Kesesakan lalu lintas yang luar biasa berlaku lagi di ibu negara, dua hari berturut-turut. Hari ini, ribuan kenderaan yang dalam perjalanan ke tempat kerja
terpaksa menempuh kesesakan teruk selama berjam-jam untuk masuk ke pusat
bandar dan ini kali kedua berlaku sejak semalam. Jika semalam, hujan lebat dan penutupan Lebuh Raya SMART dikatakan
punca kesesakan tersebut. Hari ini pula, sebuah treler yang `tersadai’
akibat tayar pecah selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Tun Razak
pula menjadi puncanya.
Kenderaan berat yang membawa muatan batu konkrit menghala ke ibu
negara itu terlibat dalam kemalangan kecil dengan sebuah van sehingga
menyebabkan beberapa tayarnya pecah. Kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu mengakibatkan sebilangan besar
warga kota yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas luar biasa
ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Kerosakan yang berlaku di tengah-tengah jalan utama di ibu kota itu
mengakibatkan kesesakan di beberapa jalan seperti di Lebuh Raya Sungai
Besi (Besraya), Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2), Lebuh Raya Maju
Expressway (Mex) dan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala Kuala
Lumpur.
Kesesakan itu kemudiannya melarat ke Jalan Sungai Besi, Jalan Istana,
Jalan Mahameru, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching dan Jalan Loke Yew. Keadaan bertambah buruk menjelang malam kerana treler tersebut masih
tersadai dan belum dapat dialih setelah mengalami kerosakan enjin pula.
Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor ketika
dihubungi mengesahkan bahawa kemalangan treler itu adalah salah satu
punca kesesakan teruk di ibu negara hari ini.
Beliau turut memberitahu, treler itu belum dialihkan sehingga petang
ini kerana menunggu pemandu treler itu menukar tayar kenderaannya yang
pecah. Akibat kemalangan itu katanya, polis terpaksa melencongkan laluan
beberapa jalan raya ke Jalan Istana menuju ke Jalan Mahameru untuk
memasuki ibu negara.
“Lencongan jalan dan pertambahan kenderaan di beberapa jalan raya
memasuki ibu negara menyebabkan kesesakan teruk,” katanya ketika
dihubungi hari ini.
Penutupan terowong SMART bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan
setelah banjir melanda ibu negara sejak semalam dipercayai menjadi `ibu’
kepada kesesakan luar biasa. Warga kota yang berpusu-pusu meninggalkan ibu kota sejak tengah hari
ini ekoran bermulanya cuti penggal pertama persekolahan memburukkan lagi
keadaan lalu lintas.
Sehingga petang ini, kesesakan lalu lintas masih berlaku di beberapa laluan masuk ke ibu negara. Sementara itu, menurut jurucakap Unit Kawalan Trafik Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur, kesesakan luar biasa itu ditambah dengan beberapa
kemalangan kecil seperti di Jalan Kuching serta kerja-kerja
penyenggaraan jalan di Jalan Sultan Ismail.