Tiap kali disandarkan harapan, penjaga gol utama negara, Khairul
Fahmi Che Mat tidak pernah mengecewakan malah dia sekali lagi menjadi
watak penting kepada kejayaan skuad bola sepak negara yang meraih pingat
emas di Sukan SEA XXVI Indonesia 2011.
Selain cemerlang mengawal asakan hebat pemain-pemain Garuda Muda
sepanjang 120 minit selepas rakan sepasukan bagaikan sudah kehabisan
tenaga, Khairul yang lebih dikenali sebagai Apek dilihat menjadi faktor
penting membawa skuad negara memenangi pertarungan sepakan penalti
selepas kedudukan terikat 1-1 sehingga penghujung perlawanan.
Pada sepakan penalti terakhir Indonesia yang diambil penyerang
gantian Ferdinand Sinaga, Apek berkata, melalui gerak hatinya, dia sudah
dapat membaca arah tendangan pemain berkenaan.
''Pada situasi semalam, saya sudah dapat duga arah sepakan yang akan
diambil oleh dia (Ferdinand) apabila tengok gaya dia meletakkan bola. ''Saya memberikan fokus lebih 100 peratus untuk cuba menyelamatkan
sepakan tersebut kerana sedar itu sepakan terakhir oleh mereka
(Indonesia). ''Alhamdulilah, telahan saya pada sepakan terakhir benar-benar tepat
dan apabila Baddrol (Bakhtiar) berjaya mengambil sepakan, saya cukup
gembira kerana dapat membantu negara menyumbangkan emas," katanya.
Malaysia muncul juara dengan keputusan 4-3 mengetepikan Garuda Muda
di Stadium Gelora Bung Karno melalui penentuan sepakan penalti.
Walaupun telah menyumbangkan dua kejayaan berturut-turut selepas
menjuarai Piala AFF pada tahun lalu, Apek mengakui, dia belum lagi puas
memberikan lagi kejayaan kepada pasukan negara.
''Selepas membantu memenangi emas kepada negara dan menjuarai Piala
AFF, saya rasa masih banyak lagi saya boleh berikan kepada skuad negara
terutama kita masih berada dalam saingan kelayakan Olimpik. ''Kini saya berhasrat kita mampu melakukan sesuatu pada saingan kelayakan Olimpik, saya harap kita boleh mengejutkan Syria. ''Soal penat dan jadual padat harus ketepikan dahulu, ia tidak boleh
dijadikan alasan, apa yang lebih mustahak kita mesti capai satu
keputusan yang membanggakan pada perlawanan esok (hari ini)," katanya.