MINGGU lalu, heboh orang bercakap tentang Sham Kamikaze kahwin satu lagi. Walaupun cerita itu sudah lama tersebar tetapi minggu lalu memang menggemparkan kerana bapa mertuanya turut memberi kenyataan mengesahkan pekahwinan itu.
Sebenarnya Joyah bukanlah terkejut sangat apabila mendengar berita perkahwinan itu, tetapi Sham dikatakan tidak mengaku dan menafikan yang dia telah berkahwin buat kali kedua.
Kalau betul Sham dah kahwin, takkanlah orang yang kuat agama macam Sham sanggup cakap bohong apalagi menafikan sesuatu yang sudah halal dari segi hukum! Sham tahu hukum, mustahil sampaikan perkahwinan keduanya yang memang sudah sah dari segi hukum syarak mahu dinafikan!
Entah-entah ada orang dengki dengan Sham hingga sanggup buat berita yang tidak benar. Iyalah setahu Joyah, Sham yang kini semakin warak dan kalau bercakap dengan perempuan bukan sahaja tak mahu bertentang mata, malah sepanjang menjadi juri AF9 lalu, percakapannya sopan, berlapik dan salam tak pernah tinggal.
Joyah rasa tentu ada yang dengki dengan Sham, iyalah melihatkan dia dah semakin insaf dan mereka yang masih belum sedar pandai-pandai aje menabur fitnah. Kalau betul Sham Kamikaze yang kini bergelar pendakwah bebas dah berkahwin dengan Nurul Halimin pada 16 Januari lalu, tentu dia mengaku. Takkanlah Sham nak menafikannya?
Sebab sebagai seorang yang kuat agama dan tahu hukum hakam, Sham mesti tahu antara sifat orang munafik ialah apabila bercakap dia bohong, apabila berjanji dia mungkir! Joyah tak rasa Sham begitu. Kalau betul dia kahwin mesti dia bercakap benar! Betul tak Sham? Cukup-cukuplah menabur fitnah terhadap orang yang baik dan jujur macam Sham, kesian... Sham!
Artikel Khas Joyah Spot - Utusan Malaysia