Edisi Hangat! Review Penuh Majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian – Review Khas dari GUA!

Oleh Kaki Wayang on


Bagai yang telah dijangka, hero filem ‘Ombak Rindu’, Aaron Aziz dijulang sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH 2011) apabila menerima 87,699 undian menewaskan pemenang tahun lalu, Shaheizy Sam. Aaron mengenepikan saingan kelompok empat artis lain yang menerima undi tertinggi iaitu Fizz Fairuz, Shaheizy Sam, Fasha Sandha dan Tasha Shila.


Bintang dari Singapura ini membawa pulang sebuah kereta Nissan Teana 2.5 sumbangan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd dan set barangan kemas Rafflesia bernilai RM250,000. Kemenangan Aaron ini pasti membuktikan peminat sekarang tidak lagi mementingkan status peribadi atau pun warganegara seseorang artis. Sebaliknya melihat kepada keupayaan atau kebolehan seseorang artis itu. Tahniah, GUA ucapkan kepada Aaron Aziz.

Selain Aaron Aziz, GUA juga ingin mengucapkan syabas kepada Maya Karin di atas kemenangannya sebagai Pelakon Filem Wanita Popular. Walaupun penampilannya dalam Ombak Rindu turut dikritik kerana perwatakkannya tidak mencerminkan seorang gadis Melayu, tetapi lakonan naif Maya berjaya memberikan impak yang besar. Populariti yang diraih filem ini bakal melonjakkan nama Maya Karin semula.

Bagaimana pula dengan pemenang-pemenang lain? Adakah di kalangan anda yang tidak berpuas hati dengan keputusan malam tadi? Secara jujurnya GUA tidak ada sebarang pertikaian terhadap keputusan ABPBH 2011 malam ini, walaupun ada yang di luar jangkaan.

Namun, GUA mengukir senyuman lebar apabila Zizan Razak akhirnya berjaya merampas ‘takhta’ Aznil Nawawi sebagai Pengacara TV Lelaki Popular. Bukan kerana beranggapan Aznil sudah tidak layak, tetapi teringin melihat pelapis muda menjulang trofi.  Kemenangan Zizan ini secara tidak langsung, membuktikan industri hiburan kita tidak ketandusan bakat. Zizan memang layak menang kerana bukan kecil populariti yang diraihnya. Kalau tidak masakan program Melodi melamar Zizan sebagai hos.

Penangan Ombak Rindu diteruskan oleh Hafiz yang memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular, manakala penyanyi yang mencipta nama di Amerika Syarikat, Yuna berjaya membawa pulang trofi Penyanyi Wanita Popular.

Kemenangan Dato' Siti Nurhaliza untuk kategori khas Anugerah Sri Perak bukanlah satu yang mengejutkan. Pemenang trofi Penyanyi Wanita Popular berganda itu amat wajar diberikan pengiktirafan yang tertinggi untuk meraih anugerah khas tersebut.

Bagaimanapun, GUA agak terkejut dengan kemenangan Tasha Shila sebagai Pelakon TV Wanita Popular. Maklumlah sebelum acara kemuncak ini berlangsung, ramai yang meramalkan pelakon jelita, Neelofa akan naik ke pentas menerima anugerah itu. Ternyata ramalan itu meleset sama sekali.

Jika difikir-fikirkan, sebenarnya bukanlah satu yang mustahil untuk Tasha Shila meraih kemenangan tersebut. Ini kerana  dia banyak membintangi drama-drama bersiri yang meraih rating membangggakan.  Jadi, pasti dia punya peminat yang ramai dan sanggup mengundi untuknya.  Kepada peminat Neelofa, jangan kecewa, mana tahu, tahun depan rezeki Lofa dalam kategori pengacaraan pula.

Kemenangan pelakon Fizz Fairuz dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular juga mengejutkan apabila pelakon drama Nur Kasih itu menewaskan pelakon drama Nora Elena, Aaron Aziz. Kemenangan yang boleh dianggap terlewat pada waktunya itu menjadi lebih manis apabila reaksi Fizz Fairuz yang dilihat cukup terkejut dengan kemenangannya. Reaksi Fizz sewaktu menyampaikan ucapannya cukup klasik dan terserlah kejujurannya.

Menyentuh tentang persembahan keseluruhan APBBH 2011, GUA berpendapat ia sebuah persembahan yang cukup menghiburkan dan mantap, sesuai dengan sambutan 25 tahun penganjurannya. Akan tetapi, ada beberapa perkara yang kurang berkenan di hati GUA.

Pertama, tindakan penganjur menyampaikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di awal-awal acara agak kurang kesesuaiannya memandangkan ia sebuah anugerah yang cukup besar pengaruhnya pada industri. Seperti tahun-tahun sebelumnya, montaj kejayaan dan perjalanan kerjaya pemenang akan ditayangkan terlebih dahulu sebelum pengumuman dibuat, tetapi tidak pada tahun ini. Sudahlah begitu, ketika penerimanya, Datuk Sheila Majid menyampaikan ucapan, kedengaran muzik sebelum Diva Jazz itu habis berbicara.  Perkara sebegitu tidak seharusnya terjadi.

Selain itu, GUA juga tidak setuju dengan lagu-lagu  untuk persembahan pembukaan iaitu Thriller dan Bad Romance yang dipersembahkan oleh Stacy  dan Alyah. Rasanya adalah lebih baik kalau Stacy dan Alyah menyampaikan lagu Melayu bagi mewakili industri hiburan tempatan yang memiliki lagu-lagu Melayu yang bagus-bagus.  Mungkin pihak penganjur mahu mencipta kesinambungan kerana Datuk Siti Nurhaliza ingin menyampaikan lagu Inggeris miliknya, Falling In Love.

GUA suka dengan persembahan Ziana Zain bersama Lan Typewriter yang menyampaikan lagu popular Meet Uncle Hussain, ‘Lagu Untukmu’. Paduan suara kedua-dua penyanyi ini sangat hebat dan memukau walaupun lagu yang sama pernah didendangkan oleh Lan & Dato’ Siti Nurhaliza di AJL dua tahun lalu.

Begitu juga dengan persembahan Dayang Nurfaizah dan Anuar Zain yang menyanyikan lagu ‘Tunggu Sekejap’ dan ‘Malam Bulan Di Pagar Bintang’. Selain susunan muziknya yang indah, paduan suara kedua-dua bintang ini cukup mengasyikkan.

Satu lagi persembahan yang ingin GUA sebutkan di sini pastilah pementasan Ombak Rindu daripada Aaron Aziz, Maya Karin dan Lisa Surihani. Persembahan ini mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada peminat yang berada di dalam dewan.  Pasti ramai yang melonjak kegembiraan kerana dapat menyaksikan pelakon kesayangan beraksi secara langsung.

Tahniah kepada tenaga kerja Berita Harian yang terfikir untuk mengeksploitasi idea tersebut yang secara tidak langsung mencetuskan idea kepada penerbit teater di luar sana untuk mengadaptasi filem tersebut ke pentas Istana Budaya pula. GUA tidak anggap ia sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan.

Akhir sekali, GUA melihat penganjuran ABPBH semakin mantap sesuai dengan usianya yang mencecah 25 tahun. Walaupun ada kekurangan di sana –sini, namun GUA percaya ia boleh diperbaiki pada masa akan datang.  Kepada semua pemenang tahun ini, GUA ucapkan sekalung tahniah. Kepada yang tidak berjaya, jangan berasa kecewa, mungkin tahun hadapan kejayaan milik anda.

Kredit: Gua.Com.My

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...