Edisi Sentap! Syurga GAY dan Homoseksual!

Oleh Kaki Wayang on


TEL Aviv telah lama menjadi syurga golongan gay dan merupakan antara sebilangan kecil kawasan di Asia Barat di mana individu homoseksual berasa bebas berjalan berpegangan tangan dan bercumbuan di khalayak ramai. Kini, iklim nyaman, hiburan waktu malam dan kempen penjenamaan kreatif yang disokong kerajaan Israel telah mengangkat bandar Tel Aviv sebagai antara destinasi utama pelancong gay dari seluruh dunia.

Pentadbiran bandar Tel Aviv telah memperuntukkan kira-kira AS$100,000 (RM307,850) atau lebih daripada satu pertiga bajet pemasaran antarabangsa mereka untuk menarik kedatangan pelancong homoseksual.

Walaupun tiada perangkaan khusus direkodkan, pegawai kerajaan menjangkakan puluhan ribu pelancong gay dari luar negara datang ke Tel Aviv setiap tahun. Datuk Bandar Tel Aviv, Ron Huldai menegaskan, pihaknya sedang cuba membentuk sebuah model untuk keterbukaan, pluralisme dan toleransi. Hotel pertama yang dimiliki golongan gay secara terbuka di bandar tersebut dibuka baru-baru ini dan banyak tapak pelancongan yang disokong kerajaan Tel Aviv membawa pelancong homoseksual terus ke kelab-kelab malam terhangat, bar dan resort ternama di sana.

Seorang pegawai Kementerian Pelancongan Israel, Pini Shani yang terlibat dalam kempen tersebut menjelaskan, pihaknya telah lama mengiktiraf potensi ekonomi komuniti gay dunia.

"Pelancong gay adalah pelancong berkualiti yang membelanjakan wang dan menetapkan trend semasa.

"Tanpa rasa ragu, pelancong yang mempunyai pengalaman positif di sini juga mempunyai nilai PR tersendiri. Jika mereka pulang dengan rasa puas, mereka akan menjadi duta muhibah untuk Israel," katanya.

Bandar itu juga mengadakan pesta perarakan homoseksual tahunan yang meriah dan Tel Aviv juga mempunyai pusat komuniti sendiri untuk golongan gay. Tel Aviv juga baru-baru ini memenangi anugerah Bandar Gay Terbaik Dunia 2011 daripada pelanggan American Airlines dan laman sesawang GayCities, menumpaskan New York, Toronto (Kanada) dan London.


Antara komen yang diterima daripada pelancong gay termasuk lelaki Israel amat eksotik dan Tel Aviv umpama buih keamanan untuk golongan homoseksual atau LGBT di Asia Barat.

Tel Aviv sebenarnya turut menjadi syurga bagi golongan homoseksual Palestin yang berhadapan dengan pemulauan atau penindasan di tanah air mereka sekitar Tebing Barat. Perkara sama berlaku di kalangan Yahudi ultra ortodoks yang meninggalkan 'penjara' rumah mereka untuk kebebasan bandar besar di Tel Aviv.


Di sebalik imej sebuah masyarakat yang bergelut dengan paksaan agama dan ancaman peperangan yang berterusan, Israel merupakan antara negara paling progesif dari sudut hak golongan homoseksual. Golongan gay berkhidmat secara terbuka dalam tentera dan Parlimen Israel, sementara Mahkamah Agung negara itu juga telah menganugerahkan bermacam hak kekeluargaan kepada individu homoseksual seperti hak warisan harta dan manfaat kepada individu gay yang pasangannya meninggal dunia. Israel juga merupakan negara pertama di dunia yang memaparkan penyertaan pasangan sama jantina dalam versi pertandingan televisyen Dancing With the Stars mereka.

Selain itu, golongan gay, lesbian mahupun transeksual merupakan antara ahli muzik dan pelakon paling popular di Israel. Secara rasmi, tiada perkahwinan gay di Israel terutamanya kerana tiada perkahwinan sivil di sana. Semua perkahwinan perlu melalui Rabai Yahudi yang menganggap homoseksualiti satu dosa besar dan melanggar undang-undang Yahudi. Bagaimanapun, kerajaan Israel tetap mengiktiraf pasangan sama jantina yang berkahwin di luar negara.

Mengambil anak angkat di kalangan pasangan homoseksual juga secara rasminya diharamkan tetapi ini boleh diatasi kebanyakan pasangan sama jantina melalui kaedah ibu tumpang atau mengambil anak angkat di luar negara.

