Seorang bayi yang nyaris dijual dengan harga RM21,000 menarik 
perhatian orang ramai yang hadir di Mahkamah Sesyen di sini, semalam 
apabila dibawa untuk tujuan  pengecaman oleh seorang saksi yang juga 
pengadu dalam kes itu. 
Bayi perempuan comel yang berusia setahun itu dicam saksi kelima 
pendakwaan, Norfatimah Ahmad, 43, sebagai bayi yang dibelinya daripada 
sebuah hospital swasta, tahun lalu.    Dia dibawa ke mahkamah pada 
perbicaraan kes bekas jururawat, Gulab Jan Abdul Jabir, 49, atas tuduhan
 memperdagangkan seorang bayi perempuan, tahun lalu.    Gulab Jan 
didakwa memperdagangkan bayi perempuan berusia lapan bulan bagi tujuan 
eksploitasi di Hospital Taj, jam 2.10 petang, 1 November 2010.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 
yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda jika 
sabit kesalahan.
Bayi itu kini berada di dalam jagaan Jabatan Kebajikan 
Masyarakat (JKM) sehingga selesai perbicaraan kes itu.    Norfatimah 
turut melakukan pengecaman terhadap individu yang ditemuinya ketika 
melakukan urusan pembelian bayi di Hospital Taj, Jalan Ipoh di sini, 
November tahun lalu iaitu pakar bedah, Datuk Dr Mohammad Feizal Abdullah
 dan anak perempuannya, Suraij Banu yang bekerja di hospital sama.
Mahkamah turut memanggil Datin Mumtaj Nashir Bee iaitu isteri Dr 
Mohammad Feizal bagaimanapun dia memberitahu mahkamah isterinya tidak 
dapat hadir kerana tidak sihat.
Timbalan Pendakwa Raya Nor 
Amalina Ismail turut memberitahu mahkamah pihak pendakwaan gagal 
menyerahkan sapina kepada pembantu jururawat, Munirah Ali Bakar dan 
orang awam, Mohamed Kassim Ibrahim untuk dipanggil sebagai saksi pada 
tarikh perbicaraan akan datang.
 
Sila baca selanjutnya → Betol-betol Sengal! Bayi dijual RM21,000!