AKTOR popular Shaheizy Sam yang mesra disapa Sam
cukup bertuah kerana mempunyai kelompok peminat yang sangat menghargai kerja
lakonannya. Bukan saja dia menerima pelbagai bentuk hadiah,
malah undian peminat ini juga membolehkan dia bergelar Artis Paling Popular
2010.
Bagaimanapun, populariti mendadak ini tidak sama sekali melalaikan Sam untuk
berbangga atau mendabik dada. Sebaliknya, kejayaan itu membuatkan dirinya lebih
berhati-hati dalam tindak-tanduk dan kata-kata serta merendah diri.
Dalam pertemuan OopStarz! bersama aktor ini di kediamannya, baru-baru ini,
pelakon yang bakal muncul dengan filem terbaru iaitu Songlap bermula 15
Disember ini, Sam sempat berkongsi 10 barangan kesayangannya untuk tatapan
pembaca.
Mari kita lihat satu persatu barangan peribadinya yang merangkumi trofi
anugerah, peti syiling 50 sen, koleksi barangan karakter The Joker, jam tangan
dan landskap taman yang dibina dengan titik peluhnya sendiri.
Apa ceritanya setiap barang ini? Sama-sama kita intai dalam zoom!!! minggu ini.
Trofi
Sam sangat menghargai sebarang pengiktirafan yang diberikan kepadanya. Dia
menganggap trofi Anugerah Yasmin Ahmad di Anugerah Skrin 2010, Pelakon Pembantu
Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) dan terbaru Pelakon Lelaki
Terbaik FFM24 sebagai pengiktirafan industri atas lakonannya.
Baginya, semua orang berlakon tetapi tidak mudah untuk diiktiraf. Sementara
itu, trofi Artis Paling Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular Anugerah
Bintang Popular Berita Harian 2010 yang dimenanginya, April lalu sebagai paling
berharga kerana walau sehebat mana seorang pelakon itu berlakon, belum tentu
individu berkenaan akan diiktiraf di mata peminat. Sebab itu, Sam sangat
menghargai kesudian peminat yang sentiasa menyokong kerja seninya.
Aksesori komputer riba
Aksesori yang ditampal di atas permukaan komupter ribanya ini cukup istimewa
kerana ia dihasilkan olehnya sendiri. Menurut Sam, dia menghabiskan masa selama
lebih seminggu untuk melekatkan satu persatu biji batu Swarovsky itu sehingga
menjadi satu corak.
Walaupun kerjanya rumit, Sam puas melihat hasilnya kerana penelitian yang
ditumpukan ke atas kerja-kerja membakar gam batu itu, melekat dan menyusun satu
persatu batu itu memberikan satu kepuasan. Aksesori itu sudah tiga tahun
melekat pada komputer ribanya.
Landskap taman
Adik kepada aktres Zizie Ezzette ini mengambil
masa selama 10 hari untuk menyiapkan landskap taman di depan rumahnya. Walaupun
terpaksa berhabis sekitar RM4,000 untuk kos barang-barang dan pemasangan, Sam
akui berpuas hati kerana landskap itu dibangunkan dengan titik peluhnya
sendiri.
Kalau hendak tahu, landskap ini baru sahaja dibina oleh Sam ketika menghabiskan
cuti Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Dia sendiri yang melakukan kerja-kerja
mengecat, memasang perabot dan memacakkan tiang lampu di taman ini.
Gitar
Gitar dan muzik adalah sebahagian daripada hidup Sam. Kongsi bekas anggota
kumpulan M.O.B ini, setiap perkara yang dilakukan adalah berlatarkan muzik.
Justeru itu, gitar ini boleh diumpamakan seperti teman sunyi dan ketika masa
senggang pada waktu kerja. Setiap kali dia memetik gitar itu, ia seolah
memberikan idea untuk menghayati watak atau filem yang dijayakannya dalam
satu-satu masa. Gitar ini adalah koleksi terbarunya yang dibeli kurang sebulan
yang lalu dengan harga RM1,600.
Peti syiling 50 sen
Peti syiling yang kelihatan seperti peti harta karun ini tersimpan wang syiling
50 sen yang dikumpulnya sejak setahun yang lalu. Idea untuk menyimpan syiling
itu tercetus selepas dia memikirkan kepentingan untuk menabung yang tidak
pernah menjadi kenyataan sejak kecil lagi.
