KITA menyambung perbincangan
kita tentang bertabarruk atau mengambil berkat dengan bekas-bekas peninggalan
Nabi SAW. Alhamdulillah, minggu lepas Yayasan Sofa dalam lawatan kerja ke Mesir
berkesempatan melihat dan menyentuh beberapa bekas peninggalan Nabi SAW yang
disimpan di Masjid Saidina Hussein r.a.
Wujud dan tersimpan baiknya
bekas-bekas peninggalan nabi SAW itu hingga ke hari ini bukanlah sesuatu yang
aneh jika kita melihat pelbagai laporan mengenai sikap generasi sahabat dan
tabi'en dalam menghargai dan memelihara bekas-bekas peninggalan ini.
Melalui perbuatan mereka ini
kita bukan sahaja mendapat pedoman bahawa bertabarruk ini dibolehkan tetapi
juga mendapat gambaran tentang sikap kasih dan hormat yang begitu hebat
terhadap nabi SAW yang sepatutnya tersemai di hati kita.
Imam Ahmad RH dan lain-lainnya
meriwayatkan daripada Anas r.a: Nabi SAW pernah datang ke rumah Ummu Sulaim. Di
dalam rumahnya terdapat qirbah (bekas air daripada kulit) yang tergantung.
Lalu Rasulullah SAW minum di bahagian bibir qirbah itu sambil berdiri.
Anas r.a berkata, "Maka Ummu Sulaim memotong bibir qirbah
itu dan ia ada pada kami". Maksudnya, Ummu Sulaim memotong mulut
qirbah yang pernah menjadi tempat minum Rasulullah SAW. Dia menyimpan dan
menjaga barang itu di rumahnya untuk bertabarruk dengan bekas atau kesan Nabi
SAW.
Diriwayatkan daripada Yahya ibn
al Harith al Zimari, katanya: Aku pernah bertemu dengan Wathilah ibn al Asqa',
Aku berkata kepadanya, "Dengan
tanganmu ini, engkau membaiah Rasulullah SAW"? Dia berkata: "Ya". Kataku, "Hulurkan tanganmu. Aku akan
mengucupnya". Dia pun menghulurkan tangannya kepadaku, lalu aku
mengucupnya. (riwayat At-Tabrani)
Menurut riwayat Abu Nu'aim di
dalam Al-Hilyah, daripada Yunus ibn Maisarah, disebutkan bahawa beliau berkata:
"Kami pernah menziarahi Yazid ibn
al-Aswad”. Lalu datang Wathilah ibn al-Asqa' r.a. Ketika Yazid melihatnya,
Wathilah r.a menghulurkan tangannya. Yazid pun memegang tangan Wathilah r.a,
lalu disapu ke muka dan dadanya; kerana Wathilah r.a pernah membaiah Rasulullah
SAW.
Wathilah berkata kepadanya: "Wahai Yazid! Bagaimana prasangkamu
terhadap Tuhanmu"? Dia menjawab: "Baik".
Dia berkata: "Maka bergembiralah
kerana sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, Sesungguhnya
Allah SWT berfirman: "Aku mengikut prasangka hambaKu terhadapKu. Jika
sangkaannya baik, maka Aku menilainya baik. Jika sangkaannya buruk, maka Aku
menilainya buruk". (Al-Hilyah,
9: 306)
Imam al-Bukhari meriwayatkan di
dalam Al-Adab al-Mufrad, daripada Abdul Rahman ibn Razin, katanya: Ketika
kami melalui daerah Rabzah, ada yang berkata kepada kami, "Di sinilah
tempat Salamah ibn al Akwa' r.a berada". Kami pun menemuinya dan
mengucapkan salam kepadanya. Lalu dia mengeluarkan kedua-dua belah tangannya
seraya berkata: "Aku pernah membaiah Nabi Allah SAW dengan kedua-dua
tangan ini".
Kemudian, dia mengeluarkan
telapak tangannya yang gemuk dan kasar seperti telapak kaki unta. Maka kami pun
berdiri mendekatinya dan mengucupnya. (ms. 144)
Ibnu Saad juga meriwayatkan
hadis seperti itu daripada Abdul Rahman ibn Zaid al 'Iraqi. (Tabaqat Ibn Saad,
4: 39)
Demikian juga Imam Bukhari di
dalam Al-Adab al-Mufrad meriwayatkan daripada Ibnu Jad'aan: Thabit
berkata kepada Anas r.a: "Apakah engkau pernah menyentuh Nabi SAW
dengan tanganmu"? Dia menjawab: "Ya, pernah". Lalu Thabit
mengucup tangan Anas. (ms. 144)
Imam al-Bukhari juga
meriwayatkan dalam kitab yang sama daripada Suhaib, katanya: "Aku
pernah melihat Saidina Ali r.a mengucup tangan al-Abbas r.a dan kedua-dua belah
kakinya". (ms. 144)
Diriwayatkan daripada Thabit, katanya: “Dahulu, jika aku datang kepada Anas r.a,
dia akan diberitahu mengenai kedudukanku. Lalu, aku masuk kepadanya dan
memegang kedua-dua belah tangannya serta mengucupnya”. Aku berkata: "Demi ayahku! Kedua-dua belah tangan
ini pernah menyentuh Nabi SAW". Aku juga mengucup kedua-dua belah
matanya, dan aku berkata: "Demi
ayahku! Kedua-dua mata ini pernah melihat Rasulullah SAW". (Disebutkan
oleh al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam al-Matolib al-'Aliyyah (4: 111).