Seorang ibu yang sedang mencari anak bongsunya berusia 15 bulan yang
hilang dari rumah di Pantai Mek Mas di sini kelmarin tidak menyangka
menemui bayi itu dalam keadaan terapung di kuala sungai belakang
rumahnya.
Ketika ditemui pada pukul 2 petang, Nik Muhd. Iqbal Azim Nik Ruslan
disahkan sudah tidak bernyawa selepas dipercayai terjatuh ke dalam
sungai yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah mangsa.
Ibu mangsa, Lini Abdullah, 27, berkata, sebelum kejadian dia sedang
melakukan kerja rumah di dapur manakala Iqbal Azim pula bermain seorang
diri di ruang tamu.
Wanita itu mula menyedari anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu
hilang pada pukul 1.30 petang selepas bayi itu tiada di ruang tamu
sebelum dia keluar mencarinya di sekitar kawasan rumah.
“Sewaktu saya dan sepupu mencari Iqbal Azim, saya tergerak hati untuk
pergi ke sungai dan terkejut apabila ternampak satu objek terapung di
sungai.
“Sebaik diamati, rupa-rupanya objek terapung itu ialah anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.