Edisi Hangat! Teka-teki siapa tunang Farhan terjawab!

Oleh Kaki Wayang on


KALI pertama Farhan Akademi Fantasia (AF4), 28, dan Ahmad Rashdan Suhaimi, 28, dipertemukan pada majlis sambutan hari jadi Farhan yang ke-22 pada tahun 2006. Mereka tidak menyangka perkenalan itu boleh menimbulkan bibit-bibit cinta seterusnya membawa mereka ke fasa perhubungan yang lebih serius iaitu pertunangan.

Masakan tidak, hubungan cinta yang terjalin erat selama dua tahun kemudiannya dipisahkan antara benua dek kerana kekasih hati terpaksa melanjutkan pelajaran ke United Kingdom selama hampir empat tahun.
Tidak gentar dengan dugaan sebegitu, pemilik sebenar nama Nur Farhan Azizan, begitu setia menunggu sang kekasih. Sebaliknya, kekasih hati nun jauh pula resah gelisah meninggalkan buah hati yang semakin mencipta nama di Malaysia.

"Kami dipertemukan oleh Kak Nur iaitu salah seorang rakan kelab peminat saya ketika sambutan hari jadi saya pada tahun 2006. Rashdan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke United Kingdom pada tahun 2008.

Selama tiga tahun kami menjalinkan percintaan jarak jauh, banyak kesukaran yang kami hadapi. Dia risaukan saya kerana saya artis. Takut ada skandal tetapi saya jaga semuanya dan tahu batas-batas dalam perhubungan," ujarnya kemudiannya terus disunting Rashdan setelah pulang dari United Kingdom kira-kira empat bulan lalu.

Lantas setelah hampir tujuh tahun menyulam cinta akhirnya Farhan dan Rashdan mengikat tali pertunangan pada 12 Februari lalu di Flora Amwalk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Pertunangan mereka sekali gus melenyapkan teka-teki media bahawa teman lelaki yang beberapa kali mengikutnya ke majlis-majlis hiburan yang disangkakan pengurus Farhan rupa-rupanya seorang pengurus akauntan di Petronas.

Ditanya mengenai cabaran sepanjang percintaan jarak jauhnya, Farhan mengaku pernah berdepan pergaduhan sehingga menyebabkan mereka tidak berhubung selama dua bulan. Namun, semuanya kembali baik tatkala Rashdan menghubunginya semula.

"Selama dia berada di sana pelbagai sistem komunikasi telah kami gunakan. Antaranya, Yahoo Messenger, Skype, Facebook, Twitter dan macam-macam lagi demi mengeratkan lagi hubungan. Namun, adat bercinta jarak jauh kami juga berdepan dengan pergaduhan dan terputus hubungan selama dua bulan," ujarnya yang manis dalam persalinan kelabu dan ungu hasil rekaan Syarakim ketika ditemui selepas majlis pertunangannya.

Mengikat tali pertunangan selama setahun, ungkap Farhan, mereka memerlukan masa kira-kira setahun untuk memberi masa kepada masing-masing mengukuhkan karier sementelah tunangnya baru sahaja memulakan tugasnya sebagai pengurus akauntan.

Ditanya apakah ciri-ciri yang ada pada Rashdan sehingga dirinya terpikat kepada jejaka itu, ujar Farhan, tunangnya seorang yang sangat memahami walaupun pemikirannya agak konservatif.

"Saya ini seorang yang berfikiran terbuka. Tetapi Rashdan tidak. Dia agak konservatif. Itu salah satu sebab saya tertarik kepada dia. Saya rasa lelaki yang berfikiran begini boleh membimbing saya ke arah yang lebih baik. Selain itu, dia juga seorang yang sangat memahami. Malah, dia tidak menghalang saya untuk terus aktif menyanyi selepas berkahwin nanti," tuturnya.

Pada majlis pertunangan itu, Farhan menerima sebentuk cincin emas putih bertakhtakan berlian yang disarungkan oleh bakal mentuanya, Faridah Hussin.

Menariknya, tidak seperti kebanyakan majlis pertunangan yang lain, majlis pertunangan Farhan tidak dihadiri oleh tunangnya, Rashdan.

Menurut Farhan, perkara tersebut (ketidakhadiran Rashdan) memang dirancang kerana mereka mahu kesederhaan dan mengikut adat lama.

Farhan turut menerima lima dulang hantaran berupakan manisan iaitu kek cawan, buah-buahan, pot pouri, sirih junjung dan sedikit wang perbelanjaan sebagai tanda pertunangan. Pihak Farhan pula membalas tujuh dulang hantaran yang juga berupakan manisan iaitu kek cawan, al-Quran, buah-buahan, kek fondant, sejadah dan sirih junjung.

Pasangan itu sepakat untuk memberi hantaran sepersalinan ketika hari pernikahan kelak. Mereka dijangka melangsungkan pernikahan pada awal tahun depan.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...