Akibat gagal menahan sabar selepas lebih tiga jam menunggu isteri
membeli-belah, seorang lelaki hilang pertimbangan sehingga sanggup
memukul wanita itu di depan orang ramai dengan sebuah beg tangan di
sebuah pasar raya di Jalan Gambang, di sini kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, wanita berusia 50
tahun dan tinggal di sebuah taman perumahan berhampiran pasar raya
berkenaan, lebam di beberapa bahagian badan dan muka sebelum mendapat
rawatan di sebuah klinik kesihatan di Jalan Gambang.
Sebelum kejadian, pasangan terbabit dikatakan masuk ke sebuah pasar raya untuk membeli barangan keperluan sebelum si suami dikatakan penat dan berehat di luar pasar raya itu. Selepas kira-kira tiga jam menunggu, si suami yang berusia hampir 20 tahun lebih muda daripada isterinya itu mula bengang dan berang apabila mendapati wanita berkenaan tidak muncul dalam waktu yang sudah dijanjikan sebelum itu.
Bagaimanapun, beberapa minit kemudian, isteri lelaki berkenaan keluar dari pasar raya itu sambil menjinjing beberapa beg plastik mengandungi barangan dibeli.
Tanpa mempedulikan isterinya yang ketika itu menjinjing banyak barang di tangan, lelaki berkenaan terus menengkingnya sehingga menarik perhatian pengunjung lain yang berada berhampiran. Lelaki itu yang tidak menghiraukan perhatian pengunjung lain terus merampas beg tangan isterinya sebelum memukul beberapa kali di badan selain melibas beg berkenaan ke muka isterinya.
Wanita terbabit yang terkejut dengan tindakan luar batasan si suami kemudian terus melarikan diri masuk ke dalam kereta kerana malu kejadian itu disaksikan pengunjung lain.