Semasa
saya memberikan kuliah kepada satu kumpulan wanita yang terdiri dari
golongan professional termasuk para Datin di satu daerah, ketika itu,
sedang heboh isu wanita seksi ditangkap di sebuah kelab malam. Lalu
timbul isu hak peribadi wanita untuk memakai apa jua pakaian yang
diingininya, termasuk yang seksi. Lalu, semasa kuliah ini saya mengambil
peluang bertanya kepada kumpulan wanita ini soalan mudah berikut :-
"Apakah agaknya sebab wanita ingin memakai seksi dikhalayak ramai? Dengan skirt pendek, atau baju sendat dan nipis?"
Ada
di antara mereka mula memberikan pandangan, tetapi kerana terlampau
ramai yang bercakap, saya tidak mendengar butirannya. Apabila saya
meminta seorang wakil, seorang menjawab dengan yakin.
" Untuk nampak cantik ustaz..." katanya sambil tersenyum malu.
Saya bertanya pula : "Agaknya kepada siapa nak ditunjukkan kecantikan itu?"
"Tentulah kepada kaum lelaki ustaz, kaum wanita pun iye juga.." sambungnya.
"Baiklah,
jika lelaki tersebut sudah tergoda dengan kecantikan tu, lalu ingin
menyentuh bahagian indah yang dilihatnya boleh tak ?" Tanya saya
menguji.
"
Isyh, ustaz ni.. tentulah tak boleh ustaz, dah kira ‘sexual harassment'
(gangguan seksual) tu ustaz" dengan yakin sekali hujjahnya kali ini.
"Jika
demikian, tidakkah para wanita merasakan, tindakan mereka yang
memaparkan bahagian yang menarik di tubuh mereka itu juga merupakan
gangguan seksual kepada lelaki?" Tambah saya.
" Erm, macam mana tu ustaz?" Tanya mereka dengan nampak sedikit bingung sambil berkerut dahi.
"Ye
la, bila orang lelaki yang dah naik syahwatnya tu, kerana kecantikan
peha wanita tu contohnya, mestilah terganggu syahwatnya, lalu terdetik
keinginan seksualnya secara tidak terkawal" .."Kerana itu saya katakan
berpakaian seksi adalah suatu bentuk gangguan seksual kepada orang
lelaki di sekelilingnya"
"Cuba
bayangkan, kucing yang lapar diacah-acah dengan ikan ‘fresh' yang
digoyang-goyankan di hadapannya tentu geram kucing tu, malah silap
haribulan, tentu diterkamnya muka orang yang mengacah juga" Tambah saya
lagi memberi keyakinan.
"Tapi
perlu diingat, tak semua kucing akan terkam, hanya yang amat lapar dan
liar je, demikian juga lelaki, tak semua lelaki gagal kawal nafsunya,
tetapi tak dinafikan bahawa ramai juga yang gagal dan liar"
"Akhirnya,
kerana suasana yang tak sesuai, mungkin kerana ramai orang dan di
tempat awam pula, terselamatlah wanita seksi itu dari terkaman lelaki
liar tadi. Masalahnya, anak-anak perempuan kecil berumur 7 hingga 12
tahun yang mungkin menjadi mangsa tempiasan nafsu lelaki begini. Dan di
ketika itu, samada wanita itu bertudung, berjubah, kanak-kanak dan
sebagainya tidak lagi mampu menahan nafsu si lelaki seperti ini, asalkan
suasana cukup sesuai (sunyi dan jauh dari pandangan ramai), akan
dilepaskan nafsunya secara kekerasan" Terang saya dengan panjang lebar,
mereka mengganguk dengan wajah serius kali ini.
Lebih
terangnya, sama-sama fikirkan adakah jika para wanita yakin bahawa jika
anda berada di hadapan Baginda SAW hari ini, adakah Rasulullah akan
tersenyum atau sebaliknya? . Jika sebaliknya, bagaimana pula peluang
wanita seperti ini untuk mendapat Syafaat Nabi SAW di akhirat kelak?.
Benar, mungkin sesoerang wanita itu berjaya meraih pandangan istimewa
dari kaum lelaki hasil pendedahan kecantikannya yang memukau. Tapi
keseronokan itu hanyalah palsu dan sementara sahaja, serta tidak
menambah sebarang nilai buat kehidupan kekal di Barzakh dan Akhirat
selain menambahkan tahap azab sahaja. Apa yang jelas, pakaian yang
ditunjukkan oleh wanita Arab yang solehah dengan penutupan aurat yang
sempurna di zaman ini sudah tentu boleh memberi sedikit info kepada kita
bahawa inilah mugkin pakaian yang dipakai oleh wanita Islam di zaman
Nabi serta mendapat redha dari mata dan hati baginda SAW. Tidakkah para
wanita hari ini juga berminat meraih redha dari mata dan hati baginda
SAW?.
