Al-Quran melarang perbuatan mengintip bagi mencari maksiat peribadi yang bukan jenayah awam. Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..”
Al-Imam al-Tabari (Menghuraikan dengan jelas maksud ayat ini. Antaranya: wala tajassasu bermaksud jangan kamu mencari keaiban satu sama lain, jangan kamu mencari rahsia-rahsianya dengan tujuan untuk mengetahui kecacatannya. Namun berpadalah dengan apa yang nyata dari dirinya.
Nilailah dia atas asas tersebut sama ada baik atau buruk. Jangan kamu mencari kesalahannya. Kata Ibn ‘Abbas: “Allah melarang orang mukmin daripada mencari keburukan-keburukan mukmin yang lain. Kata Mujahid: “Ambillah apa yang nyata, dan tinggalkan apa yang Allah tutup”.
Kata Qatadah: Tahukah kamu apa itu tajassus? Iaitu kamu mencari-cari keaiban saudaramu untuk mengetahui rahsianya. Kata Ibn Zaid: “Tajassus itu kamu berkata: sehingga aku dapat lihat kesalahan itu, aku bertanya mengenainya untuk mengetahui adakah benar atau tidak”.( al-Tabari, Tafsir al-Tabari, tahzib: Dr Salah al-Khalidi, 7/40-41 Damsyik: Dar al-Qalam (1997)