Anda inginkan petua-petua untuk menjadi pelajar cemerlang walau di mana sahaja anda berada? Apa
kata kita renungkan kembali beberapa petua atau tips kejayaan yang
telah Allah SWT titipkan di permulaan surah Al-Mu'minun, surah yang
ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.
01.Keyakinan, kepercayaan and keimanan kepada Allah SWT
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman." [23:1]
Iman
dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama. Maka imanlah
faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan
melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan dibawah.
02.Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati
"iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya." [23:2]
Lakukan
satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan mencapah dan melayang
fikiran ke sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil lewa.
03.Prioriti. Mengutamakan apa yang utama.
"dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)." [23:3]
Kebiasaannya
dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung
untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, menonton drama,
bersembang di Facebook dan seumpanya sehinggakan selalu sahaja melebihi
daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan.
Sebaik-baiknya
kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa
rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membasuh,
melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah
di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia
maklum.
Namun,
sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk mengambil wudu',
melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah apabila kita
lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan
banyak membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran.
Kita
dikehendaki menghindarkan diri dari perbuatan mengumpat pensyarah/guru
kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah kepada masa
depan anda, tidak menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang
bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah
SWT.
04.Prihatin sesama kita
"dan orang-orang yang menunaikan zakat." [23:4]
Walaupun
sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu
mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di
sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu, kertas-kertas
soalan tahun lepas dan lain-lain. Sharing is caring.
05.Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan
"dan
orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri
mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba)
dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka
itulah orang-orang yang melampaui batas." [23:5,6,7]
Janganlah
kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas-batas pergaulan
antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan studi berdua-duan,
kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau asal tertekan je mesti
nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda.
Padahal Allah SWT kan sentiasa ada, sentiasa melindungi dan sentiasa menolong jika kita mencari dan meminta pada-Nya.
06.Jujur, amanah
" dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya."[23:8]
Bukankah
kita telah berjanji dengan pihak penaja dan ibu bapa kita untuk belajar
bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji
dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang
pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan untuk kita
mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana?
Elakkan
menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan meminta kita
berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus
menulis. Sebaliknya sebutlah "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi wala
haula wala quwwata illa billahil 'azim."
07.Tepati waktu
"dan orang-orang yang memelihara solatnya." [23:9]
Konsep
yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah
supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak
berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika
sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa
peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran
dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari
setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatang
arang di pertengahan jalan.
Namun
janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk akademik
semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga
hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadap-Nya
dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya
kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai
keredhaan Allah SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.