Sekadar Gambar hiasan
Bayi lelaki berusia sebulan dan anak kepada wartawan televisyen mati
akibat kelemasan apabila pengasuhnya rebah dan maut lalu menghempap bayi
malang itu.
Michael Baldwin II yang bekerja di stesen berita 12 New York,
berkata, dia meminta Teresa Coffey, 39, menjaga anak lelakinya selepas
dipanggil bekerja Khamis lalu. Bagaimanapun, selepas panggilan dibuat
ke kediamannya beberapa kali dari tempat kerja tidak berjawab, dia
bergegas pulang ke kediamannya di Greenlawn di sini dan menemui bayinya,
Michael Baldwin III dan Teresa sudah meninggal dunia. Baldwin
memberitahu Newsday: “Anak saya bagaikan nyawa saya. Dan kini dia sudah
tiada lagi.” Teresa yang berketinggian 1.67 meter dan berat melebihi
90.7 kilogram ditemui di atas bayinya kira-kira jam 9.30 malam sebaik
Baldwin tiba di rumahnya. Wartawan TV itu menemui Teresa rebah di atas
sofa tetapi gagal menemui anak lelakinya.
“Saya mencari di setiap bilik sambil memanggil namanya, Michael, Michael,” katanya.
Apabila dia gagal menemui anak lelakinya itu, dia pergi semula ke
ruang tamu di mana Teresa tertiarap dengan lututnya terjulur ke lantai.
“Saya ada terfikir mungkin Teresa rebah di atas bayi saya. “Saya kemudian mengangkat tubuh Teresa dan melihat Michael di bawahnya.“Dia kelihatan pucat...saya lalu mendukung dan memanggil namanya walaupun saya tahu dia mungkin sudah tiada lagi,” katanya. Teresa adalah rakan isteri Baldwin.