Edisi Hangat! Kehidupan barzakh yang hakiki!

Oleh Kaki Wayang on

Kita mulakan ruang kali ini dengan mengucapkan tahniah kepada para pembaca semuanya di atas kedatangan bulan Rabiulawal kali ini. Bulan yang telah menjadi mulia dan dimuliakan dengan dilahirkan makhluk Allah SWT yang paling mulia di bulan itu. 

Kita pula telah diangkat menjadi umat yang paling mulia kerana kita dinisbahkan kepada Saidina Muhammad SAW. 

Maka wajiblah sebagai tanda mensyukuri nikmat-nikmat yang besar ini kita mengisi bulan ini bahkan bulan-bulan lain malah seluruh kehidupan kita dengan mengingati, mengasihi dan berkhidmat kepada saidina Nabi SAW.

Kita akan menyambung siri perbahasan kitab Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan dengan melihat beberapa persoalan rencam yang menimbulkan kekeliruan sesudah kita selesai menyentuh dua bab besar iaitu berkaitan akidah dan kenabian.

Memurnikan kefahaman

Pada minggu ini kita akan mula membahas tentang hakikat alam Barzakh atau alam kubur. Salah tanggap tentang hal ini menyebabkan sebahagian daripada kita memandang serong terhadap sebahagian yang lain. 

Misalnya dalam musim-musim Maulid ini apabila mereka mendegar pujian dan ucapan yang ditujukan kepada baginda SAW mereka akan menganggapnya sebagai sesuatu yang sia-sia dan berbaur kesesatan. 

Sedangkan, seperti yang kita akan bahaskan nanti, Nabi SAW walaupun telah wafat dan berpindah ke alam barzakh, dikurniakan keistimewaan boleh mengetahui apa yang berlaku di alam kita. Oleh itu, wajarlah kita memurnikan kefahaman kita tentang alam barzakh.

Kehidupan di alam barzakh adalah kehidupan yang benar lagi hakiki. Kenyataan ini telah ditunjuki oleh ayat-ayat al-Quran yang jelas dan hadis-hadis nabi SAW yang masyhur lagi sahih. 

Kehidupan yang hakiki ini tidak bercanggah dengan sifat kematian mereka, seperti yang disebut di dalam kitab Allah yang mulia: Dan Kita tidak menjadikan seseorang manusia sebelum kamu dapat hidup kekal (di dunia ini). (al-Anbiyaa': 34) dan, Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati. (al-Zumar: 30)

Apa yang kita maksudkan kehidupan ini bukanlah suatu khayalan atau gambaran semata-mata seperti yang digambarkan oleh sebahagian golongan ateis (tidak mempercayai kewujudan Tuhan); yang mana akal mereka tidak akan mengaku beriman selagi tidak dibuktikan dengan pandangan lahiriah yang dapat dicapai dengan pancaindera. 

Mereka tidak menerima perkara ghaib, yang tidak mampu digambarkan oleh akal manusia yang lemah.

Sesungguhnya meneliti sejenak mengenai apa yang kita katakan dengan kehidupan alam barzakh adalah kehidupan yang hakiki sebenarnya sangat mudah. 

Ia tidak meninggalkan sebarang kemusykilan walau sebesar zarah sekalipun hatta kepada orang yang hanya mempunyai kefahaman dan penghayatan yang cetek dalam memahami sesuatu maksud perkataan. 

Perkataan hakikiah tidak lain semata-mata untuk menafikan sebarang bentuk kebatilan dan menolak segala keraguan serta mencantas apa jua khayalan yang terlintas di dalam pemikiran akal manusia yang sentiasa diselubungi keraguan mengenai keadaan alam barzakh dan alam akhirat serta alam-alam lain seperti hari kiamat, alam kebangkitan, alam dikumpulkan semula manusia dan alam perhitungan. 

Makna perkataan hakikiah ini difahami oleh kebiasaan orang-orang Arab yang mengetahui bahawa kalimah hakiki membawa maksud hakikat; iaitu bertentangan dengan keraguan, khayalan atau segala bentuk igauan. 

Maka hakikiah bermaksud sesuatu yang tidak meragukan dan inilah maksud sebenarnya. 

Inilah fahaman dan gambaran kita mengenai permasalahan ini. Sesungguhnya banyak hadis dan athar yang saling menyokong antara satu sama lain dalam menthabitkan bahawa orang yang telah mati itu sebenarnya mendengar dan merasai, malahan mereka mengetahui apa yang berlaku di dunia; tidak kira dia itu seorang mukmin atau kafir.

Antara hadis yang menjadi sandaran adalah hadis qalib, hadis ini adalah thabit di dalam Sohihain, (al-Bukhari dan Muslim) dari pelbagai jalan (riwayat); daripada Abi Talhah, Umar dan anaknya, Abdullah r.a: "Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan 24 orang pahlawan Quraisy (yang mati di dalam peperangan Badar) ditanam. Maka mereka mencampak mayat tersebut ke dalam salah sebuah wadi di Badar. 

Kemudian Rasulullah SAW menyeru mereka dengan nama mereka, "Wahai Abu Jahal ibn Hisham! Wahai Umaiyah ibn Khalaf! Wahai 'Utbah ibn Rabi'ah! Wahai Syaibah ibn Rabi'ah! Adakah kalian telah mendapati apa yang tuhan kalian janjikan itu benar? (Ketahuilah) Sesungguhnya aku telah mendapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhanku itu benar belaka". Berkata Umar r.a: "Wahai Rasulullah! Apakah yang kamu katakan terhadap jasad-jasad yang tiada roh itu?"

Maka bersabda Nabi SAW: "Demi diriku yang berada dalam Kekuasaan-Nya! Kalian semua tidak lebih mendengar tentang apa yang aku katakan daripada mereka, cuma mereka tidak mampu menjawabnya".

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...