VENDOR teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkemuka, Huawei
memperkenalkan tablet saiz 10 inci berkuasakan quad core pertama di
dunia pada Kongres Mudah Alih Dunia (MWC) 2012 yang berlangsung di
Barcelona, Sepanyol.
Tablet dinamakan MediaPad 10 FHD terbabit lengkap dengan ciri
hiburan yang tiada tandingannya termasuk audio visual serta pemprosesan
Huawei 1.5GHz quad core, sistem operasi Google Android 4.0 dan skrin
paparan definisi tinggi 10 inci.
Pengerusi Peranti Huawei,
Richard Yu berkata, syarikatnya membangunkan tablet yang dihasilkan
berdasarkan tabiat penggunaan peranti terbabit oleh pengguna seperti
aplikasi permainan, fungsi multimedia dan e-buku.
“Kami mencipta MediaPad 10 FHD yang cemerlang dalam semua keupayaan
hiburan termasuk kelajuan, kuasa, web, paparan definisi tinggi dan
audio kemudian membungkusnya dalam mesin padat dan mudah alih,” katanya.
Selain mampu memainkan permainan jenis tiga dimensi (3D), tablet terbabit turut membolehkan akses tanpa wayar berkelajuan tinggi sehingga 84Mbps (HSPA + 21/42/84Mbps) serta menyokong piawaian rangkaian LTE.