“Apa
nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau
degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak
menyusahkan aku?”, marah ibu. Along hanya membungkam. Tidak menjawab
sepatah apapun. “Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah dua kali kau
ulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut
macam Angah dengan Alang tu. Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang hah?”, leter ibu lagi.
Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan
diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Seketika dia
melihat si ibu berlalu pergi dan kembali semula dengan rotan di
tangannya. Kali ini darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati
agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu. “Sekarang kau cakap,
kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua tu? Cakap
Along, cakap!” Jerkah ibu. Along semakin berdebar-debar namun dia tidak
dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah, dia
juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Si ibu
semakin bengang. ” Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti
kau, suka sangat cari penyakitkan, sekarang nah, rasakan!” Si ibu
merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah Along menjerit
kesakitan.
“Sakit bu…sakit….maafkan Along bu, Along janji tak
buat lagi….Bu, jangan pukul bu…sakit bu…” Along meraung meminta belas si
ibu agar tidak merotannya lagi. “Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah
tak rasa sakit?” Balas ibu lagi. Kali ini semakin kuat pukulan si ibu
menyirat tubuh Along yang kurus itu. “Bu…ampunkan Along bu…bukan Along
yang mulakan…bukan Along….bu, sakit bu..!!”, rayu Along dengan suara
yang tersekat-sekat menahan pedih. Along memaut kaki si ibu.
Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya namun siratan rotan tetap
mengenai tubuhnya. Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi
menahan tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana
memikirkan tidak jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah hatinya
puas, si ibu mula berhenti merotan Along. Tangan Along yang masih memaut
kakinya itu di tepis kasar. Along menatap mata ibu. Ada manik-manik
kaca yang bersinar di kelopak mata si ibu. Along memandang dengan sayu.
Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya menangis lagi kerananya.
Malam itu, Along berjaga sepanjang malam. Entah mengapa matanya tidak
dapat dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang
tadi. Begitulah yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini
marah ibu sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua
sewaktu di sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil
ibunya ke sekolah untuk membuat aduan kesekian kalinya. Sewaktu di bilik
pengetua, Along sempat menjeling ibu di sebelah. Namun, dia tidak
diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di
dilemparkan kepadanya seorang. Si Malik anak pengetua itu bebas
seolah-olah sedikit pun tidak bersalah dalam hal ini. Along mengesat
sisa-sisa air mata yang masih bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu
ke meja tulis mencapai minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang
berbirat di tubuhnya dek rotanan ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu
ubat namun masih tetap terasa pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan,
namun tidak seteruk kali ini Along merebahkan badannya. Dia cuba
memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu
menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat
mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM,
kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di
wajah tua itu. Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Along
sedar, dia telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat keputusan
yang corot dalam SPM. Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap
ibu walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along
sayang pada ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih
ibu tidak semekar dahulu lagi. Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu
menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu cacamarba, dan perasaannya pula
semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan,
Along terlelap juga.
Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu
masih tidak mahu bercakap dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah dijawab
ibu.. Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along terus
menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu kalau-kalau orang
kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum memandang ibu yang
terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian mencacap
makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong. Mudah-mudahan
usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu. Namun, belum sempat dia
melangkah ke dapur, adik perempuannya yang baru pulang daripada mengaji
terus meluru ke arah ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung di
sebalik pintu sambil memerhatikan mereka..
” Ibu..ibu masak apa
ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?” Tanya Atih kehairanan.
Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang pelbagai jenis
seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu yang lincah menghiris
sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu. Sementara
Along disebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang
telinganya. “Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu boleh?” ” Eh jangan, nanti
dulu. Ibu tau Atih lapar, tapi tunggulah Kak Ngah dengan Alang balik
dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik atas mandi dan tukar baju dulu
ye!”, si ibu bersuara lembut. Along menarik nafas panjang dan
melepaskannya perlahan. ‘anak-anak kesayangan ibu nak balik rupanya..’
bisik hati kecil Along. “Kak Ngah dengan Alang nak balik ke ibu?”,
soalnya lagi masih belum berganjak dari dapur. Si ibu mengangguk sambil
tersenyum. Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan. “Oooo patutlah ibu
masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila Along
balik, ibu tak masak macam ni pun?”. Along terkejut mendengar soalan
Atih Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya. “Along kan
hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan duduk
asrama, balik pun sebulan sekali ja!”, terang si ibu. “Tapi, ibu tak
penah masak lauk macam ni dekat Along pun..”, soal Atih lagi. Dahinya
sedikit berkerut dek kehairanan. Along mula terasa sebak. Dia mengakui
kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu ada perasaan dendam
atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat disayanginya. “Dah
tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah dengan Alang
dekat stesen bas.” , arah ibu. Dia tidak mahu Atih mengganggu
kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu juga
tidak senang jika Atih terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along
anak yang derhaka yang selalu menyakiti hatinya.. Apa yang dikata tidak
pernah didengarnya. Selalu pula membuat hal di sekolah mahupun di rumah.
