Zainab
menunjukkan api misteri (dalam bulatan) yang membakar kain tudungnya di
rumahnya di Kampung Penambang Bunga Emas, Kota Bharu semalam.
Selepas lebih setahun tenang tanpa serangan api
misteri, keluarga Zainab Sulaiman, 75, atau lebih dikenali sebagai Mok Nab
kembali resah apabila serangan tersebut kembali berulang di kediamannya di sini
kelmarin.
Terbaru, kejadian tersebut berlaku kira-kira
pukul 4.30 petang, Jumaat lalu di rumahnya di Kampung Penambang Bunga Emas,
dekat sini, apabila api misteri tersebut muncul secara tiba-tiba dan membakar
sebuah almari yang sarat dengan pakaian.
Menurut Zainab, kejadian tersebut disedari oleh
seorang cucunya, Wan Mohd. Faiz Wan Hanafi, 16, yang terbau hangit seperti benda
terbakar sebelum mendapati sebuah almari yang terletak di dalam sebuah bilik
terbakar.
Katanya, ketika disedari api yang muncul tersebut
begitu marak dan membakar almari serta sebahagian dinding bilik tersebut
menyebabkan beliau dan menantunya, Rafeah Zakaria, 38, serta dua lagi cucunya,
Wan Nurfatihah, 14, dan Wan Nurfatini, 12, panik dan berada dalam ketakutan.
“Kami semua terpaksa mengambil semua pakaian yang
disimpan di dalam almari dan dicampak ke luar rumah melalui tingkap untuk
mengelakkan daripada terus hangus terbakar selain bimbang api menjadi semakin
marak.
“Orang kampung juga datang menolong memadamkan
kebakaran dan disebabkan api yang sangat marak, saya terpaksa meminta orang
kampung menelefon pihak bomba kerana bimbang rumah saya hangus terbakar,”
katanya ketika ditemui semalam.