Lukisan yang dihasilkan Edvard Munch berjudul The Scream dilelong pada harga AS$120 juta (RM363 juta) kelmarin sekali gus mencatat rekod baharu sebagai hasil seni yang paling mahal pernah dijual dalam satu acara lelongan.
Lelongan itu dikendalikan firma Sotheby's. Munch menghasilkan lukisan itu pada tahun 1895 dan ia menjadi tarikan utama dalam lelongan tersebut yang dihadiri oleh para pengumpul lukisan, pengedar dan media.
Lukisan itu pada asalnya dijangka dilelong pada harga AS$80 juta (RM242 juta). Namun, dua pembida menaikkan harga bidaan tersebut. Lelongan itu mengatasi rekod jualan lukisan Picasso, Nude, green, leaves and bust yang dilelong pada harga AS$106.5 (RM323 juta) dua tahun lalu.
"Ia sangat berbaloi untuk dimiliki," kata Tobias Meyer yang bertanggungjawab menjadi jurulelong. Meyer menyifatkan The Scream sebagai ikon terhebat dalam seni halus. Bagi peminat seni, The Scream mungkin berada di tempat kedua selepas potret Mona Lisa.
Pembeli lukisan itu tidak didedahkan.