Tindakan seorang remaja singgah melihat sekumpulan rakannya
bermain mercun ketika dalam perjalanan ke kedai runcit berdekatan
rumahnya di Kampung Tabuan Melayu di sini, mengundang padah apabila dia
kini mungkin hilang penglihatan sebelah mata akibat terkena letupan
mercun bola.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam menjelang 1 Syawal itu,
Ezzwan Yuswan Jemat, 18, ke kedai runcit milik keluarga yang terletak
tidak jauh dari rumahnya untuk mengambil barangan bagi persiapan
Aidilfitri. Menurut ibu mangsa, Rosnah Umar, 57, anak bongsu daripada
empat beradiknya itu singgah melihat sekumpulan rakannya bermain mercun
ketika dalam perjalanan ke kedai.
Difahamkan ketika itu seorang rakan anaknya membakar mercun bola, namun tidak meletup dan Ezzwan membongkokkan badan untuk melihat mercun berkenaan sambil menyuluh menggunakan lampu telefon bimbitnya.
“Tiba-tiba mercun bola berkenaan meletup dan percikan api terkena
seluruh muka serta mata kanannya menyebabkan anak saya meraung
kesakitan. “Mujurlah beberapa penduduk kampung yang melihat kejadian
itu terus membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,”
katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, semalam.
Menurut Rosnah, hasil pemeriksaan doktor mendapat kornea mata kanan anaknya mengalami kerosakan dan berkemungkinan menyebabkan penglihatannya terjejas atau lebih teruk lagi boleh mengakibatkan buta.
“Namun perkara itu belum dapat disahkan 100 peratus kerana doktor masih merawat kecederaan itu. Mujurlah kecederaan mata kiri anak saya tidak terlalu teruk kerana dia masih boleh melihat walapun penglihatannya agak kabur,” katanya.
Katanya, berikutan insiden itu, sambutan Aidilfitri keluarganya tidak
meriah berbanding sebelumnya kerana terpaksa menjaga Ezzwan yang kini
masih dirawat di hospital.