal (di dunia ini). (al-Anbiyaa': 34) dan, Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati. (al-Zumar: 30)
Apa yang kita maksudkan kehidupan ini bukanlah suatu khayalan atau
gambaran semata-mata seperti yang digambarkan oleh sebahagian golongan
ateis (tidak mempercayai kewujudan Tuhan); yang mana akal mereka tidak
akan mengaku beriman selagi tidak dibuktikan dengan pandangan lahiriah
yang dapat dicapai dengan pancaindera.
Mereka tidak menerima perkara ghaib, yang tidak mampu digambarkan oleh akal manusia yang lemah.
Sesungguhnya meneliti sejenak mengenai apa yang kita katakan dengan
kehidupan alam barzakh adalah kehidupan yang hakiki sebenarnya sangat
mudah.
Ia tidak meninggalkan sebarang kemusykilan walau sebesar zarah
sekalipun hatta kepada orang yang hanya mempunyai kefahaman dan
penghayatan yang cetek dalam memahami sesuatu maksud perkataan.
Perkataan hakikiah tidak lain semata-mata untuk menafikan
sebarang bentuk kebatilan dan menolak segala keraguan serta mencantas
apa jua khayalan yang terlintas di dalam pemikiran akal manusia yang
sentiasa diselubungi keraguan mengenai keadaan alam barzakh dan alam
akhirat serta alam-alam lain seperti hari kiamat, alam kebangkitan, alam
dikumpulkan semula manusia dan alam perhitungan.
Makna perkataan hakikiah ini difahami oleh kebiasaan
orang-orang Arab yang mengetahui bahawa kalimah hakiki membawa maksud
hakikat; iaitu bertentangan dengan keraguan, khayalan atau segala bentuk
igauan.
Maka hakikiah bermaksud sesuatu yang tidak meragukan dan inilah maksud sebenarnya.
Inilah fahaman dan gambaran kita mengenai permasalahan ini.
Sesungguhnya banyak hadis dan athar yang saling menyokong antara satu
sama lain dalam menthabitkan bahawa orang yang telah mati itu sebenarnya
mendengar dan merasai, malahan mereka mengetahui apa yang berlaku di
dunia; tidak kira dia itu seorang mukmin atau kafir.
Antara hadis yang menjadi sandaran adalah hadis qalib, hadis ini adalah thabit di dalam Sohihain, (al-Bukhari dan Muslim) dari pelbagai jalan (riwayat); daripada Abi Talhah, Umar dan anaknya, Abdullah r.a: "Sesungguhnya
Nabi SAW mengarahkan 24 orang pahlawan Quraisy (yang mati di dalam
peperangan Badar) ditanam. Maka mereka mencampak mayat tersebut ke dalam
salah sebuah wadi di Badar.
Kemudian Rasulullah SAW menyeru mereka dengan nama mereka, "Wahai Abu
Jahal ibn Hisham! Wahai Umaiyah ibn Khalaf! Wahai 'Utbah ibn Rabi'ah!
Wahai Syaibah ibn Rabi'ah! Adakah kalian telah mendapati apa yang tuhan
kalian janjikan itu benar? (Ketahuilah) Sesungguhnya aku telah mendapati
apa yang telah dijanjikan oleh Tuhanku itu benar belaka". Berkata Umar
r.a: "Wahai Rasulullah! Apakah yang kamu katakan terhadap jasad-jasad
yang tiada roh itu?"
Maka bersabda Nabi SAW: "Demi diriku yang berada dalam Kekuasaan-Nya!
Kalian semua tidak lebih mendengar tentang apa yang aku katakan
daripada mereka, cuma mereka tidak mampu menjawabnya".