Pengasas bersama Apple Inc dan bekas ketua pegawai eksekutifnya Steve
Jobs, yang dianggap sebagai antara ketua pegawai terbaik di Amerika
Syarikat dalam generasinya, meninggal dunia semalam.
Mendiang Jobs berusia 56. Jobs bertarung dengan kanser dan masalah kesihatan lain sejak beberapa tahun lalu. Kematian Jobs diumumkan oleh Apple dalam satu kenyataan. Laman web
Apple.com juga menyiarkan gambar hitam putih dengan mesej “Steve Jobs,
1955-2011”.
Ikon Lembah Silikon yang memberikan dunia iPod dan iPhone meletakkan
jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat teknologi terbesar di
dunia pada Ogos lalu dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Tim Cook.
Jobs bertarung dengan kanser pankreas.
“Kecemerlangan, keghairahan dan tenaga Steve merupakan sumber kepada
siri inovasi yang tiada bilangannya, yang telah memperkaya dan
memperbaiki hidup kita. Dunia berada dalam keadaan baik yang tidak
terhingga disebabkan (sumbangan) Steve,” kata Apple dalam kenyataan
mengumumkan berita kematian mendiang.