BENARKAH MENUTUP AURAT DAPAT MENGELAK DARI WANITA DISAKITI?
Ramai
wanita professional dan yang kurang didikan agama hari ini mencebik
bibirnya apabila tajuk ini disebutkan, mereka tidak percaya langsung
fakta yang saya sebut diatas. Malah ada yang berpendapat lelaki sengaja
melakukan perkara buruk kepada wanita kerana ingin menunjukkan
kekuasaannya terhadap wanita. Kerap benar saya dengar hujah ini di media
massa.
Hakikatnya,
sebagai hamba Allah SWT dan umat Rasulullah SAW kita diajar untuk
merujuk Al-Quran dan Al-Hadith bagi mendapat kepastian tentang baik
buruk dan benar salahnya sesuatu perkara itu. Dalam hal ini, Allah SWT
berfirman :-
"Hai
Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan
isteri-isteri orang mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan
jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih
memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka
tidak diganggu." (al-Ahzab: 59)
Jilbab,
iaitu pakaian yang lebarnya semacam baju kurung untuk dipakai oleh kaum
wanita bagi menutupi tubuh badannya. Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi
menerangkan "Sebahagian perempuan Jahiliah apabila keluar rumah, mereka
suka menampakkan sebahagian kecantikannya, misalnya dada, leher dan
rambut, sehingga mereka ini diganggu oleh laki-laki fasik (jahat) dan
yang suka berzina, kemudian turunlah ayat di atas yang memerintahkan
kepada orang-orang perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu
sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu
tidak kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu akan
dikenali sebagai wanita yang terpelihara (‘afifah) serta tidak mudah
diganggu oleh orang-orang yang suka kejahatan atau orang-orang munafik.
Jadi
jelasnya, bahawa ayat tersebut memberikan ‘illah (alasan) utama
perintah ini adalah kerana bimbang wanita muslimah diganggu oleh
orang-orang fasik dan menjadi perhatian orang-orang yang suka berzina.
Bukanlah ketakutan yang timbul dari perempuan itu sendiri atau karena
tidak percaya kepada mereka, sebagaimana anggapan sebahagian orang,
tetapi ia adalah kerana sebahagian wanita yang suka menampakkan
perhiasannya, berjalan dengan penuh lenggang lengguk dan bicaranya
dibuat-buat manja, sering menarik perhatian nafsu lelaki dan
menjadikannya sasaran orang-orang yang suka berzina. (Petikan dari kitab
Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit pindaan)
Ayat
ini juga jelas menunjukkan bahawa salah satu target utama menutup aurat
yang diletakkan oleh Allah SWT adalah sebagai kaedah dan cara terbaik
bagi mengelakkan wanita Islam dari diganggu dan disakiti.
BANTAHAN KAUM WANITA
"Eleh,
tetapi hari ini ramai juga wanita bertudung yang kena rogol, malah
setengahnya kena bunuh dijerut dengan tudungnya pulak, kanak-kanak pun
kena rogol dan bunuh. Ini maknanya, tudung bukan lagi penyelamat la
ustaz. Ha..macam mana ustaz nak jawab tu ?. Hujah balas yang selalu saya
dengar bila isu ini ditimbulkan.
"Pernah tak anda merasa amat marah sepanjang hidup anda ?" Tanya saya kembali.
"Pernah juga ustaz..kenapa ustaz, apa kaitannya?" Bingung sekali lagi mereka nampaknya.
"Biasanya
bila seseorang itu sedang amat marah, sempat tak agaknya ia berfikir
bahaya atau tidak tindakan yang dibuatnya sebagai contoh; ada orang yang
sedang marah kerana bising tangisan kanak-kanak, maka ditendang
(seperti berita yang saya baca di akhbar baru-baru ini), ditolak jatuh
tangga, ditekup wajah kanak-kanak itu dengan bantal dan macam-macam lagi
bagi menghilangkan kemarahan atau gangguan bising itu, setelah beberapa
ketika mungkin baru seolah-olah dia tersedar, lalu cemas dan mungkin
menyesal"
"Demikianlah
juga nafsu jahat, bila ia berada di tahap tinggi, ia tidak lagi melihat
samada kepada pakaian dan umur wanita mahupun isteri orang
dihadapannya, sasarannya hanya mendapatkan hajat jahatnya, kerana itulah
wanita yang menutup aurat dengan sempurna serta kanak-kanak perempuan
juga terancam, tanpa dapat dinafikan juga peranan vcd, laman, akhbar,
majalah dan novel lucah " terang saya.
