Bila sebut sahaja nama Siti Nurhaliza
apakah yang wujud dalam bayangan anda? Wajah manisnya yang telah menawan
hati setiap pelusuk isi rumah di Malaysia, Indonesia dan Singapura?
Atau deretan trofi yang terkumpul sehingga tidak cukup almari? Atau
vokal emasnya yang mendodoi lena setiap malam kita? Atau paparan kisah
sepanjang dia bergelar anak seni sejak 16 tahun lalu?
Hanya luaran yang mengisi minda kita
seperti apa yang kita sering tonton di televisyen dan baca di akhbar dan
majalah. Tidak ramai yang mengetahui apakah yang terselindung di
sebalik nama Siti Nurhaliza itu sendiri.
Justeru, sempena ulangtahun kelahiran
yang ke 33 penyanyi bercop nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza,
saluran History mengambil inisiatif menerbitkan sebuah dokumentari khas
yang berjudul “Siti Nurhaliza” untuk tayangan Asia.
Dokumentari sepanjang satu jam itu akan membawa penonton meraikan kehidupan penyanyi yang berasal dari Kuala Lipis
ini bermula sebagai penyanyi yang menjuarai Bintang HMI 1995
sehinggalah bergelar usahawanita yang memiliki produk kecantikan jenama
sendiri, SimplySiti.
Tidak mengganggap peluang itu sebagai
kemuncak kerjayanya, Siti berharap dokumentari ini akan mencetuskan
inspirasi kepada masyarakat khususnya golongan muda yang menanam
cita-cita untuk berjaya sepertinya satu hari nanti.
“Ia satu penghargaan kerana Siti antara
yang muda dan diberikan peluang untuk merakamkan perjalanan hidup saya
untuk tontonan masyarakat. Saya melihat ia dari sudut seorang anak
kampung yang mempunyai cita-cita untuk berjaya sebagai penyanyi dan
perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran. Fokusnya lebih kepada saya
menjadi inspirasi kepada semua dengan melihat kejayaan yang saya
perolehi hari ini. Motivasi yang baik itu harapnya dapat diterima oleh
penonton kelak,” kata Siti yang kini memiliki album Inggeris sendiri
“All You Love”.
Siti merupakan artis muda yang masih
hidup diberikan peluang tersebut. Sebelum ini saluran History pernah
menerbitkan dokumentari mengenai Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee dan
Penghibur Nombor Satu Asia, Datuk Sudirman Hj Arshad.
Menerusi dokumentari itu, masyarakat
yang selama ini hanya didedahkan pada aspek luaran penyanyi itu akan
meneroka di sebalik tabir kehidupannya sepanjang bergelar penyanyi.
“Pelbagai cabaran telah Siti lalui namun
apa yang dipaparkan di televisyen, akhbar dan majalah hanyalah luaran
Siti sahaja. Bagaimana Siti berdepan dengan cabaran tersebut hanya
diketahui oleh mereka yang dekat dengan Siti. Kali ini mereka yang akan
berkongsi cerita tersebut seperti contohnya jurusolek Siti, Nurul Shukor
yang telah bersama Siti lebih 10 tahun dan pastinya kakak ipar dan
pengurus Siti, Rozi Abdul Razak,” tambah Siti lagi.
Menurut Siti, hanya jurusoleknya itu
yang tahu bagaimana cara dia berdepan dengan pelbagai masalah dan Nurul
telah dianggap sebagai salah seorang orang kepercayaannya.
“Bagaimana saya memberontak dan
meluahkan kemarahan saya bila pelbagai cerita tidak betul yang keluar
tentang saya. Bagaimana saya berdepan dengan tekanan tersebut. Hanya
sesetengah orang saja yang tahu bagaimana kami menyimpan setiap perkara
yang tidak pernah dipertontonkan kepada masyarakat,” ujar Siti yang
cukup teruja mahu menyaksikan apa kata orang mengenainya.
“Sebelum ini pun pernah ada program
sebegini yang melibatkan kehidupan Siti, namun gaya penceritaan dan
hasil setiap program pastinya berbeza. Macam tadi bila tengok balik
klip-klip persembahan Siti di Indonesia dan bersama 2 By 2 memang tidak
Siti jangkakan mereka akan masukkan klip sebegitu,” jelas Siti lagi.
Tambah penerbit, Lina Tan, dia akui
sukar untuk menyunting 12 jam rakaman footage yang ada untuk dijadikan
dokumentari sepanjang satu jam.
“Kita bermula sejak awal tahun, dari
proses pengumpulan bahan lagi. Bila kita dah temuramah ramai orang yang
terlibat ada lebih 12 jam footage yang ada. Memang sukar untuk
menyunting dokumentari tersebut. Yang menariknya bila kita selesai
menemuramah, kita semakin kenal siapa Siti sebenarnya. Dia popular bukan
sahaja di Malaysia, malah di Indonesia dan Singapura. Kita juga sedar
yang sukar untuk menjadi bintang di sini dan apakah kehidupan sebenar
yang mereka lalui.” ulas Lina selaku penerbit dokumentari tersebut.
Antara yang diwawancara termasuk
komposer Adnan Abu Hassan, personaliti televisyen terkemuka, Najip Ali,
wartawan hiburan kanan, Zainal Alam Kadir, Jennifer Thompson dan Michael
Ong.
Kredit: MummyNemo