BERBANGSA Cina, tetapi berjaya membuat kejutan apabila memperoleh  pangkat A dalam subjek Bahasa Arab Komunikasi dalam peperiksaan  Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu. Di atas kecemerlangan itu, anak kelahiran Jelawat, Bachok, Kelantan  itu, turut menjadi sebutan apabila terpilih sebagai salah seorang  penerima anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan Februari lalu. Itu  keistimewaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan, Wee  Soo Yen, 16. 
      Fasih berbahasa Melayu dan Arab, Soo Yen mengakui bukan mudah untuk  dia mencapai kejayaan berkenaan kerana perlu berdepan tentangan keluarga  dan mengambil masa lama untuk menguasai subjek dipilih itu. 
“Pada mulanya keluarga membantah (memilih subjek Bahasa Arab  Komunikasi) kerana tidak yakin dengan kemampuan saya. Keluarga terutama  ibu bimbang saya tidak mampu menguasai subjek berkenaan. 
    
“Namun, dengan semangat dan kesungguhan, saya berusaha keras selama  tiga tahun sebelum dapat menguasai subjek itu, sekali gus mampu  bertutur dalam bahasa Arab. Untuk menguasainya saya beri tumpuan khusus  kepada subjek berkenaan dan memastikan mendapat pangkat A setiap kali  menduduki ujian atau peperiksaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya  baru-baru ini.
Menurut Soo Yen yang aktif dalam Persatuan Bahasa Arab di sekolahnya,  keinginannya untuk memilih bahasa Arab didorong pengaruh rakan sebaya  sejak dari usia tiga tahun lagi. “Ketika itu, saya turut mengikuti kelas Fardu Ain dan mempelajari  al-Quran. Rakan memberi dorongan supaya saya cuba untuk menguasai bahasa  Arab. 
“Apabila masuk ke tingkatan satu, saya terus memilih subjek Bahasa  Arab Komunikasi sehinggalah berjaya menguasainya. Selain usaha keras,  kejayaan diperoleh adalah hasil bantuan dan sokongan daripada keluarga,  guru dan rakan sebaya,” katanya. 
Anak sulung daripada dua beradik yang bercita-cita menjadi  pensyarah itu berkata, anugerah Maulidur Rasul yang diterimanya tidak  pernah diimpikannya kerana dia hanya mahu melakukan sesuatu yang  mencabar dan luar daripada kebiasaan. 
“Ketika diberitahu terpilih untuk menerima anugerah itu, saya  memang terkejut. Apapun, anugerah diterima menguatkan lagi semangat saya  untuk terus mencipta kejayaan pada masa depan. 
“Saya akan terus berusaha melakukan sesuatu perkara yang mencabar,  kerana bagi saya perkara yang sukar akan menjadi lebih senang jika kita  berusaha bersungguh-sungguh dan tidak jemu untuk menimba ilmu dengan  individu yang lebih berpengalaman,” katanya yang memperoleh 9A dalam  PMR. 
Ditanya mengenai kehidupan seharian, Soo Yen mengakui dia lebih dekat dengan kehidupan orang Melayu. 
“Di sekolah saya berkawan dengan pelajar Melayu. Di rumah pula, dengan ibu dan ayah saya bertutur dalam bahasa Melayu.  “Bagaimanapun, saya tidak melupakan bahasa dan budaya asal saya,” katanya.   Bagi ibu Soo Yen, Soo Ah Khem, 46, anak sulungnya mula memilih untuk belajar bahasa Arab ketika memasuki tingkatan satu. 
Katanya, Soo Yen memang minat mendalami bahasa Arab walaupun pada awalnya dia kurang yakin dengan kemampuan anaknya itu.   “Saya masih ingat, ketika kami melarangnya mengambil subjek itu, muka anak saya berubah dan prestasinya juga menurun. 
“Melihat perubahannya yang mendadak itu, saya dan suami mengambil  satu pendekatan untuk memberikan peluang kepada  anak kami belajar apa  saja bahasa yang diminatinya. “Apabila dia meyakinkan kami bahawa akan lulus subjek itu, saya  tidak lagi membantah,” katanya yang juga kakitangan di Pejabat Pelajaran  Daerah (PPD) Bachok. 
Menurutnya, Soo Yen banyak mendapat bimbingan guru selain bahan  tambahan dan kamus bahasa Arab yang dibeli untuk rujukan  pembelajarannya. 
PROFIL 
NAMA: Wee Soo Yen 
UMUR: 16 tahun 
ASAL: Bachok, Kelantan 
KELUARGA: Anak sulung daripada dua beradik 
PENDIDIKAN: Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok
PENCAPAIAN: Memperoleh 9A dalam peperiksaan Penilaian  Menengah Rendah (PMR) tahun lalu termasuk subjek Bahasa Arab Komunikasi.  Penerima anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan Februari lalu 
Tahniah dan syabas kepada adik Wee Soo Yen. Semoga ianya menjadi pembakar semangat dan pemangkin kepada kita semua. Khususnya kepada masyarakat berbangsa melayu. Kalau anak cina boleh buat tak kan kita yang dah biasa dengan bahasa Al-Quran tak mampu untuk berjaya dalam bahasa arab.