ALLAH SWT menyebut bahawa Dia
yang memiliki tangga dan darjat yang tinggi serta nikmat-nikmat yang melimpah
ruah yang dikurniakan kepada sekalian hamba-Nya yang terpilih. Kemudian Allah SWT menambah lagi
dengan menyebut syarat untuk sampai kepada martabat yang tinggi itu dengan
menjauhkan daripada kegelapan yang dapat memasukkan jiwa ke dalam neraka yang
menyala-nyala sehingga dapat mengelupaskan kulit kepala.
Seterusnya, Allah SWT
menjelaskan 10 syarat yang mampu membebaskan manusia daripada belenggu yang
mengikat nafsu syahwat, antaranya:
*Sembahyang.
*Sentiasa mengerjakan sembahyang
secara istiqamah pada waktu yang ditetapkan.
*Mendirikan sembahyang dengan
cara yang paling sempurna dengan menghadirkan hati, khusyuk kepada Allah SWT di
samping menjaga sunah-sunah serta peraturan sembahyang.
*Membenarkan kedatangan hari
kiamat dengan melahirkan di dalam dirinya sama ada dalam bentuk iktikad atau
amal perbuatan.
*Mengeluarkan sedekah dengan
harta benda mereka kepada golongan fakir dan orang yang memerlukan.
*Menepati janji.
*Menunaikan amanah kepada orang
yang berhak menerimanya.
*Memelihara faraj (kemaluan)
mereka daripada melakukan perbuatan yang haram.
*Menyempurnakan kesaksian dengan
menepati syarat-syaratnya.
*Takut terhadap azab Allah SWT.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya
manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa
kesusahan ia berkeluh kesah. Dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir.
(al-Maarij: 19-21).
Muqatil berkata: Ayat ini
ditujukan kepada Umayyah bin Khalaf al-Jumahi. Adapun perkataan halu' terdapat
tujuh pandangan:
*Seperti yang disifatkan dalam
ayat-ayat selepas ini. Inilah riwayat Atiyah daripada Ibn Abbas dan pendapat
Abu Ubaidah dan al-Zajjaj.
*Orang yang loba dan tamak
dengan harta yang tidak halal baginya seperti riwayat Abu Soleh daripada Ibn
Abbas.
*Orang yang bakhil. Inilah
pendapat al-Hasan dan al-Dahak.
*Orang yang amat kedekut. Inilah
pendapat Ibn Jubair.
*Orang yang jahat. Inilah pendapat
Mujahid.
*Orang yang kasar lagi ganas.
Inilah pendapat Ikrimah, Qatadah, Muqatil dan al-Farra'.
*Mereka yang keras lagi samseng.
Inilah pendapat Ibn Qutaibah.
Syed Qutub berkata: Tiga ayat
yang pendek ini memberi gambaran yang jelas bahawa manusia amat gelisah dan
cemas apabila ditimpa kesusahan seolah-olah ia adalah untuk selamanya. Ia menggambarkan manusia yang
kedekut dan bakhil apabila mendapat kekayaan dan kesenangan. Dia menganggap
hasil usahanya sendiri dan mengabaikan orang sekeliling tanpa berbakti kepada
Allah dengan kekayaan yang dianugerahkan.
Apabila kekayaannya ditarik dan
dirampas, maka mereka kegelisahan dan cemas tanpa pedoman. Itulah gambaran
manusia yang sungguh malang dan menderita apabila hatinya kosong dari iman. Firman Allah SWT: Kecuali
orang-orang yang mengerjakan solat, yang mereka itu tetap mengerjakan solatnya.
(al-Maarij: 21-22)
Ibn Kathir berkata: Manusia
disifatkan dengan sifat yang keji kecuali Allah memeliharanya memberi taufik
dan hidayah ke arah kebaikan. Begitu juga mereka menjaga waktu solat dan segala
yang wajib. Inilah juga pendapat Ibn Mas'ud, Masruq dan Ibrahim al-Nakaie.
Al-Maghari berkata: Manusia yang
memiliki sifat yang tercela layak menerima kemurkaan Allah kecuali orang yang
dipelihara dan ditunjukkan Allah SWT mengerjakan amalan kebaikan dengan
dipermudahkan kepada mereka bagaimana melakukan sebab kebaikan itu.
Mereka itu terdiri daripada
orang yang memelihara sembahyang pada waktunya serta tidak disibukkan dengan
urusan lain. Ayat di atas menjadi bukti utama agar sentiasa mengerjakan amal
ibadah kepada-Nya.
Firman Allah SWT: Dan
orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu. Bagi orang (miskin)
yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mahu meminta).
(al-Maarij: 24-25)
Ibn Kathir berkata: Sebahagian
harta mereka diperuntukkan untuk mereka yang memerlukannya. Syed Qutub berkata: Yang
dimaksudkan dengan peruntukan itu secara khususnya adalah zakat dan sedekah
yang tertentu kadarnya. Peruntukan ini merupakan suatu hak dan kewajipan dalam
harta kekayaan orang mukmin.
Mungkin tujuannya lebih luas dan
besar iaitu mereka memperuntukkan sebahagian tertentu dari harta kekayaan
mereka dengan kesedaran sebagai hak orang yang meminta bantuan dan orang yang
susah. Dengan ini mereka dapat
membebaskan diri mereka dari sifat kikir dan tamak di samping membuat orang
yang kaya membantu orang yang miskin tanpa bersoal jawab dan sebagainya.