Pasangan kepada invidu homoseksual juga boleh mengambil anak kepada pasangan hidup mereka sebagai anak angkat. Namun, situasi di bandar Baitulmuqaddis, sejam perjalanan dari Tel Aviv, jauh berbeza dengan dua pertiga daripada lebih 800,000 penduduknya terdiri daripada golongan Yahudi ultra Ortodoks atau bangsa Arab. Pada 2005, seorang pembantah fahaman ultra Ortodoks menikam tiga orang yang menyertai perarakan gay di Baitulmuqaddis. Beberapa tahun lalu pula, seorang wakil rakyat dari parti ultra Ortodoks, Shas, menyatakan di Parlimen bahawa gempa bumi merupakan satu hukuman Tuhan terhadap aktiviti homoseksual.

Tel Aviv juga sebenarnya tidak terlindung daripada keganasan apabila kejadian tembakan rambang dilakukan oleh seorang penyerang bertopeng di sebuah pusat khidmat bagi belia gay dan lesbian pada 2009.
Serangan paling ganas terhadap komuniti homoseksual di Israel itu menyebabkan seorang kaunselor lelaki berumur 26 tahun dan seorang gadis berumur 17 tahun terbunuh sementara penyerang tersebut masih gagal ditangkap. Semua kebimbangan itu bagaimanapun nampak jauh daripada minda pelawat dan pelancong ke Tel Aviv.

Di sebalik semua keganasan itu, pemilik hotel butik Brown, Leon Avigad menganggap suasana di Tel Aviv kini secara umumnya 'sungguh liberal' sehinggakan sesetengah kelab telah melabelkan premis mereka sebagai 'ramah-heteroseksual' pula.

"Tel Aviv kini sungguh gay sehinggakan anda tidak perlu mengumumkan orientasi seksualiti diri untuk menarik minat golongan homoseksual.

"Walaupun Israel mungkin melakukan beberapa perkara yang saya secara peribadi tidak bersetuju, tidak bermakna negara ini tidak boleh menjadi satu destinasi gay yang menarik untuk pelancong luar. Ia nilai tambah kepada rencah di sini," katanya.

Avigad, 40, telah berkahwin dengan pasangannya, seorang lelaki gay dan mempunyai seorang anak perempuan tetapi menegaskan dia tidak bimbang dengan politik berbahaya rejim Zionis. Seperti biasa di Asia Barat, sesetengah pengkritik telah menuduh Israel menggunakan toleransi terhadap golongan homoseksual untuk mengalih perhatian daripada dakwaan melanggar undang-undang terhadap penduduk Palestin. Pembangkang di Israel mencemuh penerimaan budaya homoseksual sebagai satu usaha secara sedar untuk mengaburi pencabulan hak asasi manusia warga Palestin di sebalik imej toleransi.

Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia juga menuduh Israel melakukan pelbagai bentuk pencabulan terhadap penduduk Palestin. Ini termasuk penahanan remaja bawah umur, memusnahkan rumah warga Palestin yang dibina tanpa permit, merampas tanah Palestin di Tebing Barat, menahan rakyat Palestin berbulan-bulan lamanya tanpa pendakwaan dan gagal mengambil tindakan terhadap tentera yang melakukan kesalahan di wilayah Palestin. Israel menyatakan mereka menghormati hak asasi manusia dan apa yang dilakukan di wilayah Palestin itu cuma atas kebimbangan keselamatan semata-mata.

Kempen pelancong gay di Tel Aviv juga telah menimbulkan perbezaan pendapat antara golongan gay sendiri.
Ini termasuk seorang aktivis lesbian dan profesor di Kolej Staten Island, Universiti Bandar New York, Sarah Schulman menulis dalam akhbar New York Time November lalu tetapi kemudian diselar seorang editor gay majalah The New Republic, James Kirchick.

"Meningkatkan hak golongan gay telah menyebabkan sebilangan individu yang berniat baik menyalah tafsir tahap kemajuan sesebuah negara berdasarkan tindakan mereka terhadap homoseksualiti," tulis Schulman.

Kirchick kemudian membalas tulisan Schulman dalam majalah dalam talian, Tablet, dengan menuduh aktivis lesbian itu serta rakan-rakannya mempunyai agenda tersembunyi.

"Kerana diselubungi kebencian terhadap Israel, mereka sanggup memesongkan kebenaran tentang penindasan kejam golongan homoseksual di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

"Jika ada usaha mengaburi sesuatu di sini, ia Schulman yang mahu menyorokkan pahit getir golongan gay di Palestin," tegas Kirchick.

Seorang profesor undang-undang di Universiti Tel Aviv, Aeyal Gross pula mengakui banyak kemajuan telah dicapai dalam perjuangan hak golongan homoseksual di Israel tetapi turut berkongsi pendapat serupa dengan Schulman.

"Lebih lama Israel menjenamakan dirinya sebagai demokrasi liberal, semakin kurang tekanan diterimanya daripada masyarakat antarabangsa.
 
"Tetapi, jika kamu betul-betul mengambil berat tentang hak asasi golongan gay, maka kamu juga perlu mengambil berat apabila hak asasi golongan lain ditindas," ujarnya.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...