Edisi Artis! Wawa Zainal Kekasih Baru Shaheizy Sam!

pix_gal0
SELEPAS Yana Shamsuddin, Bintang Paling Popular 2010, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), Shaheizy Sam dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan bakat baru, Wawa Zainal, pula.

Gara-gara bernaung di bawah syarikat pengurusan yang sama, MIG Talent Management, tidak semena-mena mereka dikaitkan. Sam yang sedang dalam perjalanan menjayakan sebuah sesi fotografi bersama sebuah penerbitan, bagaimanapun tidak melatah dengan khabar angin itu saat dihubungi. 
 
Mudah saja katanya, nombor telefon Wawa Zainal pun tidak dimilikinya. Justeru, penjelasan itu saja mungkin cukup untuk menjawab gosip cinta mereka itu. 
 
“Sam rasa mungkin Wawa yang dimaksudkan itu ialah bekas teman wanita Sam. Kebetulan, mereka mempunyai nama yang sama, jadi mudahlah orang keliru. Sam memang pernah berkawan dengan wanita bernama Wawa, tetapi hubungan kami terputus lima tahun lalu, ketika Sam sedang sibuk dengan filem Bohsia.

“Walaupun kami tidak lagi mempunyai hubungan istimewa, tetapi dia masih baik dengan keluarga Sam. Begitu juga dengan Sam dengan keluarganya, cuma kami tidak berpeluang untuk berjumpa kerana masing-masing sibuk.

“Kalau nak dibandingkan antara Wawa Zainal dengan Yana Shamsuddin, Sam lebih rapat dengan Yana. Sam hanya berjumpa Wawa jika ada majlis di MIG. Kalau berjumpa pun, kami setakat bersalam dan bertegur begitu-begitu saja,” katanya ketika mengulas gosip yang disiarkan dalam ruangan Dengarnya, dalam akhbar ini, semalam.

Dalam artikel berkenaan, Sam dikatakan intim bersama pelakon baru itu dan ibunya juga dikatakan memberikan restu andai hubungan itu serius.

Menurut Sam, dia menyenangi Yana kerana sikap wanita itu yang gila-gila. Bagaimanapun, keakraban mereka tidaklah membawa kepada hubungan istimewa kerana mereka tidak pernah keluar bersama.

“Sam mengaku, Yana pelakon wanita yang paling rapat dengan Sam. Dia seorang yang ‘sempoi’, tidak kontrol cantik, menyebabkan kami mudah ‘ngam’. Sikapnya yang gila-gila juga membuatkan Sam selesa dengannya,” kata Sam.

Sementara itu, Wawa Zainal yang berasal dari Lahad Datu, Sabah, lebih banyak ketawa ketika dihubungi. Dia menyifatkan gosip berkenaan sebagai melucukan kerana berasakan dirinya terlalu kerdil untuk dikaitkan dengan seorang yang berbintang besar seperti Sam.

Sama seperti Sam, kata Wawa, dia hanya bertemu Sam pada majlis anjuran syarikat pengurusan mereka. Selebihnya, sama ada berjumpa atau berhubung melalui telefon, tidak pernah sama sekali terjadi.

“Ketika membaca gosip itu, saya hanya tergelak. Bagi saya gosip itu sungguh lucu, bila masa pula saya ada hubungan dengan Sam kerana hubungan kami tidak lebih sekadar rakan artis.

“Gosip itu memang tak betul sama sekali. Dakwaan mengatakan ibunya merestui hubungan kami pun tidak benar. Saya jumpa ibunya hanya di majlis, kalau berjumpa memang saya ada bersalaman. Tapi ibu Sam tidak mengenali siapa saya.

“Siapalah saya untuk mempunyai hubungan istimewa dengan dia? Saya masih terlalu baru dalam industri ini, sedangkan dia Bintang Paling Popular. Setakat berhasrat untuk berlakon dengan Sam memanglah ada, tetapi tidaklah sampai untuk bercinta. Saya takut pula gosip sebegini akan membuatkan peminat Sam marah,” kata Wawa yang mula dikenali selepas membintangi drama bersiri Ana Lu’lu.

Ranking: 5

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

 
© The Kaki Wayang! All Rights Reserved