Edisi Soal Jawab Agama! Saya tidak pernah SOLAT, Bagaimana mahu BERTAUBAT!

Oleh Kaki Wayang on

http://umnojb.com.my/pemudajb/wp-content/uploads/2009/01/solat3.bmp 

Soalan:

Ustaz... saya hanya hendak menanyakan satu soalan : dulu saya kerap sembahyang tiba saya rasa sembahyang itu leceh. Sudah banyak kali saya berjanji pada diri saya untuk sembahyang tanpa meninggalkan dengan sengaja tetapi saya tetap ulang tabiat lama. Tetapi kali ini saya rasa saya betul-betul hendak bertaubat tetapi saya tidak tahu sama ada Allah terima atau tidak taubat saya. Apa cadangan ustaz atau saranan ustaz?

Jawapan:

Soal ibadah atau mengerjakan perkara yang makruf ini bukan perkara yang dianggap suka-suka, bila rajin buat apabila tidak rajin kita tinggalkan. Kalau ibadah sunat itu tidak mengapalah sebab kalau kita tidak buat dia tidak mendapat apa-apa pahala dan dosa. Tetapi kalau perkara yang wajib kalau kita tinggalkan dia mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah.

Saya umpamakan diri kita sebagai hamba Allah kepada seorang pelancong yang masuk ke dalam sesebuah negara. Syarat untuk memasuki sesebuah negara mestilah dengan menggunakan pasport dan juga visa, kalau tidak ada pasport dan visa pelancong tersebut dianggap sebagai pendatang tanpa izin. Apabila dokumen sudah diluluskan oleh pihak imengration, maka pelancong tersebut sudah boleh bergerak bebas dalam negara tersebut dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa negara tersebut. Jika ia melakukan kesalahan atau melanggar syarat yang ditentukan, dia boleh didakwa dan boleh juga ditamatkan masa melancongnya dengan serta merta.

Berdasarkan perumpamaan di atas ini adalah apabila kita disahkan atau diluluskan sebagai seorang muslim dengan pasport atau visa kita iaitu syahadah, maka kita kena mentaati segala undang-undang atau syariat yang terdapat dalam agama Islam. Jika kita gagal mematuhinya nescaya kita mengundang kemurkaan dan dosa daripada Allah. Bila tamat sahaja pasport dan visa yang diberikan Allah kepada kita iaitu mati, sudah pasti di akhirat nanti kita menghadapai satu siksaan yang sangat dahsyat dari Allah atas segala kegagalan yang telah kita lakukan.

Kalau kita hitungkan balik jumlah waktu solat dan masa yang diperlukan untuk mengerjakan solat itu sangat sedikit dan tidak sampai suku masa dari jumlah 24 jam. Bagaimana anda boleh anggap solat ini satu perkara yang susah. Inilah yang dikatakan tipu daya syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk memutar belitkan pemikiran manusia dengan menganggap solat itu satu perkerjaan yang sangat susah berbanding dengan kerja lain.  Firman Allah yang bermaksud :

"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.” (At-Taha : 14)

Semua makhluk adalah hak milik Allah, jadi terpulanglah kepada Allah untuk buat apa sekalipun kepada makhluknya. Kita tidak boleh berbantah dan mempertikaikan segala suruhan Allah. Setiap amal kebajikan yang kita buat ada balasannya dan ganjarannya. Buatlah ibadah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran.

Satu lagi saya hendak ingatkan kepada yang bertanya, sebagai seorang muslim, kita tidak boleh anggap solat itu membebankan dan menyusahkan kita, sebab solat ini adalah perintah Allah dan kita tidak boleh mempersenda segala suruhan Allah dan jika kita mempersenda, maka sudah pasti ia mengundang kemurkaan Allah, segala amal dan pahalanya akan ditolak oleh Allah, boleh merosakkan akidahnya dan akan diazab dengan siksaan yang sangat pedih di hari akhirat kelak. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang Yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) Dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke Dalam azab neraka) Dengan sebab apa Yang ia telah usahakan (dari perbuatan Yang buruk dan keji). tidak ada baginya Pelindung dan tidak juga pemberi syafaat Yang lain dari Allah. dan jika ia hendak menebus (dirinya) Dengan Segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. mereka itulah orang-orang Yang dijerumuskan (ke Dalam azab neraka) Dengan sebab apa Yang telah mereka usahakan. bagi mereka disediakan minuman dari air panas Yang menggelegak, dan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).” (Al-An’am : 70)

Manusia adalah makhluk yang lemah dan mudah untuk lupa segala suruhan dan larangan Allah. Jadi sebab itulah Islam diturunkan untuk mengajak dan mengingati manusia akan perintah Allah. Sebab itulah Islam mewajibkan solat 5 waktu, ini bertujuan untuk menghidupkan hati manusia dari terus leka dengan tipu daya syaitan. Bila kita solat, kita akan ingat segala kesilapan yang telah dilakukan oleh kita, dari kesalahan yang dilakukan mohon ampun kepada Allah melalui doa-doa yang terdapat dalam solat dan selepas solat.

Allah itu Maha pengampun dan Maha Penyayang..Kalau kita bertubat dengan sepenuh hati dan berikrar tidak melakukan lagi dosa tersebut, nescaya Allah akan menerima taubat kita. Firman Allah yang bermaksud:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar : 53)

Tidak ada alasan lagi bagi sesiapa yang melakukan dosa untuk bertaubat, kerana Allah sentiasa membuka bintu taubat seluas-luasnya kepada sesiapa yang ingin bertaubat. Ini peluang yang Allah berikan kepada kita, jangan kita lengah-lengahkan taubat, sebab ajal maut kita tiada siapa pun tahu melainkan Allah sahaja. Kalau tidak disegerakan taubat, takut-takut nanti kita tidak sempat untuk bertuabat kepada Allah.

Dalam taubat ini juga ada beberapa syarat yang telah ditetapkan seperti kata Imam Qurtubi Rahimahullah “Taubat itu mempunyai empat perkara iaitu istiqfar dengan lidah, meninggalkan dengan badan, menyembunyikan keinginan untuk kembali semula dan meninggalkan keburukan”. Taubat ini bukan hanya dilafazkan dimulut sahaja atau menangis dengan air mata berdarah sekalipun, taubatnya tidak akan diterima oleh Allah sebab dia masih lagi mempunyai keinginan untuk melakukan dosa itu kembali. 
 
Rujukan: Ustaz Nor Amin
 

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...