ASYIK rasanya memerhati setiap satu ‘timeline’ Twitter si pemilik
senyuman manis juga juara program realiti Imam Muda musim pertama,
Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan.
Larut malam memang mengundang senyum sendiri memantau persoalan yang
dilontarkan kepadanya dan setiap jawapan yang diberi. Beratus-ratus
soalan diberikan oleh peminatnya dan jika ada kelapangan, lekas Asyraf
menjawabnya.
Kiranya, program televisyen yang pernah
dikendalikannya sebelum ini, Soal Asyraf sudah diteruskan pula di laman
sosial Twitter miliknya pula.
Jelasnya berseloroh: “Ustaz muda pun sudah maju ke depan, tak perlu
lagi mengadap ke sesi khas atau berjumpa di masjid sebaliknya sebarang
keraguan dan persoalan berkaitan ilmu agama sudah boleh dimajukan terus
kepadanya melalui Twitter.”
Kelakarnya, undangan ke sesi fotografi petang itu juga dilakukan
menerusi Twitter saja kebetulan asyik melihat reaksi Asyraf kepada
setiap pengikutnya.
“Saya sendiri kagum apabila sudah boleh mendekatkan diri dengan
mereka yang dahagakan jawapan dengan cara yang mudah. Maklumlah, Twitter
sedang ‘in’ sekarang dan saya tidak mahu ketinggalan,” katanya.
Mengenakan persalinan moden tanpa kopiah yang sinonim dengannya
sebelum ini, anak muda berusia 27 tahun juga kelahiran Ayer Hitam, Pulau
Pinang ini tampak berbeza dan lebih dinamik.
Mengakui sedikit janggal pada mulanya, namun selepas diajak
bersembang dan mengalih tumpuannya daripada sibuk membelek pakaiannya,
Asyraf mula rancak berkongsi cerita mengenai ‘dakwah moden’ yang kini
menjadi rutin harian setiap malam.
“Macam ketagih pun ada juga apabila sibuk melayan Twitter kerana ia
mengkhayalkan dan mengisi masa dengan rasa seronok. Isteri saya sendiri
pernah bertanya kerana ada kalanya saya tersenyum sendiri ketika
membelek telefon. Namun alhamdulillah, dia memahami dan menyokong apa
yang saya lakukan.
“Bayangkan, setiap malam sebelum tidur atau ketika ada saja
kelapangan, saya akan lekas membuka akaun Twitter dan sebolehnya
menjawab semua yang bertanya. Walaupun begitu banyak soalan yang
diajukan, saya akan cuba untuk melayan setiap satunya.
“Adakalanya saya sendiri tergelak kerana saya sudah seperti guru
agama alam maya pula. Namun itulah keseronokan dan kepuasan yang saya
terima apabila berjaya meringankan kekalutan seseorang atau menjawab
kekeliruan yang ada. Sekurang-kurangnya, ruang sesawang sosial seperti
ini tidak hanya berfokus pada keseronokan duniawi semata-mata.
“Jujurnya saya berpendapat, kaedah ini adalah terbaik dalam meletak
usaha mendekatkan diri dengan golongan remaja dan belia. Mereka mungkin
segan atau sukar untuk bertanyakan kepada mana-mana guru agama, mungkin
payah untuk ke masjid mengikuti kelas agama. Lantas dengan bertanya
menggunakan Twitter, apa yang membingungkan mereka dapat juga
diselesaikan.
“Saya sangat gembira apabila begitu ramai golongan remaja yang
mendekati serta berani bertanyakan soalan. Ini satu perkembangan yang
baik apabila semua orang semakin nampak ia adalah satu ruang untuk
merujuk sebarang keraguan,” katanya.
Kelakar apabila meneliti setiap soalan yang diberi dan ada juga
antara pengikutnya yang bertanyakan soalan-soalan yang tidak relevan.
Seolah-olah saja mengusik atau memperlekeh, ada juga antaranya yang
tanpa segan silu menyentuh soal sensitif yang membuatkan graduan Syariah
dari Universiti Malaya ini berkerut dahi sebelum membalas.
Jelas Asyraf, jika ada yang melampau atau menyentuh soal sensitif, ia akan dibiarkan saja.
“Namanya pun medium komunikasi yang tiada batasan, lantas soal
persoalan pelik dan tindakan sesetengah yang ada kalanya melangkaui
imaginasi itu sudah pasti terjadi. Namun berpaksikan pada fikiran yang
waras dan pandangan yang optimis, saya hanya membiarkan saja atau cuba
mengelak untuk melanjutkan komunikasi itu.
“Ada sesetengah mereka yang menghantarkan pesanan dan mesej secara
peribadi (direct message) dan bertanyakan hal-hal ‘dalam kain’ hingga
membuatkan saya sendiri malu dan berkerut dahi membacanya. Namun perlu
diingat, nawaitu saya adalah ingin membantu dan berkongsi ilmu. Jadi
sebolehnya saya akan cuba menjawab atau meninggalkan pesanan.
“Membaca segala soalan dan masalah yang dipaparkan kepada saya sudah
menjadi satu komitmen dan tanggungjawab yang baru. Kini saya akan
meluangkan masa untuk membantu setiap mereka yang mengharapkan jawapan.
“Saya melihat daripada perspektif berbeza. Jika mereka sudah selesa
bertanya dan melontarkan apa saja keraguan yang ada, ia bermaksud mereka
sudah percaya dan yakin. Bukankah ini satu kaedah yang baik dan bijak,”
katanya yang boleh diikuti menerusi www.twitter.com/imammudaasyraf.
Mengalih sedikit topik perbualan petang itu, sisi peribadi Asyraf
yang begitu bijak menyusun kata ini adalah sempurna dan kemas. Selain
berjaya menempa nama sebagai seorang pelapis ilmu Islam muda dan
memiliki profil kerjaya yang stabil, Asyraf juga kini bahagia menyulam
cinta bersama keluarganya.
Berkahwin Februari dua tahun lalu bersama pilihan hatinya, Nur Husna
Yusoff yang tiga tahun lebih muda daripadanya, diari hidupnya kini kian
bersinar apabila dikurniakan anak pada 18 November lalu, Muhammad Aisy
Raihan.
“Alhamdulillah hidup saya semakin indah. Selain berusaha menjadi
seorang suami yang bertanggungjawab dan sentiasa peka dengan komitmen
yang ada, saya diberikan pula cenderahati istimewa apabila Aisy muncul
melengkapkan lagi kebahagiaan yang ada.
“Rezeki yang melimpah ini membuatkan saya bersyukur dan tidak mahu hanyut,” katanya merendah diri.
DALAM CERAMAH YANG DI SAMPAIKAN OLEH BELIAU BEBERAPA HARI YANG LALU BELIAU MENYATAKAN..(sambil berseloroh) Nasib baik dah kahwin..kalau belum..dah tentu Lisa Surihani jadi pilihan nak jadi isteri..