Bayi berusia hampir setahun dalam klip video menunjukkan dia didera dengan kejam oleh ibunya sendiri disebarkan di YouTube dan Facebook, kini berada dalam keadaan baik dan selamat di bawah jagaan keluarga angkat.
Pengarah Bahagian Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Arfan Sulaiman berkata, keluarga angkat bayi tersebut diberikan hak penjagaan oleh mahkamah selepas kes itu dibicarakan.
"Kes itu berlaku tahun lepas dan JKM telah menyelamatkan kanak-kanak tersebut. Sehingga kini dia masih berada di bawah pemantauan pihak kami.
"Pendera bayi itu telah dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah berdasarkan siasatan pihak polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas laporan mengenai penderaan bayi berkenaan yang klip videonya tersebar di laman perkongsian video, YouTube dan Facebook.