"Tapi
macam mana pulak ayat tadi kata tutup aurat dapat mengelakkan wanita
dari disakiti ?" Balas mereka dengan penuh minat kali ini.
"Jika
kita lihat dengan teliti, ayat tadi sebenarnya ditujukan kepada seluruh
kaum wanita. Ini bermaksud, jika sebahagian besar wanita tidak mentaatinya
dan memakai pakaian seksi pula. Di ketika itu, faedah dan kebaikan dari
tutup aurat bagi menjaga semua kaum wanita dari disakiti secara umum
akan tergugat dariu mencapai matlamat umumnya. Sebenarnya, ayat itu nak
beritahu bahawa seluruh wanita bertanggung jawab menjaga keselamatan
kaum sejenisnya dengan menjaga aurat masing-masing" Jelas saya.
"Maka
bila ada yang seksi, ini bermakna, ia sedang mengancam kaum sejenisnya
yang lain dan di tempat lain kerana telah menghidupkan nafsu
kebinatangan lelaki jahat yang sedang tidur"
PENGALAMAN MENUMPANG KE MASJID
Saya
masih ingat, dalam perjalanan ke Masjid untuk menunaikan solat Jumaat
di sebuah Masjid di Ibu Negara. Pejabat saya di Jalan Sultan Ismail dan
pada hari tersebut saya menumpang kereta seorang rakan. Bersama kami
beberapa rakan sekerja yang lain. Tiba-tiba semasa berada di lampu
trafik, tiba-tiba suasana dalam kereta agak bising dengan
bunyi..uiiiii..oii...peh..mengancam...dan sebagainya, diikuti dengan
kata-kata :
"Astaghfirullah..korang
ini teruk betul la, kan ustaz ada dengan kita ini.." Kemudian "disambut
dengan kata rakan di belakang, ye la..ini la yang bagus kita pergi
masjid dengan ustaz, terjaga sikit"
Anda
tentu dapat menggagak apa yang dilihatnya? Alhamdulilllah saya tidak
sempat melihat apa-apa kerana sedang membelek pelbagai mesej soalan
hukum hakam tertunda yang memenuhi telefon bimbit saya. Bila saya tanya,
kenapa? dengan malu-malu mereka menyalahkan sesama sendiri akibat
‘gatal mata' melihat skirt-skirt pendek wanita KL, samada wanita Melayu
mahupun Cina disekitar kawasan segitiga emas itu.
Cuba
bayangkan, perasaan lelaki-lelaki ini. Mereka dalam perjalanan ke
masjid, semuanya juga telah berumah tangga, tapi nafsu masih teransang
apabila didedahkan kepada permandangan seperti itu. Jahatkah mereka?
"Gatal
dan dah miang sangat kot orang lelaki ni, memang teruk mereka ni, tak
sangka, harap suami kita tak macam ni" mungkin itulah yang akan
dikatakan oleh sebahagian besar pembaca wanita sekarang ini.
Tapi
itulah cabaran terbesar lelaki wahai kaum wanita, iaitu ANDA, wanita
dan seluruh kecantikan yang dikurniakan Allah SWT kepadanya sebagai
ujian, ia disebutkan oleh Allah SWT :
زين للناس حب الشهوات من النساء والبنين ..
"Dihiaskan (diuji) bagi manusia itu, nafsu syahwat dan keinginan serta kecintaan kepada wanita, anak-anak, harta..."
Ayat ini dengan jelas menyebut syahwat utama lelaki adalah pada wanita. Nabi SAW juga pernah bersabda:
ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النساء
Ertinya
: "Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa
mudarat kepada lelaki selain wanita" (Riwayat Al-Bukhari, 7/11, bab
Zikir & Doa )
ANTARA LAWAK & HUKUM
Saya
juga masih ingat, sewaktu di tempat lama, rakan-rakan sepejabat sering
kali apabila mereka terlihat aurat wanita sebegini akan disebut .. "tak
pe ustaz kan, pandangan pertama tak berdosakan?". Sedih saya melihat
sikap sebahagian umat Islam hari ini yang kerap mempermainkan hukum
hakam akibat kejahilan mereka.