Disebabkan itulah ibu semakin hilang perhatian pada Along dek kerana
marah dan kecewanya.
Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga
turut keluar. Dia menuju ke Pusat Bandar sambil jalan-jalan buat
menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai, kakinya tiba-tiba berhenti
melangkah Matanya terpaku pada sepasang jubah putih berbunga ungu yang
di lengkapi dengan tudung bermanik. ‘Cantiknya, kalau ibu pakai mesti
lawa ni….’ Dia bermonolog sendiri. Along melangkah masuk ke dalam kedai
itu. Sedang dia membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-tiba disentuh
seseorang. Dia segera menoleh. Rupa-rupanya itu Fariz, sahabatnya.
“La…kau ke, apa kau buat kat sini?”, tanya Along ingin tahu sambil
bersalaman dengan Fariz.. “Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak
buat apa kat sini?”, soalnya pula. “Aku tak de buat apa-apa, cuma nak
tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak kasi mak aku!”, jelas Along jujur.
“waa…bagus la kau ni Azam. Kalau kau nak beli aku bagi less 50%.
Macammana?” Terlopong mulut Along mendengar tawaran Fariz itu. “Betul ke
ni Riz? Nanti marah kakak kau!”, Along meminta kepastian. “Untuk kawan
baik aku, kakak aku mesti bagi punya!”, balas Fariz meyakinkannya. “Tapi
aku kena beli minggu depan la. Aku tak cukup duit sekarang ni.” Cerita
Along agak keseganan. Fariz hanya menepuk mahunya sambil tersenyum. “Kau
ambik dulu, lepas tu kau bayar sikit-sikit..” Kata Fariz . Along hanya
menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang
begitu. Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi silap-silap dipukul lagi.
“Dekat kau ada berapa ringgit sekarang ni?”, soal Fariz yang benar-benar
ingin membantu sahabatnya itu. Along menyeluk saku seluarnya dan
mengeluarkan dompet berwarna hitam yang semakin lusuh itu. “Tak sampai
sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang beli minggu depan. Kau
jangan jual dulu baju ni tau!”, pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz
hanya mengangguk senyum.
Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah
melangkaui nombor tujuh. Setelah tiba, kelihatan Angah dan Alang sudah
berada di dalam rumah. Mereka sedang rancak berbual dengan ibu di ruang
tamu. Dia menoleh ke arah mereka seketika kemudian menuju ke dapur.
Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak pulang dari sekolah petang
tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan diselak. Syukur masih ada
sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi di atas meja.
Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei, kucing
kesayangan arwah ayahnya. “Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi
kat luar tu?”, soalan ibu yang bernada sindir itu tiba-tiba
membantutkannya daripada menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan.
“Kenapa tak makan kat luar ja? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah!”,
leter ibu lagi. Along hanya diam. Dia terus berusaha mengukir senyum dan
membuat muka selamber seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba
Angah dan Alang menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi
ibu yang masih memandang ke arahnya seperti tidak berpuas hati. “Along
ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati. Kerana Along, ibu kena marah
dengan pengetua tu.” Marah Angah, adik perempuannya yang sedang belajar
di MRSM. Along mendiamkan diri.. Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab
kata-kata adiknya itu tetapi melihat kelibat ibu yang masih di situ, dia
mengambil jalan untuk membisu sahaja.. “Along! Kalau tak suka belajar,
berhenti je la. Buat je kerja lain yang berfaedah daripada menghabiskan
duit ibu”, sampuk Alang, adik lelakinya yang menuntut di sekolah
berasrama penuh. Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya
semakin terluka melihat sikap mereka semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu
pada mereka. Along mengangkat mukanya memandang wajah ibu. Wajah tua si
ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi. Dia segera mencuci tangan dan
meluru ke biliknya.
Perasaannya jadi kacau. Fikirannya
bercelaru. Hatinya pula jadi tidak keruan memikirkan kata-kata mereka.
Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan semakin membencinya.
Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan rumah. Dia akan mencari
kerja di Bandar. Kebetulan cuti sekolah selama seminggu bermula esok.
Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat subuh, Along terus
bersiap-siap dengan membawa beg sekolah berisi pakaian, Along keluar
daripada rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat
si ibu menyatakan bahawa dia mengikuti program sekolah berkhemah di
hutan selama seminggu. Niatnya sekadar mahu mencari ketenangan selama
beberapa hari justeru dia terpaksa berbohong agar ibu tidak bimbang
dengan tindakannya itu. Along menunggang motorsikalnya terus ke Pusat
Bandar untuk mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya, tengah hari itu,
dia diterima bekerja dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel
membaiki motorsikal dengan upah lima belas ringgit sehari, dia sudah
rasa bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama lagi, dia dapat
membeli jubah untuk ibu. Hari ini hari ke empat Along keluar daripada
rumah. Si ibu sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan Along di
luar. Dia juga berasa agak rindu dengan Along. Entah mengapa hati
keibuannya agak tersentuh setiap kali terpandang bilik Along. Tetapi
kerinduan dan kerisauan itu terubat apabila melihat gurau senda
anak-anaknya yang lain.
Seperti selalu, Along bekerja keras
membantu Abang Joe di bengkelnya. Sikap Abang Joe yang baik dan kelakar
itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang luka. Abang Joe baik. Dia
banyak membantu Along antaranya menumpangkan Along di rumahnya dengan
percuma. “Azam, kalau aku tanya kau jangan marah k!”, soal Abang Joe
tiba-tiba sewaktu mereka menikmati nasi bungkus tengah hari itu. “Macam
serius jer bunyinya Abang Joe?” Along kehairanan. “Sebenarnya, kau lari
dari rumah kan ?” Along tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap
ke dalam mulut tersembur keluar Matanya juga kemerah-merahan menahan
sedakan. Melihat keadaan Along itu, Abang Joe segera menghulurkan air.
“Kenapa lari dari rumah? Bergaduh dengan parents?” Tanya Abang Joe lagi
cuba menduga. Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Along
sebak. Along mendiamkan diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan
mengunyah perlahan. Dia cuba menundukkan mukanya cuba menahan perasaan
sedih. “Azam, kau ada cita-cita tak….ataupun impian ker…?” Abang Joe
mengubah topik setelah melihat reaksi Along yang kurang selesa dengan
soalannya tadi. ” Ada ” jawab Along pendek “Kau nak jadi apa besar
nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam aku….atau….”
Along menggeleng-gelengkan kepala. “semua tak…Cuma satu je, saya nak
mati dalam pangkuan ibu saya.” Jawab Along disusuli ketawanya. Abang Joe
melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab
soalannya itu. ” Ala , gurau ja la Abang Joe. Sebenarnya….saya nak bawa
ibu saya ke Mekah dan….saya….saya nak jadi anak yang soleh!”. Perlahan
sahaja suaranya namun masih jelas didengari telinga Abang Joe. Abang Joe
tersenyum mendengar jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana
mengenali seorang anak yang begitu baik. Dia sendiri sudah
bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum pernah ada cita-cita mahu
menghantar ibu ke Mekah.
Setelah tamat waktu rehat, mereka
menyambung kerja masing-masing.. Tidak seperti selalu, petang itu Along
kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan dengan soalan Abang Joe
sewaktu makan tadi. “Abang Joe, hari ni, saya nak balik rumah …terima
kasih banyak kerana jaga saya beberapa hari ni”, ucap Along sewaktu
selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang sedang mencuci tangannya
hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak muda itu mahu
pulang ke pangkuan keluarga. Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki
bertubuh sasa itu. Ini menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak “Abang
Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya tinggal kat rumah
Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe.” Kata Along lagi “Tapi,
kau kan boleh datang bila-bila yang kau suka ke rumah aku!?”, soal Abang
Joe. Dia risau kalau-kalau Along menyalah anggap tentang soalannya
tadi. Along hanya senyum memandangnya. “Tak apa, saya bagi kat Abang
Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya rasa tak mampu nak balas
budi baik abang. Tapi, saya doakan perniagaan abang ni semakin maju.”
Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe memeluknya bagai seorang
abang memeluk adiknya yang akan pergi jauh.
Berbekalkan
upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk membeli jubah
yang diidamkannya itu. Setibanya di sana , tanpa berlengah dia terus ke
tempat di mana baju itu disangkut. ” Hey Azam, mana kau pergi? Hari tu
mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari rumah ke?”, soal Fariz
setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu Along hanya tersengeh
menampakkan giginya. “Zam, mak kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak
bagitau hal sebenar pasal kes kau tumbuk si Malik tu?” “Tak pe lah,
perkara dah berlalu….lagipun, aku tak nak ibu aku terasa hati kalau dia
dengar tentang perkara ni”, terang Along dengan tenang. “Kau jadi
mangsa. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau yang salah”,
kata Fariz lagi. “Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun
aku tak kisah.” “Zam..kau ni…..” “Aku ok, lagipun aku sayang dekat ibu
aku. Aku tak nak dia sedih dan ingat kisah lama tu.” Jelas Along
memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak berpuas hati itu. “Aku
nak beli jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni
sekali, k!”, pinta Along sambil menyerahkan sekeping kad berwarna merah
jambu. “No problem…tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja ke?” , soal
Fariz ingin tahu. “Aku kerja kat bengkel Abang Joe.. Jadi pembantu dia”,
terang Along. “Abang Joe mana ni?” “Yang buka bengkel motor kat Jalan
Selasih sebelah kedai makan pakcik kantin kita tu!”, jelas Along dengan
panjang lebar. Fariz mengangguk . “Azam, kau nak bagi hadiah ni kat mak
kau bila?” “Hari ni la…” balas Along. “Ooo hari lahir ibu kau hari ni
ek?” “Bukan, minggu depan…” “Habis?. Kenapa kau tak tunggu minggu depan
je?”, soal Fariz lagi. “Aku rasa hari ni je yang yang sempat untuk aku
bagi hadiah ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak marah aku lagi.”
