“MEMANG tak sangka langsung pada usia 43 tahun saya kembali menjadi  tunangan orang. Ingatkan dah tua-tua ini, dah tak laku. Rupa-rupanya ada  juga yang berkenankan saya,” kata penyanyi etnik kreatif, Noraniza  Idris, 43. Luahan penyanyi yang lebih mesra disapa Ani itu membawa seribu  erti, apatah lagi pada Ramadan ini apabila cintanya bersemi buat kali  ketiga dengan duda anak empat, Jeffri Hudi, 52, iaitu ustaz dari  Singapura yang berkhidmat sebagai bilal bebas di negaranya.
Bagaimanapun, menurut Noraniza, ketika Jeffri melamarnya, dia diberi  tempoh untuk berfikir tetapi tidak melakukannya secara serius kerana  dalam hati masih ada keraguan. “Saya berfikiran negatif ketika itu dan takut untuk melangkah ke gerbang perkahwinan sekali lagi,” katanya.
Seminggu sebelum berakhirnya tempoh itu, baru Noraniza membuat  keputusan dan menyedari dia tidak buat sebarang persiapan untuk  bertunang. 
  “Mujur mereka di Akademi Tatih Seni (cawangan  Johor) yang memahami keadaan saya, membuat persiapan mencarikan penaja  pelamin dan baju untuk saya. “Selepas bertunang, kami berdua sibuk dan tidak sempat mencari  tarikh sesuai untuk mengadakan majlis pernikahan hinggalah keluarga  mendesak kami segerakan perkara baik itu.
“Selasa ini saya  akan mengadakan sidang akhbar mengumumkan tarikh pernikahan dan kenduri.  Insya-Allah perkahwinan itu akan dilangsungkan tahun ini juga,” katanya  yang mendapat restu anaknya.
  Noraniza berharap perkahwinannya kali ini berkekalan hingga ke akhir hayat.
“Di mana saya akan menetap selepas berkahwin, sama ada di Singapura  atau di sini, tengoklah keadaan nanti,” katanya yang dihubungi Metro  Ahad.
Berbual dengannya di telefon, suara Noraniza  kedengaran ceria dan perbualan itu juga diselang-seli dengan ketawa,  bagaikan tanda bahagia di hati.   Menceritakan detik pertemuan  dengan bakal suaminya, jelas Noraniza, mereka bertemu pada Ramadan  tahun lalu ketika melakukan kerja kebajikan di sebuah masjid di Johor  Bahru.   Noraniza bersama anak didiknya di Akademi Tatih Seni untuk menghulurkan sumbangan hasil jualan biskut raya.   Ketika itu, dia berkata, Jeffri turut melawat masjid berkenaan bersama teman.
“Apabila saya melihat ada orang lain turut berada di masjid itu, saya  pun bertegur sapa. Saya banyak berbual dengan kawannya dan Jeffri hanya  mendengar. Ketika saya mahu balik, baru saya berkenalan dengan Jeffri  dan memberi kad bisnes kepadanya.
“Selepas tahu dia orang  Singapura, saya pun beritahu, adik saya berniaga di bazar Ramadan di  negara itu,” katanya yang kemudian bertanya bolehkah adiknya  menghulurkan sebarang sumbangan menerusi Jeffri.
“Itulah  bermulanya bicara saya dengan dia. Rupa-rupanya dia kenal saya kerana  sering menonton persembahan saya di televisyen dengan ibunya. Waktu itu  saya masih menjadi isteri Fareez. Dia juga suka dengar lagu saya.
“Selepas pertemuan di masjid itu, dia hubungi saya dan lama kelamaan  kami jadi rapat. Saya sangat menyanjungi peribadi Jeffri, walaupun dia  orang beragama tetapi dia tidak memandang rendah artis macam saya. Dia  boleh ‘masuk’ dalam dunia saya. Sesetengah orang, apabila jumpa artis  pasti pandang sinis dan meletakkan jurang.
“Jeffri sangat  pemalu tetapi saya selesa berkawan dengannya kerana pertuturannya lemah  lembut dan tidak pernah marah. Jika dia hendak ‘tegur’, caranya sangat  berhemah,” katanya.
Noraniza seterusnya mengatakan selepas  bercerai kali kedua, dia tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi dan  membiarkan Allah SWT menentukan segala-galanya.   Bagi artis itu, bukan dia tidak mahu berkahwin lagi tetapi biarlah jodoh itu datang sendiri.
“Hendak kata tak mahu pun (kahwin), kalau dah sampai masanya, saya  terima saja ketentuan Ilahi. Selepas beberapa bulan berkawan, dia bawa  saya berjumpa keluarganya di Singapura dan kemudian keluarganya datang  berjumpa keluarga abang sulung saya di Masai, Johor.
“Kebetulan kisah hidup kami banyak persamaan. Justeru, kami menerima  diri masing-masing seadanya kerana apa yang pernah terjadi, biar ia  menjadi kenangan. Namun, kami bukan bercinta seperti orang muda.  Hubungan kami atas rasa tanggungjawab, apatah lagi masing-masing ada  anak.
“Sebenarnya selepas dua kali bercerai, saya fobia  untuk berkahwin lagi. Kalau dulu memang perkahwinan menjadi keutamaan  dalam hidup saya tetapi selepas bersendirian, saya tumpukan kepada  kerjaya seni dan bisnes.
“Apabila ada orang mengambil berat  pasal saya dengan sering menghubungi saya setiap hari walaupun  berjauhan, membuatkan saya rasa dekat dengannya.
“Saya sudah  mula rasa ada kawan mengisi kekosongan. Keadaan itu membuatkan saya  rasa teringin berkahwin semula. Perasaan untuk mempunyai teman hidup itu  wujud secara semula jadi,” katanya.
Lalu atas persetujuan keluarga, Noraniza dan Jeffri bertunang pada 22 April lalu.   Noraniza berkata biarpun dia sudah berkahwin dua kali, bakal ibu mentuanya sangat mementingkan adat lama.
“Ibunya tetap mahu hantar rombongan merisik. Selepas itu baru diadakan  majlis pertunangan. Ingatkan selepas bertunang kali pertama pada usia  18 tahun, saya tidak akan bertunang lagi,” katanya.