Sebuah hadith : "Dari
Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w.
tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka
jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!" (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu
Daud dan Tarmizi) - Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua
kalinya sebagainya datang dalam hadith Nabi kepada Sayyidina Ali r.a.
Apabila
ia adalah sebuah hukum, maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa
juga mempermainkan apa jua berkaitan dengannya. Nabi SAW bersabda :-
ان العبد ليتكلم بالكلمة ما يتبين فيها يزلّ بها إلى النار أبعد مما بين المشرق والمغرب
Ertinya
: " Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat
tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu
boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan
barat" ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)
KESILAPAN KERAP WANITA TENTANG AURAT
Ketika
ini, saya mengambil masa sekitar satu jam untuk ke pejabat, memandu
kereta dari Puchong ke Jalan Sultan Ismail. Setiap hari, laluan jalan
pergi dan pulang ini akan mempamerkan kejahilan wanita Islam hari ini
tentang penutupan aurat. Di manakah kesilapan penutupan aurat wanita
hari ini ?. Jawabnya seperti berikut :-
KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.
KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.
KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.
KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.
Sebahagian
wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia
adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT:
ertinya :
"Hendaknya
mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU
MENDEDAHAKN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR."
(an-Nur: 31)
Pengertian
khumur (tudung), iaitu semua alat yang dapat dipakai untuk menutup
kepala. Sedang apa yang disebut ‘juyub' kata jama' (bentuk plural) dari
kata jaibun, yaitu belahan dada yang terbuka, tidak tertutup oleh
pakaian/baju.
Setiap
perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian
dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh
membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh
orang-orang yang jahat hatinya.
Menurut
Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi yang dimaksud perhiasan perempuan dalam
ayat itu pula, iaitu apa saja yang dipakai berhias dan untuk
mempercantik tubuh, baik berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut
dan potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up
dan sebagainya.
Dalam
ayat di atas Allah memerintahkan kepada orang-orang perempuan supaya
menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan.
Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh
karena itu para ulama kemudian berbeza pendapat tentang erti apa
terzahir itu serta ukurannya.
Misalnya
sahabat besar Nabi seperti Ibnu Abbas r.a, ia berkata dalam menafsirkan
apa yang terzahir itu adalah : celak dan cincin.
Yang
berpendapat seperti ini ialah sahabat Anas Bin Malik. Justeru, harus
dilihat celak dan cincin wanita, bererti boleh dilihatnya juga kedua
tempatnya pemakaiannya, iaitu muka dan kedua tapak tangan. Demikianlah
apa yang ditegaskan oleh ulama Tabien seperti Said bin Jubair, 'Atha',
Auza'i dan lain-lain.
Bagaimanapun
Ummul Mukminin Aisyah r.a, Qatadah dan lain-lain menisbatkan gelang
sebagai perhiasan yang boleh dilihat. Dengan demikian, maka tempat letak
gelang iaitu di pergelangan tangan adalah dibolehkan jika tiada fitnah.
Tetapi berkenaan batasnya dari pergelangan sampai ke siku, masih
diperselisihkan. Seeloknya di jauhi dari mendedahkannya.
Menurut
Syeikh Al-Qaradawi juga, ini tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang
biasa dipakai oleh perempuan-perempuan zaman sekarang untuk memakai
gincu dan bedak merah di pipi serta kuku. Make-up ini semua termasuk
berlebih-lebihan yang sangat tidak baik, yang tidak boleh dipakai
kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu
semua di luar rumah, adalah untuk menarik perhatian laki-laki. Jadi
jelas hukumnya adalah haram.
Namun,
kiranya sesempurna mungkin seorang muslimah harus bersungguh-sungguh
untuk menyembunyikan perhiasannya, termasuk wajahnya itu sendiri kalau
mungkin, demi menjaga meluasnya kerusakan dan banyaknya kefasikan di
zaman kita sekarang ini. Lebih-lebih kalau perempuan tersebut mempunyai
paras yang cantik yang sangat dikawatirkan akan menimbulkan fitnah.
"Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya." (an-Nur: 31)
Kesemua
jenis berpakaian yang disebut tadi adalah diharamkan secara sepakat
seluruh Ulama Islam. Pengarahan ini tertuju kepada perempuan-perempuan
mu'minah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan
perhiasannya yang seharusnya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga
(anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai),
perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang
kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain.
Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada
rukhsah untuk dinampakkan.
