NALURI manusia yang normal sudah
pasti mahukan kepada kejayaan atau pun perubahan yang lebih baik pada setiap
masa. Tiada manusia yang sempurna akalnya, mahu terus hidup dalam kegelapan dan
bergelumang dalam dosa dan maksiat.
Persoalannya, bagaimana mahu
berubah dan untuk berubah, manusia itu perlu mengorbankan banyak perkara.
Antaranya adalah 'kekuatan' untuk mengorbankan rasa selesa berada pada tahap
sedia ada dan berusaha atau berhijrah melaksanakan transformasi dalam diri
untuk menjadi insan mukmin yang berjaya.
Hal ini dijelaskan oleh Allah
SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: ...Sesungguhnya Allah tidak akan
mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang
pada diri mereka...(ar-Ra'd: 11)
Sebagai mana kita maklum, hijrah
Rasulullah SAW dan para sahabat ke Madinah Al-Munawwarah menjadikan dakwah
Islam berpindah ke satu tahap dakwah yang baru. Kaum muslimin juga boleh
beribadah dengan lebih selamat dan terbuka berbanding tekanan dan suasana umat
Islam di Mekah.
Daripada Aishah r.a berkata,
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Tidak ada hijrah selepas pembukaan
(Mekah) tetapi jihad dan niat (yang baik). Apabila kamu disuruh bersiap sedia,
maka bersedialah. (riwayat Muslim)
Sememangnya tidak ada lagi
hijrah selepas hijrah (perpindahan) Nabi SAW itu. Yang ada, adalah hijrah dalam
segi berjihad menentang hawa nafsu yang suka mengajak manusia bergelumang dalam
noda dan dosa.
Penolong Profesor Kulliyah
Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr.
Zaharuddin Abd. Rahman berkata, hijrah dalam segi bahasa bermaksud tinggal.
Justeru katanya, umat Islam masa
kini perlu berusaha berhijrah dalam tiga keadaan untuk mencapai taraf hidup
yang lebih baik.
Pertama, hijrah seseorang
daripada melakukan dosa dan kesalahan, kedua; meninggalkan negara kufur (yang
melarang umat Islam melaksanakan Islam) dan ketiga; hijrah meninggalkan
tempat-tempat maksiat.
Ini bertepatan dengan firman
Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada
kamu (perintah-Nya) di dalam Kitab (al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat
keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka
janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada
memperkatakan soal yang lain kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang
demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan
menghimpunkan sekelian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahanam.
(al-Nisa': 140)
Menurut Zaharuddin, maksud
negara kufur di sini adalah negara yang melarang umat Islam melaksana ibadat.
"United Kingdom memang
negara kufur tetapi tidak sampai menghalang umat Islam beribadat malah wujud
masjid pelbagai mazhab di sana," katanya.
Beliau berkata demikian dalam
forum bertajuk 'Hijrah: Transformasi Ke Arah Kebaikan' di Masjid An-Nur,
Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, Jumaat lalu.
Seorang lagi ahli panel ialah
Pengarah Eksekutif Telaga Biru Sdn. Bhd., Dr. Zahazan Mohamed. Moderator
ialah guru Sekolah Menengah Agama Kuala Selangor, Ghazali Omar.
Forum yang dihadiri oleh
kira-kira 1,000 orang itu adalah anjuran bersama Masjid An-Nur, Pejabat Agama
Islam Daerah Kuala Selangor, Lembaga Zakat Selangor dan Yayasan Taqwa Majlis
Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Zaharuddin menambah, antara
resipi kejayaan Rasulullah SAW berhijrah dan membentuk para sahabat menjadi
mukmin adalah sering membawa akhirat dalam kehidupan.
Contohnya, dalam Perang Tabuk,
umat Islam diperintah berjihad menentang musuh ketika masa hasil tanaman mereka
hanya menunggu masa dituai. Keadaan ketika itu, kata
Zaharuddin adalah musim panas dan orang Islam perlu membelah kawasan gurun yang
suhunya mencecah 50 ke 60 darjah Celsius. Di sini, menurut belau, golongan
munafik awal-awal lagi mencari pelbagai helah supaya tidak ikut serta berjihad
bersama Nabi SAW.
"Lebih teruk lagi, mereka
cuba mempengaruhi umat Islam supaya jangan berjihad dengan alasan antaranya,
sudah tentu kamu akan mati kepanasan di padang pasir yang tidak ada air dan
tempat berteduh.
"Namun baginda SAW bersabda
kepada umat Islam, neraka Allah adalah lebih panas daripada yang bakal dilalui
di padang pasir.
"Pendek kata, para sahabat
mendalami ajaran Allah sebab itu mereka berjaya," jelas beliau.
Zaharuddin juga menarik
perhatian agar masyarakat membetulkan salah tanggapan dalam mengukur kejayaan
kaum wanita.
Katanya, Allah mencipta kaum
lelaki untuk keluar bekerja dan wanita untuk mendidik keluarga dan anak-anak.
Menurut beliau, walaupun
Saidatina Khadijah bekerja iaitu sebagai usahawan tetapi beliau adalah seperti
pemegang saham dan duduk di rumah.
Demikian juga dengan Aisyah, beliau
bekerja mengajar para sahabat ilmu Islam baik hadis dan juga al-Quran.
"Malangnya, media kini
mencanangkan wanita yang hebat dan berjaya itu adalah wanita yang berkerjaya. "Bukan saya suruh para
isteri berhenti kerja tetapi tugas utama isteri adalah di rumah iaitu menjaga
'sarangnya'. "Sebabnya, keluarga yang
pincang akan melahirkan golongan pembunuh, perompak dan sebagainya," tegas
beliau.