Pelakon
dan pengacara, Irma Hasmie mengesahkan bakal bertunang dengan jejaka pilihan
hatinya pada tahun ini namun enggan mendedahkan identiti lelaki tersebut. Irma
dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online berkata,
dia akan menjelaskan butiran mengenai jejaka berkenaan kepada umum semasa
majlis pertunangan itu nanti.
"Ya, Insya-Allah (akan bertunang), cuma tunggu
masa majlis nanti baru saya akan cerita," ujarnya ringkas.
Pada Sabtu, sebuah portal hiburan melaporkan Irma
bakal mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya dalam beberapa
minggu lagi.
Pasangan itu dilaporkan memilih tarikh 27 Mac 2012
sebagai hari bersejarah itu yang dijadualkan akan berlangsung di kediaman
keluarga Irma di Sungai Buloh, dekat sini. Laporan itu turut menyebut Irma
terpaut hati dengan jejaka berkenaan ketika sama-sama menunaikan Umrah di kota
suci Mekah baru-baru ini.
Bagaimanapun, Irma ketika ditanya mengenai majlis
dan bakal tunangnya enggan mendedahkan sebarang maklumat ketika ini dan meminta
pihak media menunggu masa sesuai.
"Saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa
kenyataan sebelum majlis itu berlangsung. Maaf, harap doakan yang terbaik dan
dipermudahkan dalam segala urusan," ujarnya.
Irma sebelum ini pernah bercinta dengan aktor Farid
Kamil dan penyampai radio Suria FM iaitu Nabil (Raja Lawak) sebelum hubungan
itu terputus di tengah jalan.
Pelakon yang manis menggayakan tudung itu juga
pernah digosipkan mempunyai hubungan istimewa dengan pereka fesyen terkenal
iaitu Ezuwan Ismail selepas sering kelihatan bersama.
P/s: Makin comel pula Irma Hasmie ni kan..bertudung pula tu...bertuah sape dapat dia ni..tahniahlah yer