SOALAN:
Saya berumur 27 tahun dan telah tujuh bulan
berkahwin namun masih belum bersama dengan suami walaupun sekali. Pelbagai cara
dan kaedah moden dan tradisional dari segi pemakanan dan teknik telah saya
amalkan namun masih tidak berkesan. Saya telah merujuk kepada pelbagai bahan
bacaan untuk membantu tetapi masih begitu. Masalah utama saya ialah tidak
merasa ghairah atau terangsang. Tambah menyukarkan, saya rasa pedih dan sakit
kerana tiada kebasahan malah lubang juga tidak terbuka sehingga menghalang saya
menjalankan tanggungjawab kepada suami.
Pelbagai cerita yang saya dengar daripada rakan
seperti dara yang tebal, lubang terlalu kecil dan perasaan takut yang
menghalang. Perasaan bersalah terhadap suami sangat menghimpit jiwa saya.
Keluarga juga sering bertanya jika ada apa-apa berita baik menyebabkan emosi
saya semakin tidak stabil. Saya sangat-sangat berharap agar Prof dapat membantu
menyelesaikan masalah saya ini. Apakah kaedah dan teknik terbaik bagi saya
untuk mengurangkan rasa sakit dan merangsang hormon seks saya supaya berfungsi?
Bantuan Prof sangat-sangat saya perlukan.
Jawapan:
Terima kasih kepada Puan yang telah mengutarakan
soalan ini. Permasalahan yang dihadapi adalah berkaitan hubungan seks. Puan
mungkin masih lagi dara jika perhubungan ini belum berjaya dilakukan sepenuhnya.
Masalah yang Puan hadapi ini dikenal sebagai vaginismus.
Vaginismus adalah keadaan tekanan psikologi yang
diekspresi dalam bentuk reaksi fizikal yang sangat kuat. Mungkin agak asing
bunyinya, namun ia adalah masalah seks wanita yang telah lama wujud. Ia adalah
satu keadaan yang menjejaskan keupayaan seseorang wanita menerima penetrasi
melalui faraj termasuk penetrasi seksual, kemasukan tampon dan penetrasi ke
faraj untuk tujuan pemeriksaan sakit puan seperti pap smear. Ini berlaku kesan
tindak balas otot lantai pelvik seseorang wanita. Tindak balas ini menyebabkan
otot bahagian tersebut mengalami kekejangan dan menghalang sebarang penetrasi
termasuk kemasukan alat kelamin suami. Pemaksaan hubungan seks ketika itu akan
menyebabkan kesakitan ataupun kadang-kala langsung tidak boleh dilakukan. Di
negara barat, dua peratus daripada wanitanya mengalami masalah vaginismus dan
dalam kalangan negara Islam peratusan tersebut mungkin lebih tinggi
memandangkan seks adalah sesuatu yang tabu dan jarang diperbincangkan.
Tertekan
Ramai wanita yang mengalami masalah ini biasanya
akan hanya memendam perasaan. Vaginismus boleh menyebabkan wanita berasa
tertekan, resah dan rendah diri. Masalah ini boleh berlaku dalam pelbagai
keadaan. Biasanya sebagai tindak balas pada perkara yang tidak diingini seperti
perasaan sakit atau pengalaman yang menyakitkan semasa menjalani hubungan seks
terdahulu.
Masalah vaginismus terbahagi kepada dua iaitu
vaginismus primer dan vaginismus sekunder. Vaginismus primer berlaku apabila
seseorang wanita itu tidak boleh melakukan sebarang penetrasi seks atau apa
juga penetrasi ke dalam vagina. Ia selalunya dialami oleh wanita muda pada awal
usia 20-an, yang belum pernah melakukan hubungan seksual.
Vaginismus sekunder pula berlaku kepada wanita
yang pernah melakukan hubungan seksl tanpa masalah tetapi kemudiannya mengalami
masalah. Mereka selalunya tidak mengetahui keadaan tersebut sehinggalah
percubaan untuk penetrasi faraj dilakukan ketika hubungan seks. Keadaan ini
selalunya akan diikuti dengan perasaan cemas dan juga takut.
Punca vaginismus berlaku termasuk kepercayaan
yang faraj itu kecil dan sempit serta perasaan serba salah melakukan hubungan
seks sebelum berkahwin. Punca lain, penderaan seksual yang pernah dialami,
kecederaan faraj akibat kelahiran sebelum ini, hubungan seksual pertama kali
yang begitu menyakitkan, takut hamil, kurang maklumat tentang fungsi seksual
dan kepercayaan yang seks itu tidak suci dan hanya menguntungkan lelaki.