Amat
jelas dari dalil al-Quran dan al-Hadith bahawa Islam mengharamkan
perempuan memakai pakaian yang membentuk dan nipis sehingga nampak
kulitnya. Termasuk diantaranya ialah pakaian yang dapat menampakkan
bahagian-bahagian tubuh, khususnya tempat-tempat yang membawa fitnah,
seperti: buah dada, paha, dan sebagainya.
Dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada
dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya
itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai
buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan
yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan
maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka
ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau
syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan
demikian." (Riwayat Muslim)
Mereka
dikatakan berpakaian, karena memang mereka itu melilitkan pakaian pada
tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup
aurat, karena itu mereka dikatakan telanjang, karena pakaiannya terlalu
tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan
pakaian perempuan sekarang ini. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof
Al-Qaradawi)
‘Bukhtun'
adalah salah satu macam daripada unta yang mempunyai kelasa (punuk)
besar; rambut orang-orang perempuan seperti punuk unta tersebut karena
rambutnya ditarik ke atas.
Disebalik
keghaiban ini, seolah-olah Rasulullah melihat apa yang terjadi di zaman
sekarang ini yang kini diwujudkan dalam bentuk dandanan rambut, dengan
pelbagai macam bentuk dalam salon-salon kecantikan, lebih parah pula
apabila kaum lelaki pula yang bekerja di salon seperti ini:
Larangan Nipis
Saidatina
Aisyah r.a meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma' binti Abubakar pernah
masuk di rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya.
Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan:
"Hai
Asma'! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup
umurnya), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini
-- sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Riwayat Abu Daud)
Walaupun
terdapat perawi lemah dari hadis, tetapi diperkuat dengan hadis-hadis
lain yang membolehkan melihat muka dan dua tapak tangan ketika diyakini
tidak akan membawa fitnah.
Dr
Yusof Al-Qaradawi menegaskan bahawa melihat secara normal kepada wanita
atau lelaki, kepada selain aurat, selama tidak dilakukan dengan syahwat
dan berulang-ulang, hukumnya adalah halal. (Al-Halal Wal Haram Fil
Islam)
KESALAHAN KESEMBILAN : Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.
Diriwayatkan dalam sebuah Hadith :-
يرحم الله المتسرولات
Ertinya
: Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di
sebelah dalamnya) (Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah,
Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245) .
Menurut
Imam Mujahid, hadith ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita
jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan
para sahabat, maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya, maka
para sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu sebagai
respond Rasulllah SAW memuji dan menyebut hadith di atas. ( Al-Bayan wa
At-Ta'rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831)
Berdasarkan
dalil ini juga, bermakna Allah sentiasa melaknati wanita yang tiadk
berseluar panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan. Demikian
menurut kaedah Mafhum Mukhalafah di dalam ilmu Usul Fiqh.
KESALAHAN KESEPULUH :
Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan
suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki. Samada menyanyi mahupun
bernasyid. Tiada dakwah yag sesuai buat wanita menerusi nyanyian kerana
sesaat sahaj ia berada di atas pentas dengan pakaian canggihnya, seribu
mata lelaki yang memandangnya..kita tidak tahu dimanakah mata lelaki itu
memandang. Suaranya yang merdu juga membuatkan lelaki yang rosak
hatinya akan dibuai nafsu, walaupun penasyid wanita itu sedang
mendendangkan lagu ketuhanan.
Larangan
ini datang dari Firman Allah SWT : "Janganlah perempuan-perempuan itu
berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang
dalam hatinya ada penyakit." (al-Ahzab: 32)
TUJUAN TUNTUTAN MENUTUP AURAT
Berdasarkan
dalil Al-Quran dan al-Hadith, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu
remeh dan cabang. Ia adalah termasuk dalam katergori hukum qati'e dan
usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat
diperjuangkan oleh Syaitan. Ini adalah kerana, dengan terbukanya aurat,
maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak
luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak luar
nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal Syaitan
mensasarkan dosa 'buka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya ada
disebutkan dalam Al-Quran dari firman Allah ertinya :-
"
Maka Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk
menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya .."
Al-A'raf : 20)
Ringkasnya, antara tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita untuk menutup aurat adalah :-
a) Perbezaan dengan binatang.
