Selepas setahun menanti, akhirnya buku luahan rasa tentang perjalanan hidup selebriti dan pengacara kontroversi bernama Azwan Ali selama lebih 21 tahun bakal menemui peminatnya minggu depan. Buku bertajuk Selamat Jalan Dunia...yang diterbitkan dan diedarkan oleh Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd itu disifatkan Azwan Ali cukup bermakna, sebagai menceritakan rentetan perjalan hidupnya yang dilimpahi pelbagai onak dan duri selama di cop sebagai selebriti pondan.
"Inilah buku yang menceritakan kehidupan saya sebagai selebriti yang telah dicop sebagai pondan. Kebetulan pula, kehidupan saya diwarnai oleh dunia pondan dan oleh kerana itu saya terasa amat bersyukur. "Bukan itu saja, saya juga dilihat sebagai Raja Kontroversi dan insan yang sering dikaitkan dengan segala huru-hara. Inilah peluang saya untuk berkongsi pengalaman bersama peminat dan hanya menerusi buku ini saja mereka akan dapat membacanya secara eksklusif," katanya .
Azwan Ali berkata, sebagai permulaan, buku setebal 176 muka surat dan beharga RM21.90 itu telah diterbitkan sebanyak 5,000 salinan dan boleh didapati di semua kedai buku utama di seluruh negara bermula minggu depan. Bagaimanapun jelasnya, satu sesi istimewa untuk bertemu Azwan Ali dan mendapatkan buku berkenaan yang dilengkapi tandatangan akan diadakan di Restoran Starbucks, Ampang pada 19 Ogos ini (Jumaat) iaitu dua hari sebelum dia berangkat ke menunaikan Umrah di tanah suci Mekah.
"Setahun menunggu kelahiran buku bukanlah sesuatu yang mudah buat saya. Saya hampir kecewa kerana beranggapan buku ini hampir tidak menjadi kenyataan. "Saya tidak menyalahkan pihak penerbitan kerana mengambil masa terlalu lama untuk menerbitkan buku ini kerana dalam tempoh itu sebanyak tiga kali manuskrip asalnya telah diubah dan ianya juga telah melalui proses suntingan yang terlalu banyak bagi mengelakan cerita mahupun topik yang sangat merbahaya.
"Walaupun begitu, saya pasrah. Kerana saya faham buku itu nanti akan dibaca masyarakat dan dari sudut itu saya sedar dan belajar banyak dengan pihak penerbitan untuk menjaga sensitiviti masyarakat di negara ini," katanya.
Bercerita mengenai isu suntingan, Azwan Ali gembira apabila topik tulisannya yang menyentuh berkenaan tiga selebriti popular yang nama mereka bermula dari Siti telah berjaya menembusi proses suntingan. Tiga Siti yang dimaksudkan Azwan Ali, iaitu Siti Roziana Zain (Ziana Zain), Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff (Fauziah Latiff) dan Situ Nurhaliza Taruddin (Dato' Siti Nurhaliza) merupakan tiga individivu yang telah memberi implikasi hebat dalam hidupnya.
"Walaupun isu tiga Siti ini sudah lama berlalu tapi dalam buku ini saya cuba meluahkan perasaan saya terhadap mereka. Saya telah ditohmah dan dikeji kerana cinta saya ditolak oleh mereka bertiga dan dari situlah pengembaraan saya sebagai selebriti pondan bermula.
"Kepada tiga Siti yang dimaksudkan, saya mohon maaf sekiranya mereka masih tersinggung dengan apa yang ditulis dalam buku ini. Insya Allah saya akan berikan buku ini secara percuma kepada mereka dengan tangan saya sendiri," katanya.
Mengulas mengenai topik pondan yang ditulisnya dalam buku ini, Azwan Ali berkata ianya bersifat menyeluruh, apatah lagi kehidupannya sebagai selebriti terkenal sering dikelilingi oleh individu berjiwa pondan.
"Terus terang saya katakan di Malaysia memang ada ramai personaliti TV lelaki yang keliru, tetapi ramai yang hipokrit atau takut dengan bayang-bayang mereka sendiri, tapi tidak buat Azwan Ali. Inilah juga antara isu yang ada dalam buku ini. "Ia bukanlah buku yang ditulis saya secara syok sendiri mahupun cerita kosong. Kerana saya turut membuat kajian dengan beberapa buku agama untuk dikaitkan dalam buku ini. "Ia tentang kehidupan saya, tentang luahan rasa hati dan saya pasti, ada mesej yang baik dalam buku ini. Baca dan ambillah iktibar untuk kita semua" katanya tersenyum.