Pemeriksaan
Seseorang wanita perlu menerima bahawa
penghayatan seksual ialah fitrah semula jadi makhluk Tuhan. Ia bukanlah suatu
hukuman atau penyeksaan. Wanita perlu bertanggungjawab kepada kesihatan anggota
seksualnya. Ini termasuk penjagaan dan penghayatan kepada anggota tersebut.
Justeru, tidak perlu rasa malu atau kekok untuk memeriksa anggota kemaluan
sendiri. Antaranya mengenali bahagian anggota tersebut seperti bibir besar
(labia majora), bibir kecil (labia minora), klitoris (kelentit) dan pembukaan
faraj. Mustahak untuk wanita yang telah baligh mengetahui anggota kemaluannya
supaya dapat melakukan amalan sihat semasa membuang air serta memakai tuala
pelekat atau tampon ketika haid. Ini dikenali sebagai pemeriksaan kendiri
kemaluan wanita. Bagi wanita yang telah melakukan hubungan seksual, perlu
amalkan pemeriksaan kendiri ini sekurang-kurangnya sebulan sekali dan apabila
merasa kurang selesa pada bahagian itu. Tidak salah menyentuh bahagian yang
mudah terangsang untuk mengenali keadaannya, setakat untuk mengetahui dan bukan
untuk merangsangkan anggota secara sendiri atau beronani.
Ini akan membantu pasangan melakukan rangsangan
kepada bahagian tersebut supaya memudahkan mereka menghayati orgasma. Semasa
melakukan pemeriksaan kendiri dan mendapati ada perubahan yang dikhuatiri
seperti kemelecetan, ruam, pengeluaran cecair atau keradangan pembukaan faraj
yang menyebabkan perit semasa atau selepas bersetubuh - jangan teragak-agak
berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan bahagian kemaluan dan pelvik.
Jangkitan sistem reproduksi wanita boleh berlaku bila-bila masa dan memberi
tekanan kepada hubungan seksual dan mengakibatkan kesakitan semasa hubungan
seks (dispareunia).
Hubungan seksual yang membina dan merangsangkan
memberi nikmat hidup yang sejahtera. Jadi jangan biarkan masalah ini berlaku.
Dapatkan bimbingan dan penyelesaian bersama pasangan melalui rawatan dan
kaunseling dengan doktor atau pembimbing yang arif dalam hal seksualiti wanita
seperti pakar terapi seksual, sakit puan dan pakar kaunseling.
Rawatan
Rawatan fizikal yang boleh dilakukan untuk
menyelesaikan masalah vaginismus adalah dengan belajar teknik untuk menenangkan
otot dan mengelakkan kejang. Ia termasuk mengembangkan faraj dengan cara
memasukkan rod plastik kecil ke dalamnya. Senaman kegel juga boleh membantu
menguatkan otot pelvik sekitar faraj. Ia akan membantu wanita mengawal otot
yang berkontraksi secara paksa hingga mengejang.
Bagaimanapun wanita yang mengalami vaginismus
masih boleh melakukan aktiviti seksual yang tidak melibatkan penetrasi vagina
seperti kucupan, belaian mahupun oral seks. Anggapan bahawa wanita yang
mengalami vaginismus langsung tidak mahu melakukan seks, tidak benar.
Teknik mengatasi vaginismus sendiri
Rileks. Ini hal terpenting yang dapat Puan
lakukan. Mandilah, berlatih teknik pernafasan dan dengar muzik yang dapat
membuat anda merasa rileks.
Fahami kelakuan tubuh badan dengan lebih baik.
Latihlah otot faraj anda. Ini akan membantu mengawal respons anda. Pusatkan
waktu untuk menikmati sensasi menyenangkan daripada sentuhan dan pastikan anda
benar-benar terangsang sebelum mencuba untuk menerima penetrasi.
(Teknik seterusnya mungkin kurang disenangi oleh
beberapa pihak). Ketika santai, cubalah melakukan sendiri penetrasi pada faraj
anda. Mulainya dengan sesuatu seperti putik kapas atau hujung jari anda
sendiri. Setelah kepercayaan diri makin tinggi, cuba satu jari penuh dan
kemudian suruh pasangan anda memasukkan jarinya ke dalam faraj anda.
(Ingat! Kaedah ini mungkin pilihan terakhir).
Gunakan prostesis berbentuk penis pelbagai ukuran dan gel pelincir untuk
membantu ketika ia dimasukkan ke dalam faraj. Cuba ketika bersendirian bagi
membangkitkan kepercayaan dan kemampuan anda.