Allah SWT berfirman :
"
Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh
menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan" ( Al-A'raf : 26)
Amat
jelas dari ayat ini, penutupan aurat ditujukan kepada sesiapa sahaja
yang termasuk dalam kategori anak Adam iaitu manusia. Justeru
barangsiapa yang berpaling dari arahan ini, secara langsung ia
menjatuhkan tahapnya selari dengan binatang yang tiada cukup kemampuan
dan aqal bagi menjalankan arahan penutupan aurat.
b) Agar kaum wanita tidak disakiti
Ia berdasarkan ulasan yang telah saya buat sebelum ini bersandarkan firman Allah SWT dari surah Al-Ahzab ayat 59.
c) Tanda atau seperti uniform kepada penganut agama Islam.
Ia juga boleh difahami dari surah Azhab ayat 59 tadi apabila Allah SWT menyebut : « .. yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam).. »
Dari
sini jelas, menunjukkan salah satu fungsi tutupan aurat juga adalah
sebagai syiar diri sebagai penganut Islam. Firman Allah : « Barangsiapa yang membesarkan syiar Allah maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati »
d) Tanda profesionalism dalam sistem pemakaian Islam.
Kita dapat memerhati bagaimana ‘trend' sesebuah organisasi atau
restoran hebat hari ini pasti meletakkan ‘dress code' tertentu bagi
kakitangannya dan para tetamunya. Ia pastinya bertujuan penjagaan
standard khas bagi organisasi dan restoran itu di tahap tertentu.
Sebagai contoh, kita tidak akan dapat melihat individu berselipar Jepun
di sebuah Persidangan Antarabangsa di PICC, Putrajaya mahupun di
kalangan kakitangan PETRONAS di pejabat mereka di Menara Berkembar.
Semua menjaga ‘standard' berbanding Tauke kedai runcit yang tidak
beruniform.
Justeru,
Islam adalah satu agama dan cara hidup yang profesional pastinya begitu
lengkap menyediakan panduan melengkapi setiap sudut kehidupan manusia.
Dari hal-hal yang sulit seperti urusan di dalam tandas hinggalah ekonomi
dan kenegaraan. Walaupun demikian, Islam tidak mengarah umatnya membuat
perkara yang tidak rasional, justeru, sudah tentu ‘standard' pemakaian
yang diletakkan ini tidak membebankan bahkan ia amat bertepatan dengan
logik aqal manusia yang sihat.
e) Sebagai ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan mereka kepada Allah SWT.
Saya
kira hal ini amat jelas, dari firman Allah ertinya : Dijadikan hidup
dan mati adalah untuk menguji siapakah yang terlebih baik amalannya"
(Al-Mulk : 2)
DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER
Ungkapan
ini kerap saya dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap
mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering
mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi
serta mendedahkan aurat.
"Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi" Katanya memberi buah fikirannya.
"Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok" tambah wanita ini lagi.
Benarkah
hujjah mereka?. Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam
Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujjah
dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sohih iaitu :
"Sesungguhnya
Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi
melihat kepada hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim)
Simpati
bercampur kesal saya mendengar bagaimana terdapat orang yang
sewenangnya berhujjah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya
digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.
"Seorang
pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa
waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak
disiapkan, lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam
kerja kalau begini sikap kamu"
Lalu jawab si pekerja : " Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang"
Adakah
anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu ?. Adakah Allah
SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar
perintahNya ?
Hakikatnya,
sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah
dan RasulNya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata. Jika merujuk
kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :
"Ketahuilah,
bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya
baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan
seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim)
Berdasarkan
hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat
di peringkat pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya
sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah
tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan
kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat
pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua
adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti
sekadar menunjuk-nunjuk sahaja.
Justeru,
'we can judge a book by its cover in certain cases' iaitu apabila
perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting
what's inside the heart of a person'.
Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith :
إنما
أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض ,
فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع
له قطعة من النار
Ertinya
: Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes
pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih
cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan
hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku
jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang
cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka jangalah kamu
mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka"
(Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar, 8/632,
no 3920 )
Hadith
ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat
hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga
dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati
terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik
oleh Islam.
Kaum
wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki
yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi
yang beratnya adalah si wanita bukan mendaat satu dosa bagi kesalahan
itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya.
Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan
aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW
من سن في الإسلام سنة سيئة فعليه وزرها ووزر من عمل بها من غير أن ينقص شيئاً
Ertinya
: Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan
dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.." (
Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )
Termasuklah
dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan
auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa.
Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata
yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik ? setelah
gunungan dosa mengaratkan hatinya ?.
Sesungguhnya
Allah itu maha adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih
sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang
dapat diberikan kecuali ; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya
juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka
mengapa tindakan masih seolah meraguinya. ?