Kata Sam, dia mengumpulkan syiling itu dengan pelbagai cara seperti menukarkan
wang kertasnya di kaunter parkir dan meminta daripada keluarga dan teman-teman
rapat. Malah, rakan-rakannya yang mengetahui hobi itu sering memberikan syiling
50 sen mereka kepada Sam setiap kali berkunjung ke rumah.
Sam akui, apabila syiling itu sudah terkumpul sebanyak itu, terbit pula rasa
sayang kepadanya untuk menukarkannya di bank. Mungkin dia akan simpan saja
syiling itu untuk dijadikan khazanah, katanya.
Koleksi memorabilia Joker
Sam sangat mengagumi karakter Joker daripada filem Batman kerana ia menyuntik
idea dan semangat kepadanya dalam lakonan.
Apabila dia kebuntuan ilham untuk menghayati karakter lakonannya, Sam akan
menonton DVD filem itu atau membelek-belek kemeja T, patung atau pun merenung
ke arah poster karakter tersebut sebagai sumber inspirasi.
Bagi Sam, kejayaan karakter antagonis Joker itu membuktikan bahawa semua
pelakon boleh menjadi pelakon yang hebat kerana aktor Heath Ledger sudah
membuktikannya kepada dunia dalam filem The Dark Knight. Semua memorabilia ini
dibeli sendiri oleh Sam kira-kira dua tahun lalu.
Hadiah peminat
Sam mengakui dia sangat menghargai apa sahaja barangan atau hadiah pemberian
daripada para peminat. Tidak kira apa juga betuk hadiah yang diberikan
kepadanya, Sam sangat tersentuh dengan keikhlasan para penyokongnya.
Kata pelakon filem Kongsi ini, peminat tiada pertalian darah dengannya tetapi
sokongan dan kasih sayang yang mereka tunjukkan itu buat dia terharu. Antara
beberapa hadiah pemberian peminat yang sempat dikongsikan termasuk
bantal,bingkai gambar, bunga, kemeja T, alas tilam dan perhiasan kapal layar.
Cermin mata
Memang banyak sungguh koleksi cermin mata yang dimiliki oleh aktor ini. Semua
cermin mata ini bukan untuk melaram semata-mata tetapi setiap satunya mempunyai
kuasa kanta kerana dia memang seorang yang rabun.
Cerita Sam, sebenarnya sejak kecil dia memang mengalami masalah rabun jauh.
Memandangkan Sam takut untuk menggunakan kanta lekap, sebab itu dia membeli
pelbagai cermin mata yang mempunyai rekaan berbeza-beza untuk disesuaikan
dengan penampilannya.
Sehingga kini, dia sudah mempunyai lebih 20 unit cermin mata.
Jam
Tangan
Jam tangan berjenama Jaguar ini sangat sentimental buat Sam. Apa tidaknya, ia
adalah jam tangan pertama yang dibeli oleh Sam dengan wang lakonannya sendiri.
Dibeli dengan harga RM1,000 di pusat beli-belah Sunway Pyramid, wang itu
diperoleh daripada hasil lakonannya dalam drama bersiri 52 episod, Rumah Ayah
pada 2001.
Kunci kereta
Kunci kereta terbarunya, Nissan Teana ini juga mempunyai nilai tersendiri dalam
hati anak bongsu dalam keluarga ini.
Sam berkata kunci kereta ini cukup bernilai kerana ia adalah hadiah yang
dimenanginya daripada ABP2010 yang lalu. Bagi Sam, hadiah kereta yang
dimenanginya datang daripada undian peminat.
Ia membuatkan Sam sedar bahawa bukan semua artis berpeluang untuk mendapat pengiktirafan
di hati peminat. Segala susah-payah dan pengorbanan peminat yang tidak
henti-henti mengundi namanya sehingga memenangi trofi dan kereta ini tidak
terbalas oleh dirinya.
“Saya selalu berasa diri ini seperti pasukan bola sepak, di mana peminat akan
menyokong sepenuhnya tetapi apabila saya menang hadiah dan trofi mereka tidak
dapat apa-apa pun melainkan kepuasan melihat kejayaan saya. Hakikat itu
menyentuh perasaan dan membuatkan saya amat menghargai peminat,” akuinya.