Kematian Noramfaizul Mohd. Nor dalam kejadian tembakan di Somalia,
kelmarin menimbulkan seribu tanda tanya berhubung siapa yang
bertanggungjawab melepaskan tembakan dan bagaimana jurukamera itu
terkena tembakan. Berdasarkan kesan tembakan pada jenazah jurugambar BernamaTV itu,
kemungkinan beliau ditembak dari arah atas lalu mengenai bahu kanannya
dan menembusi rusuk kirinya.
Ada juga pihak yang mendakwa Allahyarham ditembak dari arah kiri lalu
mengenai rusuk kirinya dan menembusi paru-parunya sehingga ke bahu
kanan. Akibat tembakan itu, Noramfaizul, 39, gagal diselamatkan meski sempat
diberikan rawatan awal di bilik pembedahan di hotel penginapannya
terletak dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Aden Abdulle, Mogadishu,
Somalia.
Pelbagai pihak juga membuat pelbagai andaian berhubung siapakah yang bertanggungjawab melepaskan tembakan itu. Utusan Malaysia difahamkan, Noramfaizul ditembak oleh tentera Kesatuan Afrika (AU). Saksi di tempat kejadian berkata, mereka melihat tentera AU bertindak
melepaskan tembakan ke arah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki
Noramfaizul bersama lima lagi krew televisyen dari Malaysia yang membuat
liputan misi bantuan kemanusiaan dari Malaysia.
Menurut saksi, AU mahu menjadikan insiden tembakan itu sebagai alasan
bagi menunjukkan Somalia masih tidak selamat dan masyarakat
antarabangsa perlu campur tangan. Katanya, AU juga berharap militan al-Shabab akan dituduh melakukan perbuatan itu. Semua itu dilakukan AU untuk membolehkan AU terus diberi mandat
dengan peruntukan berbilion dolar bagi menjaga keselamatan di negara
‘Tanduk Afrika’ itu, kata saksi itu kepada wartawan Utusan Malaysia yang
turut menyertai misi bantuan itu.
Ada juga pihak yang mendakwa tembakan berkenaan dilakukan oleh
militan Al-Shabaab yang sejak awal lagi tidak menyukai mana-mana negara
memasuki Somalia membawa bantuan kemanusiaan bagi membantu mangsa
kebuluran. Bagi al-Shabaab, Somalia adalah ‘tanah’ mereka dan semua pihak perlu
mendapatkan kebenaran militan itu untuk memasuki negara berkenaan.
Ada juga pihak mendakwa tembakan yang turut mencederakan jurukamera
TV3 Aji Saregar Mazlan, 26, itu dilakukan individu tertentu yang tidak
berpuas hati kerana tidak mendapat bantuan. Pihak lain pula mendakwa tembakan itu dilepaskan oleh pihak yang tidak menyukai rakyat Barat memasuki Somalia. Atas dasar benci itu, mereka bertindak melepaskan tembakan amaran
yang mengenai pacuan empat roda yang dinaiki pengamal media dari
Malaysia.
Seramai 15 wartawan Malaysia termasuk seorang wartawan Utusan
Malaysia dan dua blogger menyertai misi bantuan kemanusiaan anjuran
Kelab Putera 1Malaysia itu.Misi yang bermula pada 28 Ogos itu dijadual berakhir pada 9 September
ini, tetapi misi itu ditamatkan semalam ekoran insiden itu dan semua
anggota misi serta wartawan Malaysia terbabit tiba di tanah air pagi ini
bersama jenazah Noramfaizul.