Bekas jaguh bina badan Asia, Datuk Malek Noor, 56, selamat melangsungkan
pernikahan dengan seorang doktor pakar kanak-kanak Hospital Pakar
Perdana, Dr Wan Asma Wan Ismail, 52, dalam satu majlis sederhana di
penthouse Kelantan Trade Center (KTC) di sini, kira-kira jam 11 pagi
tadi.
Majlis akad nikah itu diwalikan bapa kandung Dr Wan Asma sendiri, Wan Ismail Wan Ahmad, 86, dengan mas kahwin senaskah al-Quran di tingkat 18 bangunan KTC berkenaan yang turut disaksikan kira-kira 30 ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak pasangan pengantin itu.
Dr Wan Asma menghantar tujuh dulang hantaran untuk Malek yang dibalas dengan lima dulang hantaran oleh pihak lelaki.
Sementara itu Malek berharap agar perkahwinan tersebut menjadi yang pertama dan terakhir dalam dirinya selepas sekian lama hidup membujang. Dr Wan Asma mempunyai tujuh orang anak berusia 11 hingga 30 tahun serta empat orang cucu dan sudah tiga tahun menjanda manakala Malek memiliki seorang anak angkat iaitu Nik Nuramalin Aisyah Nik Mahmud berusia 2 tahun.
Pasangan tersebut berkenalan selepas berhubung atas urusan perniagaan pada November tahun lalu sehinggalah Malek membuat keputusan merisik pada Februari lepas. Majlis resepsi perkahwinan mereka akan diadakan di Hotel Renaissance, pada malam Isnin.