Jawabnya sambil mengukir senyum.
Along keluar daripada kedai.
Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak sabar menunggu untuk
segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil menunggang, Along
membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima hadiahnya itu.
Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di simpang hadapan
lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang cuba mengelak daripada
melanggar seekor kucing hilang kawalan dan terus merempuh Along dari
depan yang tidak sempat mengelak. Akibat perlanggaran yang kuat itu,
Along terpelanting ke tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat di
kepala dan belakangnya. Topi keledar yang dipakai mengalami retakan dan
tercabut daripada kepalanya, Along membuka matanya perlahan-lahan dan
terus mencari hadiah untuk si ibu dan dengan sisa kudrat yang ada, dia
cuba mencapai hadiah yang tercampak berhampirannya itu. Dia menggenggam
kuat cebisan kain dan kad yang terburai dari kotak itu. Darah semakin
membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat,
pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat. Dalam
keparahan itu, Along melihat kelibat orang-orang yang sangat dikenalinya
sedang berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul seorang
wanita. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali
apabila dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu kucupan daripada
ibunya. Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih
memanggil-manggil namanya. Namun tiada suara yang keluar dari
kerongkongnya saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan semangat
dan cuba menghulurkan jubah dan kad yang masih digenggamannya itu.
“Ha..hadiah….untuk…..ibu……….” ucapnya sambil berusaha mengukir senyuman.
Senyuman terakhir buat ibu yang sangat dicintainya. Si ibu begitu sebak
dan sedih. Si anak dipeluknya sambil dicium berkali-kali. Air matanya
merembes keluar bagai tidak dapat ditahan lagi. Pandangan Along semakin
kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada air hangat yang
menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan ibu dan dia
pergi untuk selama-lamanya.
Selesai upacara pengebumian, si
ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama Angah, Alang dan Atih.
Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang hampir relai dari
beg tangannya. Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok darah yang
kering dibukanya lalu dibaca. ‘Buat ibu yang sangat dikasihi,
ampunkanlah salah silap along selama ini. Andai along melukakan hati
ibu, along pinta sejuta kemaafan. Terimalah maaf along bu..Along janji
tak kan membuatkan ibu marah lagi. Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya.
Selamat hari lahir ibu… dan terimalah hadiah ini…..UNTUKMU IBU!’ Kad
itu dilipat dan dicium. Air mata yang bermanik mula berjurai membasahi
pipi. Begitu juga perasaan yang dirasai Angah, Alang dan Atih.
Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan pemergian seorang abang yang
selama ini disisihkan. Sedang melayani perasaan masing-masing, Fariz
tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati wanita tua itu lalu mencurahkan
segala apa yang dipendamnya selama ini. “Makcik, ampunkan segala
kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes pergaduhan tu
makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik
datang dekat kami Dia sengaja cari pasal dengan Azam dengan menumpahkan
warna air dekat lukisan Azam. Lepas tu, dia ejek-ejek Azam. Dia cakap
Azam anak pembunuh. Bapa Azam seorang pembunuh dan .. dia jugak cakap,
ibunya seorang perempuan gila..” cerita Fariz dengan nada sebak. Si ibu
terkejut mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada ketika dia
merotan Along kerana kesalahan menumbuk Malik. “Tapi, kenapa arwah tidak
ceritakan pada makcik Fariz?” Soalnya dengan sedu sedan. “Sebab…..dia
tak mahu makcik sedih dan teringat kembali peristiwa dulu. Dia cakap,
dia tak nak makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua
ketenangan yang makcik ada sekarang…walaupun dia disalahkan, dia terima.
Tapi dia tak sanggup tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa
semula….” Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan
kebenaran bagi pihak sahabatnya itu.
Si ibu terdiam mendengar
penjelasan Fariz. Terasa seluruh anggota badannya menjadi Lemah.
Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa sangat pilu
dan terharu dengan pengorbanan si anak yang selama ini dianggap
derhaka.
Mengenai Penulis:
Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.
Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook