Sesungguhnya kasih kepada manusia dan diri sendiri tidak boleh melebihi kasih kepada Allah dan Rasul-Nya. Untuk memperolehi kasih manusia serta memperolehi kebahagian yang hakiki, perlulah dicari terlebih dahulu kasih Allah dan Rasul-Nya dengan membuat apa yang diperintahkan dan meninggalkan segala apa yang dilarang. Seperti mana firman Allah yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutlah aku (Muhammad s.a.w), niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Ali-Imran 3:31)
Hendaklah membaca ayat berikut, kemudian hembuskan dikening orang yang kita sayangi (anak atau isteri). Niatkan dan doakan didalam hati moga Allah SWT mengurniakan kasih sayang-Nya kepada kita dan orang yang kita sayangi dengan keberkatan ayat Al-Quran ini.
“Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat seksa pada hari kiamat, bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahawa Allah amat berat siksaan-Nya (nescaya mereka menyesal).” (Surah Al-Baqarah 2:165)
Amalkan insyaAllah semoga apa yang
dihajati akan diperkenankan oleh Allah Ta’ala, kerana ayat-ayat Allah
ini adalah penawar, sesungguhnya sebaik-baik penawar kepada penyakit
ialah ayat-ayat suci Al Quran. Sudah tentu juga, sebaik-baik penyembuh
ialah Allah SWT.
Di dalam kitab Al-’Ilaj Bir-Ruqaa Min Al-Kitab Was-Sunnah, karangan said Ali Bin Wahf, menyatakan ijmak ulamak membenarkan menggunakan ayat-ayat Al-Quran untuk perubatan dan sebagainya, akan tetapi perlulah diyakini bahawa ayat-ayat Al-Quran yang digunakan tersebut tidak memberikan sebarang kesan zatnya sendiri. Bahkan Allah jualah yang memberi kesan ke atas sesuatu. Ayat yang di baca itu merupakan sebab dari sekian banyak sebab-sebab yang ditetapkan oleh Allah SWT.