SEPANJANG minggu ini, sudah tentu perkara utama yang menjadi bualan ramai dalam industri hiburan mengenai rekod baru yang dicipta oleh filem KL Gangster yang memecah rekod kutipan sehingga RM11 juta, iaitu satu kejayaan luar biasa yang tidak pernah dilakukan leh mana-mana filem termasuk filem era 1950-an dan dan 60-an dulu.
KL Gangster terbitan Skop Productions dan arahan Syamsul Yusof memberi nafas baru dalam industri perfileman tanah air apabila membuktikan filem dari negara ini akhirnya berjaya melepasi kutipan RM10 juta, sesuatu yang sebelum ini tidak pernah terfikir oleh ramai peminat dan karyawan filem di negara ini. KL Gangster juga mencipta rekod baru apabila kutipan hari pertama tayangannya pada 9 Jun lalu berjaya mencapai RM1.5 juta, membenamkan pencapaian yang diperoleh filem Kongsi apabila mencipta rekod RM1.1 juta apabila ditayangkan pada bulan lalu.
Ketika ini filem yang dibintangi Aaron Aziz, Adi Putra, Syamsul, Zizan dan Sheera Iskandar itu masih terus ditayangkan menerusi lebih 80 pawagam di seluruh negara. Kejayaan hebat KL Gangster juga membuka mata ramai pihak yang tidak menyangka genre aksi kini semakin mendapat perhatian ramai dan akan menjadi trend baru filem tempatan dalam tempoh beberapa tahun ini.
Ramai mengandaikan filem itu jika masih terus bertahan sehingga hujung bulan ini, ia mampu mencapai kutipan RM13 juta