Edisi Bersih 3.0! Nurul Izzah Akhirnya Bersuara, Menentang Fatwa Pengharaman Perhimpunan Bersih 3.0!

Oleh Kaki Wayang on


SAYA terpanggil untuk mencari penjelasan daripada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia mengenai fatwa berikut: "Adalah haram buat umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik."

Pertama, perhimpunan Bersih 3.0 untuk pilihan raya bebas dan adil telah mendapat kebenaran serta kelulusan di bawah peruntukan Akta Perhimpunan Aman dan memenuhi syarat 'bertujuan baik' kerana tentunya tuntutan pilihan raya bebas dan adil tidak haram?

Kedua, arahan mahkamah melarang perhimpunan ke ruangan Dataran Merdeka adalah menafikan hak asasi rakyat dalam sebuah negara demokratik, oleh itu ia 'bertujuan tidak baik' dan menimbulkan 'suasana konfrontasi'. Justeru, adakah tindakan ini haram?

Ketiga, tindakan berlebihan pihak berkuasa mengepung dan menghalang orang ramai bersurai secara teratur dan aman serta tindakan menggunakan kekerasan berlebihan seperti gas pemedih mata, pancutan air kimia, pukulan dengan cota dan kekerasan yang diperlakukan segelintir anggota polis secara am - adakah semuanya haram?

Keempat, Pengerusi Jawatankuasa, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin juga menyebut: "Tindakan merusuh, mewujudkan kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama."

Oleh demikian bagaimana fatwa tindakan umat Islam di Tunisia, Mesir, Libya dan kini Syria ke atas kerajaan masing-masing yang sah di sisi undang-undang juga haram?

Kelima, apakah fatwa untuk menipu di pilihan raya dengan berbagai kaedah seperti menghalang rayuan mahkamah dibuat di atas kesahihan Daftar Pemilih (Akta Pilihan Raya - Seksyen 9A), menghalang wakil-wakil parti dan bukan parti menyaksikan dan menyemak kad pengenalan pengundi dengan Daftar Pemilih pada hari mengundi (Akta Kesalahan Pilihan Raya - Seksyen 26A (2) dan (3)), persempadanan kawasan pilihan raya tidak adil melalui pindaan Artikel 116 Perlembagaan Persekutuan mengenai nisbah perbezaan jumlah pengundi tidak melebihi 15 peratus setiap kawasan, penyalahgunaan undi pos, akses media terhad untuk semua parti politik, pengunaan politik wang merasuah pengundi dan pengunaan pengundi hantu - adakah ia haram?

Keenam, apakah fatwa mengenai sebuah kerajaan yang dibentuk berdasarkan pilihan raya yang tidak bebas dan tidak adil - adakah ia kerajaan haram?

Sebagai makluman, saya telah membuat pertanyaan rasmi di sidang Parlimen yang lepas kepada Perdana Menteri merujuk soalan berikut pada 22 Mac 2012, iaitu minta Perdana Menteri  menyatakan adakah Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan

Fatwa tentang amalan penipuan pelbagai bentuk dan cara dalam pilihan raya dan penganugerahan status kewarganegaraan kepada warga asing sebagai balasan sokongan kepada Kerajaan Pusat.

Jawapab Senator (Mejar Jeneral Bersara), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri:

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berpandangan tidak ada keperluan untuk berbincang dan memberikan fatwa berkaitan penipuan dalam pilihan raya. Ini kerana, dalam Islam, hukum bagi sebarang bentuk penipuan adalah jelas iaitu tidak dibenarkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya juga telah mempunyai undang-undang dan peraturan yang boleh mengawal dan mengendalikan proses serta perjalanan pilihan raya di Negara ini agar berlangsung dengan telus dan adil."

Malangnya jawapan yang diberikan oleh wakil Perdana Menteri iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah bahawa Majlis Fatwa tidak perlu membuat fatwa di atas perkara yang ditanya walaupun semua bentuk penipuan adalah tidak dibenarkan agama Islam.

Akhir sekali, saya berharap Majlis Fatwa Kebangsaan akan dengan segera memberikan jawapan kepada kesemua persoalan diatas agar kesucian Islam terpelihara

* Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden PKR

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
1 Comments

{ 1 Komen Membina!... read them below or add one }

Aziela said...

Sebagai seorang Islam, tak pernah la pula akak dengar, atau baca di mana2 atau di ajar oleh ustaz2 dan pensyarah tentang hukum haram menyertai perhimpunan. Hmm...harus di kaji semula. Akak ke yang tak perasan, atau ayat hukum yang dikeluarkan itu tidak dikeluarkan sepenuhnya oleh media. Mesti ada sambungan selepas perkataan haram itu iaitu bersabit dengan beberapa syarat lain.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...