Wayne Rooney meledak tiga gol dan Javier Hernandez menambah dua lagi
gol bagi membantu Manchester United membelasah Bolton 5-0 semalam, untuk
meneruskan permulaan sempurna dalam Liga Perdana Inggeris. United meneruskan kecemerlangan membelasah Arsenal 8-2 dengan satu
lagi pesta gol apabila Hernandez menjaringkan gol pembukaan hanya empat
minit perlawanan sebelum Rooney menambah dua lagi gol sebelum rehat.
"Kami hanya fokus pada diri sendiri. Kami sedar ialah adalah
perlawanan yang sukar, kami fokus, memastikan kami meraih kemenangan.
Kemenangan ini lebih mudah daripada apa yang kami jangkakan," kata
Rooney.
Hernandez menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-58 sebelum Rooney
menjaringkan gol kesepuluh dalam enam perlawanan terakhir bersama United
dan England pada pertengahan babak kedua. Ia adalah hatrik kedua berturut-turut Rooney dalam liga selepas juga meledak tiga gol ketika menentang Arsenal.
United di tangga teratas liga dengan 12 mata daripada empat perlawanan, mengatasi Manchester City menerusi kelebihan jaringan.
Tambah Rooney, United sewajarnya mendapatkan lebih banyak jaringan ketika beraksi di Stadium Reebok.
"Kami mendapat gol awal dan sewajarnya kami mendapatkan lebih banyak lagi jaringan. "Ini juga adalah kali pertama saya digandingkan dengan Javier musim ini, yang menyaksikan kami menjaringkan gol dengan baik.
"Kami mempunyai masa yang lama untuk berehat serta melalui pra-musim
dengan baik. Ketika ini saya bebas daripada kecederaan sekali gus dapat
membantu pasukan memulakan kempen musim ini dengan hebat," jelas Rooney.
Sementara itu, pengurus Alex Ferguson percaya United berada pada
landasan yang betul untuk mendahului Liga Perdana Inggeris selepas
bermula cemerlang musim ini. Kemenangan semalam bermakna United telah meledak 18 gol dalam empat perlawanan dengan sebahagian besar menerusi Rooney.